Misi pelayaran ‘cahaya’ TLDM pikultanggungjawab demi komuniti

Misi pelayaran ‘cahaya’ TLDM pikul tanggungjawab demi komuniti

SIMBOLIK Penerimaan Naskah Al-Quran di KD MAHAWANGSA yang disaksikan oleh Pengerusi Iman Care, Encik Wan Mohd Ikhwan bin Wan Ari kepada Kdr Nasrul Hadi bin Abdul Rahman TLDM, Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANAN Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukan sekadar menjaga keamanan dan kedaulatan negara semata-mata.

Hakikatnya, TLDM mampu menjalankan tanggungjawab yang melangkaui tugas dan peranan hakiki selaras dengan cogan kata ‘Sentiasa Berkorban’.

Paling membanggakan, tugasan yang dipikul salah satu cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini merupakan misi bantuan berasaskan prinsip pengukuhan kerjasama awam-tentera atau dikenali Civil-Military Cooperation (CIMIC) selaras Fokus Kelapan Perutusan Tahun 2025 Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin iaitu Mewujudkan Masyarakat Yang Patriotik Dan Menghargai Keamanan Serta Kedaulatan.

Dalam fokus tersebut, beliau menekankan kerjasama awam dan tentera bagi mengundang rasa senang serta sokongan masyarakat terhadap pasukan pertahanan negara.

Ini dibuktikan menerusi misi penghantaran 25,000 mushaf Al-Quran ke Sabah untuk diagihkan kepada penduduk di pedalaman Ranau.

Lebih menarik, misi yang diketuai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Iman Care ini disokong oleh TLDM dan diselaraskan Jabatan Agama Negeri Sabah.

Malah, misi pelayaran ini bukanlah sama sebagaimana misi penghantaran bantuan dan peralatan, sebaliknya ia misi khas membawa ‘cahaya’ dengan agihan kalam Allah SWT untuk mereka yang ternanti-nanti di Sabah.

Menurut Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) MAHAWANGSA Komander Nasrul Hadi Abdul Rahman TLDM, semua anak kapal berbesar hati melaksanakan tugas pelayaran dengan menyifatkan ia sebagai satu amanah besar membawa sejumlah besar kalam suci itu.

“Ia juga merupakan satu pengalaman yang memberikan kesedaran dan penuh bermakna. Apatah lagi ia bukan sekadar pelayaran fizikal, tetapi juga satu pelayaran spiritual yang meningkatkan rasa tanggungjawab.

“Paling penting, setiap detik pelayaran terasa lebih tenang, aman, dan diberkati. Ia mengingatkan kami bahawa setiap misi yang dilaksanakan turut disertai dengan doa yang diberkati serta dirahmati Allah SWT,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Nasrul Hadi ketika ditanya tentang proses keseluruhan dan penjagaan Al-Quran semasa pelayaran berkata, terdapat prosedur operasi standard (SOP) tersendiri bermula dari awal proses pemunggahan masuk naskah Al-Quran ke kapal sehingga proses pemunggahan turun dari kapal ke jeti.

“Semua naskah Al-Quran dijaga dengan penuh adab demi menjaga kehormatan. Ia dibalut dengan rapi bersama kotak, dilapik dengan palet kayu yang kukuh, bersih, dan diletakkan di tempat terhormat dalam kompartmen khas yang berasingan di kapal.

“Proses menaik dan menurunkan naskah Al-Quran pula dilakukan menggunakan kren dan forklift dengan penuh adab dan tertib,” jelasnya.

Tambah Nasrul Hadi lagi, majlis penyerahan naskah Al-Quran juga dimulai dengan bacaan doa serta disambut dengan penuh hormat oleh anggota yang bertugas.

Selain itu, anggota tidak dibenarkan menyentuh naskah suci tersebut kecuali memenuhi syarat-syarat tertentu seperti berwuduk dan bersih daripada hadas.

Sebagai rekod, ini merupakan program pelayaran kali kedua bagi KD MAHAWANGSA selepas kali pertama pada tahun 2023.

Dalam perkembangan lain, Nasrul Hadi yang cukup berbangga selepas dapat bersama-sama menyertai misi itu berkata, penyertaan setiap anggota terbuka tanpa ada syarat-syarat khas untuk menyertai misi ini.

“Walau bagaimanapun satu taklimat khas berkenaan adab dan tatacara pengendalian Al-Quran telah dilaksanakan untuk meningkatkan kefahaman serta memberikan peringatan terutama bagi anggota yang terlibat secara langsung dalam proses pengendalian naskah Al-Quran.

“Ini bagi memastikan penghormatan maksimum diberikan kepada naskah Al-Quran sepanjang misi berlangsung,” jelasnya.

Menurut Nasrul Hadi lagi, beliau dan semua warga KD MAHAWANGSA sentiasa komited untuk melaksanakan misi yang bukan sahaja memperkukuh aspek pertahanan, tetapi juga menyemai nilai spiritual dan kemanusiaan.

“Program pelayaran membawa naskah Al-Quran ini diharapkan dapat diteruskan dan diperluas pada masa akan datang sebagai salah satu simbol integriti dan tanggungjawab sosial TLDM kepada masyarakat dan agama,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN