Di ketika nama yang terkorban terpampang di tajuk utama berita, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) cakna mengenai keperluan merintis arus perubahan. Ini kerana perihal kemalangan, kematian, kebakaran dan banjir pada masa kini dihebahkan menerusi pelbagai wadah. Sisi duka di sebalik rangkaian tragedi ini bukan sekadar memenuhi waktu utama siaran televisyen dan lembaran media cetak, sebaliknya menerobos hingga ke telefon pintar. Justeru, terpinggirnya rakyat Malaysia daripada menerima talian hidup bukan kerana berada di luar jangkauan, tetapi kerana tiada siapa hadir menyantuni mereka.
Di kaunter-kaunter PERKESO, ada sisi lain yang meruntun jiwa. Balu, anak kecil dan warga emas yang segelintirnya mengambil masa lama untuk hadir selepas insiden trauma, tanpa pada awalnya mengetahui bahawa menerima bantuan sentiasa menjadi hak mereka. Penelitian rutin kemudian mendapati, banyak tuntutan tidak pernah dikemukakan.
Angkara kurang celik hak menerima faedah, hidup berubah sekelip mata dan impian yang dipahat tinggi terpaksa dilupakan. Natijahnya, anak kecil tercicir dari sekolah selepas pemergian bapa, sementara seorang ibu lain terpaksa mengerah kudrat, melakukan dua kerja bagi menampung kelangsungan ‘periuk nasi’ keluarga yang terjejas ekoran kecederaan dialami suami. Ini bukan sekadar omongan kosong, tetapi realiti pahit kehidupan.
Ini waktu genting yang mengupas persoalan utama. Andai perlindungan sosial hanya berperanan sebaik dokumen diperlukan hadir di meja kaunter, maka segalanya sudah terlewat. Oleh itu, ‘berpeluk tubuh’ di kaunter adalah takuk lama. Jika tragedi tidak berjadual, begitu juga resam perkhidmatan PERKESO.
Bukan di penghujung derita tercongoknya kita, tetapi di garis pemisah bibit hidup beransur kelam. Sehubungan itu, tertubuhnya Skuad PERKESO Prihatin pada 2015 bukan melalui pembentangan dasar, tetapi lahir daripada hati nurani.

Langkahan mula skuad ini berbekalkan satu misi iaitu hadir secara fizikal, bukan sekadar bertemankan salam takziah atau sekadar untuk mengesahkan kelayakan, sebaliknya bagi membawa nilai kemanusiaan ketika di puncak hiba. Hadirnya kami cuba membawa ketenangan yang kian luput, tatkala menyampaikan hak waris – semuanya demi memastikan kelibat pertama di muka pintu keluarga berduka bukan si pengutip hutang, tetapi insan untuk menghulur tangan menongkat rebah. Ini bukan amal kebajikan tetapi keadilan sosial.
Semakin kerap kelibat kami di lapangan, lebih banyak yang tersingkap apabila sebenarnya jurang penyaluran bantuan berpunca daripada sistem, bukan sekadar dipengaruhi emosi. Bersandarkan laporan terakhir Bank Negara Malaysia, terlalu ramai yang masih terpinggir meskipun Malaysia memperuntukkan RM17.1 bilion melalui pelaksanaan 60 program sosial pada 2019.
Pengagihan bantuan merentasi kementerian, jabatan negeri, agensi agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semuanya dengan niat tulus. Bagaimanapun, acap kali kita membantu keluarga sama secara berulang, sementara yang lain melopong menunggu talian hidup yang tidak kunjung tiba. Sistem yang sarat dengan niat mulia ini malangnya ketandusan aspek penyelarasan.
Banyak pertindihan sokongan apabila pelbagai agensi menguruskan senarai berasingan, memeram data mereka sendiri dan bekerja secara ‘silo’. Kesannya, jaringan perlindungan sosial yang semakin cakah tetapi halus dan kusut. Tiada satu agensi yang mempunyai gambaran menyeluruh. Mereka yang memerlukan pertolongan hidup mati diarah ke hulu ke hilir, berpindah kaunter sambil terpaksa mengulangi cerita duka dalam setiap barisan.
Justeru, perubahan harus direncana dengan PERKESO sebagai perintis revolusi. Pada 2019, PERKESO mewujudkan Program Sinergi Sosial, iaitu sebuah ekosistem untuk menyelaras niat murni yang sebelum ini berpecah, kini menjadi tindakan bersasar. Bukan sekadar menjadi wadah menyatukan keseluruhan rakan strategik mencakupi kementerian di peringkat Persekutuan, badan-badan di kerajaan negeri hingga pusat zakat dan pihak berkuasa tempatan, malah ia selari dasar melangkaui bidang kuasa atau ‘no wrong door policy’.
Kalau dulu ekosistemnya berselirat, kini hanya satu janji asas dihampar: di saat anda memerlukan bantuan, kami dan laskar dengan kekuatan lebih 300 agensi sentiasa di sisi.
Sinergi Sosial bukan hanya bertujuan berkongsi sumber, tetapi pemangkin untuk menebus maruah apabila keluarga terkesan diziarahi, setiap fail kes ini mengandungi spektrum bantuan yang lengkap. Talian hidup ini antaranya meliputi padanan pekerjaan, peningkatan kemahiran, bantuan kewangan, penjagaan anak, sokongan psikososial dan pelbagai lagi. Sistem ini ‘mendengar’, bertindak dan beradaptasi. Ia berubah dari khidmat kaunter kepada ziarah ke rumah, memorandum berevolusi menjadi penyaluran kes secara serta-merta sehingga menyaksikan 39,656 daripadanya direkodkan di seluruh negara, semuanya demi memastikan talian hidup buat mereka yang memerlukan hadir tanpa lengah.
Namun, sandaran terhadap kolaborasi semata tidak memadai kerana kami memerlukan ketepatan. Menyedari hakikat ini, pada tahun sama, diwujudkan Sistem MySynergy iaitu perisian digital yang dibangunkan sendiri oleh PERKESO. Nadi peranannya adalah untuk memusatkan penyimpanan rekod yang sebelum ini tidak mampu dilaksanakan berdekad lama. Melalui pengesanan kes dan mengenal pasti pertindihan, ia membolehkan agensi untuk mendapat gambaran menyeluruh dalam merencana bantuan selanjutnya jika perlu serta menangani kepincangan.
Ini bukan sekadar pangkalan data, tetapi kompas yang ‘memandu’ tindakan demi menjamin kebertanggungjawaban dan memaknai fungsi sebenar perlindungan sosial – cekap, bersepadu dan penuh ihsan. Hari ini, menjengah usia sedekad perkhidmatan Skuad PERKESO Prihatin yang tidak mengenal lelah, kita bukan lagi sekadar peneman di kala duka, sebaliknya perintis perubahan intervensi negara.
Sehubungan itu, PERKESO kini merencana usaha agar Program Sinergi Sosial dan Sistem MySynergy diangkat sebagai wadah rasmi perlindungan sosial negara, dengan penggabungan semua pangkalan maklumat merentasi agensi. Bukan sekadar kisah kejayaan PERKESO, tetapi revolusi perkhidmatan awam kerana sudah terang lagi bersuluh – jika bantuan lewat tiba, kita menafikan peluang penerima. Impian anak kecil terjejas kerana sistem terhenti, sementara ibu tunggal terus dibebani tatkala menanti bantuan yang entah ke mana angkara kecamukan kerenah birokrasi. Ini tidak seharusnya berlaku, bukan di bawah pengawasan kita.
Janganlah kita kelirukan birokrasi dengan dasar atau merumitkan kemajuan. Ayuh kita celik dalam menggapai misi untuk melindungi, bertindak dan menjadi tongkat buat mereka yang rebah. Dalam sedekad, daripada jejak di lapangan, Skuad PERKESO Prihatin kini melangkah sederap bersama rakan strategik yang kian berkembang menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan, sekali gus meluaskan jangkauan hingga ke nadi masyarakat.
Diperkasa Sistem MySynergy, skuad ini terus berevolusi dengan penggunaan teknologi untuk memantau, menyelaras dan menyalurkan bantuan secara lebih tepat, menyeluruh serta penuh ihsan.
Masanya sudah tiba untuk kita mengorak lebih banyak kemajuan dan menggalas mandat sedia ada supaya tiada rakyat Malaysia yang terpinggir. Biarlah langkahan seterusnya bukan untuk dirai, tetapi tekad yang membara di sanubari.
Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed
Ketua Pegawai Eksekutif