MK3D 2025 game changer usahawan luar bandar

MK3D 2025 ‘game changer’ usahawan luar bandar

Anwar Ibrahim menyerahkan replika cek bernilai RM6 juta kepada wakil usahawan luar bandar pada Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) pada Majlis Perasmian MK3D 2025 yang diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjuran Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang menghimpunkan usahawan luar bandar dari seluruh negara di bawah satu platform berskala nasional berjaya mencapai sasarannya apabila mencatat kehadiran seramai 2.2 juta pengunjung sepanjang lima hari berlangsung.

MK3D 2025 yang diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggabungkan tiga program Karnival Usahawan utama negara iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW); Sambutan Hari Peneroka Felda oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Ko­perasi (Kuskop).

Karnival bertemakan ‘Desaku Mendunia’ dirangka untuk mengangkat usahawan luar bandar ke peringkat global telah mendapat penyertaan 1,133 usahawan dari seluruh negara dengan jumlah reruai sebanyak 882 unit.

Kejayaan penganjuran MK3D 2025 turut mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Karnival Keusahawanan Terbesar’ di Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar berkata, MK3D 2025 me­rupakan satu ‘game changer’ dalam merangka kolaborasi strategik me­nyasarkan jumlah pengunjung lebih meluas dan menghimpunkan bila­ngan usahawan dari seluruh negara.

Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar

Katanya, ia juga adalah satu langkah strategik bagi menjimatkan peruntukan yang diberikan kepada ketiga-tiga entiti terbabit iaitu KKDW, Felda dan KUSKOP dalam mengangkat usahawan luar bandar ke peringkat global supaya lebih berdaya saing dan mampan.

“Kita melihat platform ini pen­ting kerana dapat mengetengahkan beberapa elemen perniagaan iaitu padanan perniagaan, pembiayaan perniagaan dan kebolehpasaran perniagaan.
“Contohnya, bagi segmen tertentu seperti makanan dan minuman (F&B), perkhidmatan, kosmetik dan lain-lain, mereka boleh mencari rakan perniagaan bersesuaian berdasarkan pengalaman dan keboleh­pasaran (untuk berkolaborasi). Ini merupakan platform yang terbaik.

“Jika seseorang usahawan itu merasakan ada peluang dan ruang untuk mengembangkan perniagaan, di sini ada pembiayaan perniagaan untuk tujuan tersebut. Di sinilah tempatnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penganjuran julung kali MK3D bukan hanya mencatat nilai transaksi mencecah RM347.3 juta, malah sasaran awal yang di tetapkan membuktikan prestasi luar biasa ekosistem keusahawanan luar bandar.

Melihat kejayaan penganjuran MK3D 2025, Muhd. Khair Razman berkata, karnival sebegini akan diteruskan supaya menjadi acara tahunan membabitkan ketiga-tiga entiti dengan sasaran memperluaskan lagi penyertaan membabitkan elemen lain dari setiap KKDW, KUSKOP dan Felda.

“Jika masing-masing bergerak secara bersendirian mungkin kos dibelanjakan tidak efektif dan dari segi penyertaannya akan terhad. Namun sekiranya karnival ini diteruskan ia akan dapat membantu mengangkat usahawan luar bandar kita dalam memperkukuhkan jaringan ekonomi mereka secara holistik dan inklusif,” katanya.

Penglibatan Karnival Usahawan Desa (KUD) pada MK3D 2025 me­libatkan 10 agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felcra Berhad, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan

Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Pelbagai pengisian turut disediakan kepada pengunjung antaranya Jualan Rahmah Madani oleh Felcra dan Koperasi Usahawan selain terdapat juga reruai Citarasa Desa dan Trak Makanan yang mem­bawakan menu unik dari negeri ma­sing-masing seperti Nasi Dagang Atas Tol, Lemang To’ki dan lain-lain lagi.

Selain itu, MK3D turut mebuka ruang interaksi dua hala melalui pameran agensi di bawah KKDW yang memfokuskan kepada keusahawanan, pendidikan serta menawarkan kemudahan seperti Sokongan Pe­ngukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB); Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Program Start Right (PSR). Ini memperlihatkan komitmen kementerian menyantuni rakyat di peringkat akar umbi.

Ia juga membawakan aktiviti penerangan, pendaftaran dan pameran oleh institusi-institusi TVET di bawah KKDW seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), GIATMARA, Kolej Poly-Tech MARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), German-Malaysian Institute (GMI), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), PERDA Tech, Kolej KEDA dan banyak lagi.

Pengunjung dan usahawan turut boleh menyertai Program Onboar­ding Usahawan membabitkan pe­nerangan, pameran dan jualan, pembentangan idea dan pendaf­taran bagi Program Desamall; Program Pendi­gitalan Usahawan (PPU) bersama rakan-rakan strategik se­perti Shopee, Lazada, Maxis, TikTok, CelcomDigi, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank dan banyak lagi.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nur Farzana Zannu Akibi, 24, berkata, MK3D 2025 merupakan idea bernas yang bagus buat semua lapisan masyarakat khususnya golo­ngan B40 dan usahawan luar bandar untuk membawa produk mereka menembusi pasaran tempatan.

Katanya, platform ini sangat sesuai untuk produk luar bandar bagi dikomersialkan kepada pengunjung khususnya di ibu kota sekali gus membuka ruang untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Karnival ini diharap diteruskan kerana sambutan diterima amat luar biasa daripada pengunjung. Golongan warga emas juga ramai yang datang untuk melihat sendiri pelbagai produk tempatan.

“Ia membuka mata pengunjung banyak produk tempatan yang menepati kehendak mereka ada di pa­saran namun hanya dijual di persekitaran masing-masing,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Siti Nur Imanina Mohd. Zamri, 28, berkata, karnival ini memperlihatkan budaya berbeza dari setiap negeri dengan pelbagai produk makanan, minuman, kesenian dan sebagainya.

“Berbeza dengan karnival sebelum ini, ia bukan semata-mata hiburan sebaliknya turut menyediakan platform khusus buat golongan belia mendapatkan maklumat berkenaan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET.

“Ini sangat penting kerana ia menjadi ‘pusat sehenti’ untuk semua golongan menikmati pelbagai pilihan juadah bahkan memperoleh maklumat untuk masa depan mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN