PETALING JAYA: Kestabilan politik di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh usaha menuntut hak-hak negeri itu seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pensyarah Sejarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Bilcher Bala berkata, pendekatan politik Hajiji yang stabil dan konsisten bukan sahaja mengukuhkan struktur pentadbiran negeri malah membuka peluang kepada rundingan lebih berkesan di peringkat Persekutuan.
Katanya, Ketua Menteri Sabah itu menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan hak Sabah terus diperkasa dan diangkat sewajarnya sebagaimana termaktub dalam MA63 dan laporan Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC) 1962.
“Sejak 2019 hingga akhir 2024, sebanyak 11 perkara dalam MA63 berjaya diselesaikan. Antaranya, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi membolehkan wakil kerajaan negeri dilantik sebagai anggota tetap.
“Daripada jumlah tersebut, tujuh perkara berjaya diselesaikan di bawah pentadbiran Datuk Seri Hajiji. Ini menunjukkan betapa gigihnya beliau dalam memperjuangkan isu ini secara berperingkat tetapi berkesan.
“Hajiji turut menegaskan bahawa tuntutan hak Sabah adalah demi kesejahteraan negara dan berlandaskan komitmen menjunjung Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Bilcher berkata, jenama politik Hajiji turut dikaitkan dengan kestabilan dan pragmatisme yang telah membawa impak besar terhadap keutuhan pentadbiran negeri.
Katanya, kejayaan Hajiji membentuk kerajaan perpaduan yang melibatkan pelbagai parti politik tempatan dan nasional turut membantu mengurangkan perpecahan politik dan memastikan kerajaan negeri berfungsi dengan lebih efektif.
“Beliau (Hajiji) memperkenalkan dasar mesra pelabur yang telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinannya, Sabah telah mencatatkan pelbagai pencapaian dalam pembangunan ekonomi, infrastruktur dan pengurusan sumber,” katanya.
Menurut Bilcher, kestabilan politik yang dicapai di bawah kepimpinan Hajiji merupakan faktor utama yang memudahkan usaha menuntut hak Sabah dilaksanakan secara berperingkat dan berkesan.
“Keadaan politik yang stabil membolehkan usaha penuntutan MA63 diperkukuh dengan empat faktor penting iaitu rundingan secara konsisten dengan kerajaan pusat, kerjasama erat Sabah-Persekutuan, kecekapan pentadbiran dan komitmen kepimpinan Hajiji.
“Pendekatan yang seimbang antara kerjasama dan desakan proaktif membolehkan tuntutan MA63 ini diselesaikan dengan lebih efektif,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Politik UMS, Dr. Zaini Othman berkata, perkembangan sosio-politik dalam beberapa tahun kebelakangan ini jelas memperlihatkan peranan Ketua Menteri termasuk Datuk Seri Hajiji semakin besar dalam memperjuangkan pelaksanaan MA63.
Katanya, institusi Ketua Menteri kini dilihat memainkan peranan lebih tersusun dan aktif melalui penubuhan jawatankuasa khas serta pasukan kerja yang memfokuskan kepada isu-isu berkaitan MA63.
Justeru, Sabah kini semakin tegas dalam menyuarakan hak khususnya melibatkan hasil petroleum, kutipan cukai negeri, pendidikan serta usaha mendapatkan semula kuasa pentadbiran yang pernah diambil alih.
“Apa yang ketara, Hajiji bukan sahaja memainkan peranan penting di peringkat negeri malah turut membawa suara Sabah ke meja rundingan di peringkat Persekutuan melalui Jawatankuasa MA63 yang merupakan saluran rasmi.
“Gaya kepimpinan beliau pula lebih bersifat simbiosis dengan kecenderungan mencari titik persamaan dan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan demi memastikan rundingan berperingkat membuahkan hasil yang kekal dan bermakna untuk Sabah,” katanya.
Zaini berkata, jenama politik Hajiji yang bersifat sederhana dan inklusif jelas terbukti apabila beliau berjaya memimpin Sabah sejak 2020 meskipun dalam landskap politik negeri yang tidak menentu.
Katanya, salah satu langkah signifikan Hajiji ialah membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebuah kerjasama politik yang lebih bercirikan tempatan dan menumpukan kepada keperluan serta sentimen rakyat Sabah.
“Pembentukan GRS dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan pergantungan kepada parti-parti nasional yang berpusat di Semenanjung sekali gus memperkukuh keupayaan politik Sabah.
“Strategi Hajiji menghimpunkan wakil rakyat daripada pelbagai latar belakang ke dalam satu blok yang lebih stabil turut membantu meredakan ketidaktentuan. terutamanya dalam soal lompat parti yang sering menjadi isu di Sabah,” katanya.
Selain itu, katanya, kestabilan politik di bawah kepimpinan Hajiji sememangnya memberi impak positif terhadap usaha menuntut semula hak Sabah seperti yang terkandung dalam MA63.
Katanya, struktur pentadbiran negeri yang lebih stabil juga membolehkan tumpuan diberikan kepada agenda besar tanpa terganggu oleh pergolakan politik dalaman yang sering melemahkan fokus serta keupayaan pelaksanaan dasar.
“Dari satu sudut, kestabilan ini juga menjadikan proses rundingan dengan kerajaan Persekutuan lebih konsisten dan berstruktur. Ini penting kerana tuntutan MA63 memerlukan usaha berterusan dan bukan sesuatu yang boleh diselesaikan secara tergesa-gesa.
“Tambahan pula, kestabilan politik memberi isyarat positif kepada pelabur dan komuniti perniagaan. Dalam jangka masa panjang, keyakinan pelabur ini juga menyumbang kepada pembangunan negeri dan menyokong aspirasi autonomi Sabah secara tidak langsung,” katanya. – UTUSAN