TEMERLOH: Jawatan ‘panas’ Pengerusi Felda kini jadi bualan apabila penyandangnya, Tan Sri Idris Jusoh ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 30 Jun iaitu lebih awal dari tarikh sepatutnya Mei tahun depan.
Surat penamatan tugas Idris ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertarikh 12 Jun lalu.
Sejak dulu lagi impian warga Felda untuk melihat anak atau pemimpin dari tanah rancangan itu sendiri menjawat jawatan Pengerusi Felda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Felda Malaysia (DPBFM), Datuk Mohd. Mokhtar Ghazali berkata, jawatan itu bersilih ganti daripada tokoh korporat dan politik tanpa ada hubungan latar belakang dengan Felda.
“Kini kerajaan perpaduan pimpinan Anwar diharap dapat melantik tokoh yang berlatarbelakangkan warga peneroka. Tanggungjawab mengangkat tokoh anak Felda gagal dilaksanakan kerajaan terdahulu.
“Kali ini warga Felda mahu seorang pengerusi yang mempunyai roh Felda yang tahu titik bengik masyarakat peneroka,” kata beliau semalam.
Kata Mohd. Mokhtar, yang juga anak peneroka Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut, tokoh yang dipilih biarlah ibarat ‘ruas tebu yang manis’ bukan sebagai menumpang untuk populis melalui jawatan di Felda.
“Warga Felda memerlukan pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab kepada beberapa perkara. pendidikan, sosial, hiliran desa, semangat jati diri anak cucu peneroka,” katanya.
TOKOH
Menurutnya, ramai anak generasi Felda berkelulusan tinggi dan bergelar tokoh korporat serta berpengalaman dalam aktiviti kesukarelaan puluhan tahun menyantuni warga Felda.
“Pilihlah pemimpin baharu yang sudah kaya material dan jiwa lebih awal bagi mengelakkan mereka sibuk mengayakan diri dan kerabat yang boleh mengabaikan tanggungjawab hakiki,” katanya.
Kata Mohd. Mokhtar, antara tokoh yang layak diangkat sebagai Pengerusi Felda ialah Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar dan Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail.
Pengerusi Biro Sosial Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, masyarakat Felda menanti tokoh berwibawa sebagai pengganti Idris yang dapat menstabilkan harga komoditi sawit dan getah di samping mengembalikan kegemilangan organisasi itu di mata dunia.
“Pengerusi baharu Felda kelak harus bersikap empati tentang nasib dan kehendak warga peneroka.
“Kami mahukan seorang pengerusi yang benar-benar tahu kesulitan dan kemahuan peneroka yang dibentuk melalui sistem bermasyarakat oleh Felda sendiri,” katanya.










