Pentadbiran Hajiji positif sediakan infrastruktur, kemudahan awam

Pentadbiran Hajiji positif sediakan infrastruktur, kemudahan awam

HAJIJI Noor (kiri) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan parti ketika menyampaikan Taklimat Pembangunan Negeri Sabah sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri di Pekan Tuaran, pada 22 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Sabah di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan perkembangan positif dalam menyediakan kemudahan dan infrastruktur asas kepada rakyatnya.

Felo Penyelidik Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Mohamad Isa Abd. Jalil berkata, menerusi peruntukan pembangunan RM6.7 bilion bagi tahun ini, kerajaan negeri kini sedang mempercepatkan proses perancangan dan pembangunan projek berimpak tinggi.

“Antaranya, termasuklah projek grid elektrik berskala besar dan menaik taraf sistem bekalan air luar bandar.

“Projek berimpak tinggi itu membabitkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Tongod, Loji Rawatan Air di Papar, Loji Rawatan Air di Telibong, Tamparuli, pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo Fasa 1B, serta perancangan pelaksanaan loji janakuasa tenaga hijau di Sandakan.

“Malah, terdapat beberapa loji air yang diswastakan sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan kecekapan operasi bagi menyediakan kelengkapan asas untuk rakyatnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, pentadbiran Hajiji Noor dipersoal sejak beliau menyandang jawatan itu pada 2020 berhubung kecekapannya dalam menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik serta jalan raya bagi rakyat Sabah.

Tambah Mohamad Isa, keuntungan RM5.3 bilion hasil daripada projek pembalakan sejak 1999 tidak boleh dilihat hanya sekadar nombor tetapi konteks perbelanjaan dalam tempoh 26 tahun.

Jelasnya, pecahan perbelanjaan merangkumi kos pengurusan hutan, pembayaran kepada pemegang konsesi, peruntukan untuk jabatan teknikal dan penyelenggaraan infrastruktur.
“Bukan semuanya masuk ke akaun pembangunan negeri secara langsung.

“Sekiranya bercakap soalan jalan raya, terdapat beberapa jenis jalan raya iaitu pembahagian Persekutuan dan negeri. Jalan Persekutuan dibiayai dan diselenggarakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) pusat manakala jalan negeri ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan diurus oleh JKR negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebagai contoh, selain Lebuhraya Pan-Borneo, di bawah pentadbiran Hajiji juga telah menggerakkan Projek Naik Taraf Jalan di Ranau untuk membangunkan kawasan pelancong selain bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Beliau juga telah membangunkan projek Jalan Sinaron, Sook ke Jalan Linayukan, Tongod sepanjang 40km bernilai RM320 juta serta Jalan Rancangan Belia Tiulon, Sook sepanjang 22.85km dengan kos RM127 juta,” katanya.

HAJIJI Noor ketika menandatangani projek menaik taraf pembinaan jalan berturap, sekolah baharu, klinik kesihatan, pencawang elektrik dan Rumah Mesra SMJ di Sook, Keningau, Sabah, pada 28 April lalu.

Sementara itu, Felo Penyelidik Bersekutu Institusi Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhd. Afifi Abdul Razak berkata, Hajiji telah menjadikan pembangunan kemudahan asas sebagai keutamaan sejak menjadi Ketua Menteri Sabah pada 2020.

Katanya, usaha beliau menunjukkan hasil positif walaupun berhadapan pelbagai cabaran untuk menaiktaraf kemudahan secara berperingkat terutama di kawasan pelancongan komuniti.

“Dalam isu Jambatan di Kawasan Pelancongan Kampung, meskipun beberapa kawasan masih bergantung pada jambatan kayu usang, pentadbiran beliau telah memberi perhatian khusus kepada keselamatan dan penyelenggaraan jambatan gantung.

“Beliau juga menekankan pentingnya infrastruktur luar bandar untuk sokongan pelancongan dengan meningkatkan hasil pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) kepada RM7 juta pada 2024 berbanding RM6.7 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.

Mengulas isu bekalan air dan elektrik, Afifi berkata, pentadbiran Hajiji memperkenal pelbagai inisiatif bagi menaiktaraf bekalan di negeri itu.

“Antaranya, beliau memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah (2024) untuk kawal selia industri bekalan elektrik selain komited mendapatkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk menyerahkan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan gas.

“Beliau juga merancang untuk meningkatkan kapasiti bekalan elektrik asas kepada 1,298 megawatt (MW) menjelang 2035 serta bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah bekalan air melalui kerja-kerja nilai tambah pada sistem perkhidmatan bekalan air dan elektrik,” katanya.

Di samping itu, katanya, Hajiji turut melaksanakan pelbagai program bagi menambah baik kualiti hidup rakyat Sabah antaranya membabitkan projek sambungan bekalan air bersih untuk tiga kampung di Tuaran.

“Beliau juga menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) dan Unit Tenaga Negeri Sabah (UTNS) yang bertanggungjawab terhadap dasar tenaga, perancangan, dan penyelarasan pembangunan infrastruktur tenaga di Sabah.

“Selain itu, program perumahan Rumah Mesra SMJ untuk 120 penduduk antara tempoh 2022 hingga 2024 dengan peruntukan RM9.6 juta serta 80 unit Rumah Mesra SMJ di Sook pada 2025 dengan peruntukan RM6.4 juta bagi rakyat Sabah.

“Bagi menjaga kebajikan rakyat Sabah, program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) dengan bantuan RM300 sebulan untuk 100,000 penerima yang layak serta peningkatan bayaran khas interim Sabah dari RM300 juta kepada RM600 juta bagi 2025,” katanya.

Secara keseluruhan, pentadbiran Hajiji telah menunjukkan komitmen jelas dalam menangani isu kemudahan asas di Sabah setelah berpuluh tahun isu tersebut tidak diberi penekanan bagi tujuan pembangunan rakyat.

Melalui penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah, projek-projek jalan raya dan program bantuan seperti Rumah Mesra SMJ serta SYUKUR, pendekatan holistik telah diambil untuk memenuhi keperluan rakyat dengan mengambil kira keperluan utama iaitu kesejahteraan rakyat Sabah.

Dengan peruntukan RM6.7 bilion untuk Sabah pada tahun ini, pembangunan kemudahan asas dan infrastruktur masa hadapan akan terus dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah bertepatan dengan slogan rasmi negeri itu, Sabah Maju dan Berjaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN