KUANTAN: Seorang penuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan di sini berusia 21 tahun direman empat hari bermula hari ini sehingga 28 Februari selepas ditahan polis kerana memuat naik gambar yang menghina kitab suci al-Quran di lama media sosial Threads miliknya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang juga bapa kepada suspek.
“Pengadu hadir ke balai polis bersama anaknya untuk memohon maaf kepada masyarakat Islam dan meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan anaknya berhubung hantaran di laman sosial tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ashari menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Tular di media sosial kenyataan seorang individu dikatakan penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW termasuk memuat naik gambar memijak al-Quran.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan yang dikaitkan dengan seorang penuntut universiti berkenaan.
Beliau menegaskan pihak universiti tidak akan berkompromi dengan sebarang penyebaran kandungan palsu atau berbaur kebencian.
“Sentimen 3R ini tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti yang boleh mencetuskan pelbagai reaksi warga maya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Yatimah berkata, UMPSA sudah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024. – UTUSAN










