FGV rai peneroka, angkat elemen pertanian secara interaktif

FGV rai peneroka, angkat elemen pertanian secara interaktif

ahmad Shabery Cheek melancarkan Festival FGV 2025 dan Aplikasi FGV Edugames, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Festival FGV 2025 menyaksikan pelbagai pengisian menarik termasuk pelancaran aplikasi permainan mudah alih pertama di dunia bertemakan industri sawit lestari.

Penganjuran festival tersebut bersempena dengan Hari Peneroka FELDA 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 30 Julai hingga 3 Ogos ini.

Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, majlis perasmian Festival FGV 2025 semalam turut menjadi medan untuk menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar peneroka dan pekebun kecil kepada kejayaan FGV selama ini.

“Banyak produk yang telah ditunjukkan dan kepelbagaian dalam FGV itu sendiri. Saya percaya sekarang ini sampai era di mana FGV sepenuhnya bersama dengan FELDA. Insya-Allah dua tenaga ini akan melangkah lebih jauh dan mendunia selepas ini,” katanya semasa majlis pelancaran Festival FGV 2025 dan Aplikasi FGV Edugames, di sini, semalam.

Reruai FGV mendapat perhatian ramai pengunjung yang datang ke Festival FGV
di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama Hari Peneroka dianjurkan bersama kementerian lain dengan pendekatan lebih menyeluruh dan inklusif.

“Sebelum ini Hari Peneroka ialah acara sendiri. Tetapi kali ini ia bergabung bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Sinergi antara semua pihak itu menjadikan acara ini lebih berkesan,” katanya.

Pelancaran itu turut disaksikan Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman serta barisan ahli lembaga dan pengurusan kanan syarikat.

Katanya, FGV Edugames, aplikasi permainan mudah alih yang membawakan kandungan pendidikan, turut mengandungi elemen pertanian sawit, amalan lestari secara interaktif dan menyeronokkan.

“FGV Edugames ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu cara mendekatkan generasi muda kepada dunia agrikomoditi dan membuka ruang mereka memahami kelestarian dengan pendekatan kreatif,” katanya.

Antara permainan yang ditampilkan termasuk Weevil Hero, Ladang Defence dan Waste to Wealth, masing-masing membawa mesej mengenai biodiversiti, pengurusan ladang mampan dan ekonomi kitaran.

Pengunjung turut teruja dengan aktiviti cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM100,000 termasuk skuter elektrik, peti ais, robot vakum dan peralatan elektrik rumah.

Tiga cabutan utama iaitu Hujan Emas FGV, FGV Drop & Dapat serta Beli & Menang Kedai FGV menjadi antara acara paling dinantikan pengunjung sepanjang festival.

Sepanjang festival, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan memasak ikonik Perajurit Dapur: Kotak Misteri FGV, yang menguji kreativiti peserta dalam menyediakan hidangan spontan menggunakan bahan rahsia.

Festival FGV turut menjual pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak pada harga istimewa.

Tambahnya, acara ikonik Perajurit Dapur: Kotak Misteri FGV kembali dengan cabaran baru yang menguji kreativiti peserta dalam menyediakan masakan spontan berdasarkan bahan misteri.

Selain itu, pertandingan Piala Tarik, Canai Toss-Off dan Lesung Batu Showdown mengangkat warisan kulinari tempatan dengan cara yang menyeronokkan dan inklusif untuk seisi keluarga.

Reruai jualan FGV turut menawarkan promosi hebat untuk pelbagai produk jenama SAJI, GULA PRAI dan LADANG’57 manakala FELDA Travel menampilkan pakej umrah dan pelancongan dengan tawaran eksklusif.

Tambahnya, pameran inovasi yang berlangsung hari ini juga mempamerkan inisiatif automasi, pendigitalan dan tenaga boleh diperbaharui oleh FGV dalam usaha memperkasa industri agrikomoditi.

“Festival FGV 2025 menjadi bukti kepada kesungguhan FGV dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti peneroka dan mendekatkan syarikat dengan masyarakat umum melalui pendekatan yang inklusif, moden dan relevan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN