APT Ke-26 perkukuh ketahanan serantau

APT Ke-26 perkukuh ketahanan serantau

Datuk Seri Anwar Ibrahim (enam dari kiri) dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) bergambar bersama Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 10 Julai lalu, Kuala Lumpur telah menjadi saksi kepada sebuah mesyuarat diplomatik berprofil tinggi yang melibatkan Menteri-Menteri Luar ASEAN dan rakan strategik utama dari Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea (Korea Selatan). 

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Plus Tiga ke-26 (APT ke-26) bukan sahaja menyemak kemajuan kerjasama serantau dalam pelbagai bidang, tetapi juga menjadi pentas penting bagi memperkukuh kesepaduan dalam menghadapi cabaran geopolitik, ekonomi dan sosial serantau.

Malaysia, selaku tuan rumah dan Pengerusi APT ke-26, telah memainkan peranan signifikan dalam memacu perbincangan ke arah masa depan kerjasama yang lebih progresif dan berdaya tahan. 

Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, dalam ucapan pembukaannya menegaskan bahawa APT bukan sekadar forum, tetapi sebuah kerangka strategik yang lahir daripada Krisis Kewangan Asia 1997 dan kini telah berkembang menjadi antara mekanisme kerjasama paling mantap di rantau ini.

Beliau mengingatkan bahawa dunia hari ini sedang dilanda “ribut sempurna” yang merangkumi peningkatan persaingan kuasa besar, fragmentasi ekonomi, gangguan rantaian bekalan dan ancaman teknologi rentas sempadan. Walau bagaimanapun, beliau yakin bahawa dengan pendekatan kolektif, kerjasama APT mampu terus membawa rantau ini keluar daripada krisis, sama ada dari segi ekonomi, keselamatan mahupun pembangunan sosial.

Mohamad Hasan turut menekankan potensi besar yang dimiliki APT. Dengan gabungan 2.28 bilion penduduk dan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal sebanyak USD 29.33 trilion (26% daripada ekonomi global), APT mempunyai tanggungjawab strategik untuk memastikan kestabilan serantau dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta lestari.

INTIPATI PERBINCANGAN APT KE-26

Mesyuarat ini telah menyemak pelaksanaan Pelan Kerja ASEAN Plus Tiga 2023–2027 dan menggariskan hala tuju kerjasama masa depan yang merangkumi pelbagai sektor kritikal. 

Antara pencapaian utama yang dibincangkan termasuk:

  1. Ekonomi dan Perdagangan:

(a) Kemajuan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (Regional Comprehensive Economic Partnership, RCEP).

(b) Pengoperasian Unit Sokongan RCEP (RCEP Support Unit, RSU).

(c) Komitmen kepada sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, khususnya melalui reformasi Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organization, WTO).

  1. Kewangan Serantau:

(a) Pelancaran Kemudahan Pembiayaan Pantas (Rapid Financing Facility, RFF) di bawah Inisiatif Multilateral Chiang Mai (Chiang Mai Initiative Multilateralisation, CMIM).

(b) Sokongan kepada Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (ASEAN+3 Macroeconomic Research Office, AMRO).

  1. Keselamatan Makanan dan Bencana:

(a) Penekanan terhadap pelaksanaan Rizab Beras Kecemasan ASEAN Plus Tiga (ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve, APTERR) dan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan ASEAN (ASEAN Food Security Information System, AFSIS).

(b) Sokongan kepada Pusat Penyelaras ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management, AHA Centre).

  1. Kesihatan Awam dan Tindak Balas Kecemasan:

(a) Komitmen kepada penubuhan dan pelaksanaan Pusat ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Berjangkit Muncul (ASEAN Centre for Public Health Emergencies and Emerging Diseases, ACPHEED).

  1. Transformasi Digital dan Inovasi:

(a) Sokongan kepada Rangka Kerja Perjanjian Ekonomi Digital ASEAN (ASEAN Digital Economy Framework Agreement, DEFA).

(b) Penyelarasan pelan tindakan ASEAN Digital Master Plan 2025 dan ASEAN Digital Master Plan 2030.

  1. Pembangunan Sosial dan Sumber Manusia:

(a) Kerjasama melalui Program CAMPUS Asia (Collective Action for Mobility Program of University Students in Asia).

(b) Penekanan kepada Pusat ASEAN untuk Penuaan Aktif dan Inovasi (ASEAN Centre for Active Ageing and Innovation, ACAI).

(c) Pelaksanaan Kerangka Induk Pemerkasaan Gender ASEAN (ASEAN Gender Mainstreaming Strategic Framework, AGMSF).

  1. Ketahanan Masyarakat dan Pembangunan Luar Bandar:

(a) Pelaksanaan Rangka Tindakan Pembangunan Luar Bandar ASEAN 2022–2026 (ASEAN Master Plan on Rural Development).

(b) Pelaksanaan kerjasama melalui Pertemuan Pegawai Kanan ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (Senior Officials Meeting on Rural Development and Poverty Eradication, SOMRDPE Plus Three).

Dalam Mesyuarat APT ke-26 ini, ketiga-tiga negara rakan—Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea—menyatakan sokongan padu terhadap pengukuhan kerjasama serantau APT sebagai tunjang kestabilan dan pertumbuhan Asia Timur.

Republik Rakyat China, melalui Menteri Luarnya Wang Yi, menegaskan bahawa sejak penubuhan mekanisme 10+3, negara-negara APT telah berjaya memperkukuh keupayaan menangani krisis, mempercepat integrasi ekonomi dan mencipta pemacu pertumbuhan baharu. China turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama merancang masa depan kerjasama fiskal dan kewangan serantau, memperkukuh jaminan makanan serta meneroka inovasi mekanisme baharu bagi meningkatkan ketahanan rantau ini.

Jepun, melalui Menteri Luar Iwaya Takeshi, menyatakan sokongan penuh terhadap Visi Komuniti ASEAN 2045 dan menyelaraskan kerjasama APT dengan matlamat jangka panjang tersebut. Beliau memberi tumpuan kepada tiga bidang utama: kerjasama ekonomi dan kewangan berasaskan peraturan antarabangsa yang bebas dan adil; keselamatan serantau termasuk desakan terhadap pelaksanaan penuh resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai Korea Utara; serta pengukuhan mekanisme serantau seperti RCEP, AMRO dan CMIM.

Republik Korea, diwakili oleh Timbalan Pertama Menteri Luar, Park Yoon-joo, menegaskan komitmen kerajaan baharu di bawah Presiden Lee Jae-myung untuk memperdalam hubungan strategik dengan ASEAN. Korea menyokong sepenuhnya pelan tindakan ASEAN-Korea 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan, peralihan digital dan hijau, keselamatan siber serta pengurusan cabaran bersama seperti perubahan iklim, jenayah rentas negara dan ketidaktentuan rantaian bekalan global.

Ringkasnya, APT ke-26 membuktikan bahawa ASEAN Plus Tiga kekal sebagai enjin utama kesepaduan Asia Timur. Di tengah-tengah ketidaktentuan global, kerjasama serantau melalui APT bukan sahaja menjanjikan ketahanan jangka panjang, tetapi juga menjadi platform harapan dalam mengangkat kehidupan rakyat Asia Timur ke tahap yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan bersatu. 

Nurul Amellya Azhar

 

Penulis ialah pelajar kedoktoran dalam bidang Ekonomi Politik Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN