KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam satu kenyataan hari ini, pergerakan itu berkata, sokongan tersebut merupakan manifestasi keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji yang disifatkan matang, berwibawa dan berpandangan jauh dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan agenda pembangunan negeri.
“Sehubungan itu, seluruh jentera dan kepimpinan Pemuda di semua peringkat digesa untuk memperteguh kesatuan saf perjuangan dan memberikan sokongan padu kepada Datuk Seri Hajiji Noor dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Sokongan ini amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan,” katanya.
Semalam, Pemuda Gagasan Rakyat mengambil pendirian menolak kemasukan Barisan Nasional (BN) ke dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus yang dipimpin Hajiji.
Dalam masa yang sama, pergerakan itu menegaskan bahawa sayap Pemuda telah dan akan terus memainkan peranan sebagai wadah utama menyuarakan aspirasi, harapan dan denyut nadi anak muda Sabah kepada kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan.
“Namun demikian, Pemuda juga menzahirkan pendirian untuk sentiasa akur, patuh dan setia terhadap setiap keputusan pimpinan, demi menjamin kestabilan, keutuhan organisasi serta kelangsungan perjuangan membangunkan negeri dan membela nasib rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.
Pemuda Gagasan Rakyat turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang telah mengangkat sumpah semalam dan berharap kabinet baharu dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada penyelesaian isu berkaitan kepentingan rakyat.
“Kami menaruh penuh keyakinan agar barisan kabinet yang dilantik ini dapat memberi tumpuan kepada penyelesaian isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh dan tuntas, selain penambahbaikan serta peluasan inisiatif kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Selain itu, Pemuda Gagasan Rakyat juga mahu melihat pemerkasaan agenda wanita dan pembangunan anak muda, peningkatan kecekapan tadbir urus serta penggunaan sumber negeri secara berhemah, di samping terus konsisten mempertahankan hak-hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya. – UTUSAN










