PKR jangan tunduk kepada politik perkauman

PKR jangan tunduk kepada politik perkauman

Ramanan Ramakrishnan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PKR perlu terus menjadi peneraju sebagai sebuah parti yang tidak mengamalkan pemisahan kaum demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Dalam hal ini, ia memerlukan satu pasukan pemimpin yang berwibawa untuk mengekang sentimen perkauman yang ke­rap dimainkan sejak kebelakangan ini.

Maka sebab itu, calon Naib Presiden, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, kali ini beliau tampil ke hadapan mencalonkan diri bertanding jawatan Naib Presiden bagi ‘memecah’ persepsi tersebut dan memberi keadilan tidak mengira bangsa dan agama.

“Kaum dan agama tidak sepatutnya dijadikan alat untuk dimanipulasi dan PKR adalah parti untuk semua rakyat Malaysia. Kita tidak boleh membiarkan perpecahan memusnahkan perpaduan kita.

“Malah, saya juga ti­dak akan sesekali tunduk kepada rasisme atau politik perkauman,” katanya ketika temubual eksklusif dengan Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Perebutan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti PKR kali ini menjadi sengit apabila 12 calon bersaing untuk empat kekosongan.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kali ini akan bersaing dengan beberapa nama besar antaranya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau yang juga diberikan tanggungjawab untuk menjaga hal ehwal komuniti India oleh Perdana Menteri menegaskan, meskipun datang daripada latar belakang yang berbeza dan mempunyai peranan tersendiri terhadap komuniti masing-masing, ia tidak menjadi sebab untuk beliau dilabel sebagai jurucakap sesebuah parti semata-mata.

“Pemimpin India mungkin lebih fokus kepada isu komuniti India, pemimpin Cina kepada masyarakat Cina dan pemimpin Melayu kepada keperluan orang Melayu. Tetapi jangan kita lupa yang kita adalah warganegara yang sama.

“Dalam parti, kita tidak boleh berfikiran ‘awak India, saya Melayu, dia Cina.’ PKR adalah rumah untuk setiap rakyat Malaysia. Kita mesti berkhidmat kepada semua rakyat, bukan hanya satu golongan.

“Sebab itu saya me­nyo­kong perju­angan PKR dan ingin menjadi se­ba­hagian daripada pimpinan parti itu sen­diri,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai ja­watan yang ditandinginya kini, Ramanan meyakini yang dia mempunyai sedikit kelebihan berhubung keakrabannya dengan ahli di peringkat akar umbi berikutan kini menggalas tanggungjawab sebagai timbalan menteri.

“Itu tindakan yang nyata, jika sebelum ini saya sudah berjumpa dan berkhidmat untuk rakyat, tetapi tugas saya sebagai timbalan menteri memerlukan saya berkhidmat lebih dekat dengan rakyat.

“Contohnya, di kawasan Parlimen saya di Sungai Buloh, saya kerap menganjurkan ‘Program Jualan Usahawan dan Koperasi Madani,’ malah saya sendiri menanggung sebahagian kos diskaun untuk membantu penduduk menangani kos sara hidup.

“Ketika musim perayaan sama ada Deepavali, Hari Raya atau Tahun Baharu Cina, saya juga menganjurkan program jualan seperti ini supaya penduduk dapat membuat persiapan dengan kos serendah mungkin dan menyambut bersama keluarga, itu hakikatnya,” ujarnya.

Namun katanya, pendekatan yang beliau akan lakukan menjadi lebih fokus sekiranya dipilih sebagai naib presiden, di mana pengukuhan struktur parti di peringkat akar umbi antara aspek yang menjadi keutamaan, di samping mendapatkan lebih banyak sumber serta peluang latihan bagi memperkasa ahli-ahli parti melaksanakan program bantuan sosial dengan lebih berkesan.

“Ini kerana kita perlu ingat, tidak kira betapa besar dan mewah sebuah rumah, jika asasnya lemah, ia tidak akan bertahan. Kita mesti bina asas akar umbi yang kukuh agar parti dapat melaksanakan misi yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN