PUTRAJAYA: Lebih 1,000 kakitangan dan ahli keluarga Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyertai Program Jalan Untuk Sihat (JUS) di Taman Botani di sini.
Bermula pukul 7 pagi, ia dimulakan dengan senam robik sebelum peserta dilepaskan oleh Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.
Bertemakan ‘Langkah Cemerlang Ke Arah Warga Kerja Berprestasi Tinggi’, JUS RISDA 2025 adalah inisiatif utama di bawah pelaksanaan Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) WOW (Wellness of Workers).
Manndzri berkata, program dianjurkan bagi memupuk pembudayaan hidup sihat dalam kalangan warga kerjanya.
Katanya, JUS RISDA 2025 dirangka berkonsepkan aktiviti berjalan kaki secara berkumpulan bersama ahli keluarga, dalam suasana semula jadi yang harmoni, ke arah membentuk komuniti kerja lebih cergas, ceria serta berdaya saing.
“Kita tidak sekadar hadir bersama keluarga untuk beriadah, tetapi sebagai tanda komitmen terhadap pembentukan budaya organisasi yang lebih sihat melalui inisiatif dicetuskan kerajaan.
“Ia juga selari dengan aspirasi untuk memperkasa warga kerja RISDA yang bukan hanya cemerlang sudut tugas dan prestasi, tetapi sihat aspek fizikal, mental dan emosi.
“Pendekatan ini selaras hasrat agensi menjadi peneraju kemajuan pekebun kecil getah berprestasi tinggi dengan sasaran memastikan kesihatan dan kesejahteraan warga RISDA dipelihara,” katanya.
Program turut disertai Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Haniza Ab. Shukor dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Md. Najip Ishak.
Manndzri berkata, turut diaktifkan program Get Fit Challenge bersama Kevin Zahri di peringkat Ibu Pejabat RISDA bermula Jun hingga Ogos ini.
“Sebuah organisasi yang cemerlang tidak hanya menuntut prestasi kerja tinggi, tetapi perlu menyediakan ruang dan sokongan kepada warganya menikmati kehidupan seimbang,” katanya.
Katanya, RISDA sedang bergerak ke arah budaya berprestasi tinggi high (HPC) yang menerapkan menjaga kesihatan tubuh, kekuatan minda dan ketenangan jiwa.
“Melalui pelaksanaan KOSPEN WOW, kita menyemai nilai bahawa produktiviti sebenar bukan diukur semata-mata pada hasil kerja, tetapi pada keupayaan fizikal dan emosi untuk kekal konsisten dan berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN