KUALA TERENGGANU: Penganjuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 untuk Zon Timur yang melabuhkan tirainya hari ini berjaya menarik minat generasi muda untuk terus mendalami bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Karnival MSN merupakan satu inisiatif Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pusat Sains Negara dan rakan kerjasama strategik iaitu Planetarium Negara, Akademi Sains Malaysia dan Petrosains Discovery Center Sdn. Bhd.
Selain itu, penganjuran MSN juga mendapat tajaan daripada Yayasan MR. DIY selaku penaja utama MSN 2025. Kerjasama erat sektor swasta amat penting dalam memastikan inisiatif pembudayaan STI ini dapat dilaksanakan secara inklusif dan berimpak tinggi.
Berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) sejak Selasa lalu, karnival tersebut dikunjungi lebih 5,000 peserta dari zon Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beberapa pengunjung yang ditemui mengakui, semua aktiviti yang diadakan sepanjang karnival itu sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mencipta bakat dalam sektor teknologi membangun seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), robotik dan data raya.
Kakitangan swasta, Nurin Allisa Ahmad Hamdan, 38, berkata, dua anaknya yang berusia 11 tahun dan 14 tahun sangat teruja menyertai semua aktiviti yang terdapat di karnival itu kerana berbentuk interaktif dan bersifat hands-on.
“Tanpa disedari, kami sekeluarga meluangkan masa hampir empat jam di sini dengan aktiviti menarik seperti cerapan astronomi, cabaran meriam udara dan trivia sains.
“Karnival seperti ini sangat penting untuk menyemai minat anak dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) agar mereka dapat memperkukuh lagi pengetahuan dengan penyampaian yang kreatif dan menarik,” katanya yang datang dari Setiu.
Guru pelatih, Aina Batrisyia Rizal Hilmi, 24, pula berkata, konsep pembelajaran yang ditawarkan pada karnival itu adalah berbentuk fun learning yang sangat dekat di hati pelajar.
“Mereka dapat memahami prinsip asas sains dan matematik secara praktikal melalui aktiviti luar bilik darjah yang sangat menyeronokkan berbanding hanya belajar secara teori.
“Kemudahan yang terdapat di PSKT juga sangat selesa dengan kepelbagaian galeri pameran yang dapat memenuhi cita rasa dan minat pengunjung dalam bidang STEM.
“Saya berharap penganjuran karnival seperti ini dapat diadakan lebih kerap dalam skala lebih kecil pada masa akan datang untuk memudahkan golongan sasar menikmati manfaatnya,” katanya yang datang bersama rombongan sekolah dari Kemaman.

Penganjuran Karnival Minggu Sains Negara 2025 bermula di Sarawak pada Mei lalu diikuti Terengganu, Sabah, Johor, Kedah dan berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada November ini.
Khamis lalu, majlis perasmian Karnival MSN 2025 Zon Timur disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.
Penganjurannya adalah antara persediaan MOSTI dalam berdepan cabaran teknologi baharu seperti AI, IoT, pendigitalan, robotik dan ekonomi hijau agar Malaysia turut mampu melahirkan generasi pencipta dan peneraju bidang tersebut.
Lih Kang berkata, kementeriannya sangat komited dalam memastikan bakat tempatan dapat dibina secara inklusif dan berterusan agar negara bukan sahaja bersedia, malah mampu menerajui transformasi teknologi dan ekonomi masa depan.
Katanya, bagi mencapai matlamat itu, penglibatan pelbagai pihak berkepentingan seperti murid sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, pihak industri serta orang awam sangat diperlukan untuk menyertai aktiviti yang disediakan sepanjang karnival berlangsung.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah penganjuran karnival itu adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap beberapa kejayaan signifikan negeri itu dalam mengaplikasi sains dan teknologi melalui pelaksanaan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.
“Kerajaan negeri memberi komitmen sepenuhnya untuk terus menyokong inisiatif terhadap pembangunan bakat ekosistem STI yang mampan, inklusif dan progresif di Terengganu.
“Kesedaran dan pengetahuan STI bukan sahaja menjadi pemacu kemajuan negara, malah menjadi asas utama dalam pembentukan masyarakat yang berdaya tahan dan berdaya cipta,” katanya.
Lebih 50 aktiviti menarik berteraskan STI disediakan untuk pengunjung seperti pameran interaktif STEM, persembahan sains, pameran kerjaya berasaskan teknologi masa depan dan bengkel untuk pendidik. – UTUSAN