KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara menganjurkan program Mengenang Negarawan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai penghargaan terhadap pengorbanan, jasa dan sumbangan dicurah ketika era pentadbirannya sebagai perdana menteri pertama Malaysia di Piazza, Pavilion Bukit Jalil, di sini hari ini.
Kementerian dalam kenyataan berkata, program bertemakan Negarawan Sejuta Jasa itu merupakan tandatangan Arkib Negara yang dilaksana setiap tahun bagi mengenang dan memperingati jasa serta sumbangan para negarawan yang diabadikan di dalam Arkib Memorial.
Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak dapat hadir ke program berkenaan.
Kementerian berkata, program itu menyaksikan pengunjung berpeluang mengikuti sesi pengisahan oleh cucu Tunku Abdul Rahman iaitu Tunku Muinuddin Tunku Ahmad Nerang dalam slot ‘Memories of My Grandfather’ (Kenangan Datuk Saya) .
“Program ini selaras dengan usaha menyebarluaskan maklumat sejarah dan legasi ketokohan Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang banyak memberi sumbangan dalam perjuangan kemerdekaan dan penubuhan Malaysia serta membangunkan ekonomi negara.
“Pelbagai aktiviti menarik dirangka kepada pengunjung antaranya pameran eksklusif yang memaparkan koleksi khas Tunku Abdul Rahman, kereta merdeka, persembahan busking, pameran jabatan dan agensi kerajaan dan banyak lagi.
“Melalui program ini, jasa dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman bukan sahaja menjadi sumber inspirasi dan teladan seluruh rakyat Malaysia, malah dicontohi pemimpin masyarakat dan politik demi kemakmuran negara,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Anak Dagang berkata, segala sumbangan dan legasi ditinggalkan Allahyarham akan menjadi inspirasi generasi muda untuk terus menjadi ejen penggerak negara muhibah dan harmoni.
Beliau berkata, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) ditubuhkan pada 1966 sebagai badan berkanun bagi menyediakan bantuan kewangan bagi pelajar-pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Katanya, YTAR membantu seramai 9,000 pelajar dan menyasarkan membantu lebih 1,000 pelajar bagi tempoh lima tahun akan datang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi seterusnya menjadi pemimpin muda.
“Kini, YTAR di bawah tanggungjawab Kementerian Perpaduan akan terus menumpukan kepada menyediakan bantuan pendidikan melalui Biasiswa Tunku Abdul Rahman serta menjalankan program Closing The Gap dan Future Ready yang akan meningkatkan kebolehpasaran graduan golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya. – UTUSAN










