KEBIMBANGAN terhadap isu-isu sensitif termasuk bangsa, agama dan institusi diraja (3R) yang menjadi cabaran kepada perpaduan negara kini memerlukan pendekatan daripada rakyat menerusi penyelesaian secara terus dan lebih cepat.
Ini kerana, apabila melihat laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak 2023 hingga Mei lalu, sebanyak 40,515 kandungan berpotensi menjadi berita palsu dikenal pasti dan dilaporkan oleh penyedia platform.
Sebanyak 11,819 daripadanya menyentuh isu 3R dilaporkan untuk diturunkan dan daripada itu sebanyak 7,571 kandungan sudah pun dipadam.
Dari sudut penguatkuasaan undang-undang pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 99 kertas siasatan antara 1 Disember 2023 hingga 13 Mei lalu yang melibatkan 58 kes berkaitan institusi diraja, 32 agama dan sembilan kaum.
Justeru, Kementerian Perpaduan Negara mengambil pendekatan lebih efektif dengan melibatkan rakyat untuk berperanan sebagai mata dan telinga kepada pemeliharaan perpaduan melalui pelancaran Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN).
RAKAN merupakan sistem dibangunkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang membolehkan orang awam membuat aduan berkenaan isu yang mengancam keharmonian dan keselamatan komuniti secara terus dan maklumat itu akan disalurkan kepada PDRM dan SKMM.
RAKAN penting untuk memudahkan penyaluran maklumat, memberdaya peranan komuniti, membolehkan pengurusan maklumat lebih sistematik dan berpusat serta menyokong intervensi berdasarkan data nyata (real time).
Kementerian akan menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan sebagai sekretariat utama dalam menyelaras data berpusat (centralised data) berkaitan isu 3R. Data itu akan dihimpunkan secara sistematik daripada sistem RAKAN, kertas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Laporan komprehensif ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setiap suku tahun secara konsisten.
Untuk mengemukakan aduan, orang ramai boleh melayari rakan.jpnin.gov.my dan mendaftar sebagai pengguna, kemudian mengisi borang aduan dan melampirkan bukti sokongan seperti gambar, video dan sebagainya sebelum klik hantar.
Malah, orang awam boleh menyemak statistik serta perkembangan pelbagai isu dalam komuniti masing-masing melalui Dashboard Orang Awam. Platform ini membolehkan pengguna mengakses data berdasarkan negeri dan kategori, tertakluk kepada tahap akses yang ditetapkan.
Kini ancaman datang dalam pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan, ekstremisme, penyalahgunaan media sosial yang menyebarkan kebencian dan ketegangan dalam komuniti akibat manipulasi isu-isu perkauman dan keagamaan.
Selain itu, pemimpin politik juga perlu menunjukkan keteladanan yang tinggi dalam tutur kata dan tindakan serta mengutamakan keamanan negara melebihi kepentingan peribadi atau partisan.
Kita mungkin tidak memegang senjata seperti anggota keselamatan, namun kita mempunyai kuasa sivil untuk membuat pilihan bijak, menolak kebencian dan menanam benih keamanan. Maka saya menyeru semua untuk bergerak ‘segulai sejalai’.
Tidak ketinggalan ibu bapa juga memikul tanggungjawab besar dalam menyemai nilai murni, hormat-menghormati dan kasih saya kepada anak-anak, kerana asas perpaduan bermula dari institusi keluarga. – UTUSAN