PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan insentif khas kepada pendeposit Simpan SSPN Prime iaitu Ganjaran Kesetiaan sebanyak satu peratus sebagai tambahan selain dividen tahunan.
Insentif itu yang masuk tahun keenam sejak 2019 ditawarkan kepada pendeposit di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang membuat tabungan dalam jangka masa panjang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Kempen Ganjaran Kesetiaan ini akan dinikmati pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM1,000 dalam tempoh promosi iaitu bermula 1 Mei hingga 31 Julai 2025.
“Insentif ini layak dinikmati oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 sehingga 31 Disember 2021.
“PTPTN sentiasa menghargai sokongan pendeposit yang kekal setia menabung dalam Simpan SSPN. Jadi rebutlah peluang menambah simpanan dan nikmati Ganjaran Kesetiaan yang ditawarkan,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini kelmarin.
Terdahulu, PTPTN mengumumkan dividen Simpan SSPN 2024 sebanyak 4.05 peratus, iaitu angka tertinggi dalam tempoh 10 tahun yang memanfaatkan sejumlah 6.77 juta akaun pendeposit melibatkan peruntukan RM439.87 juta.
Ini menjadikan keseluruhan agihan dividen berjumlah RM2.12 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004.
Sebelum ini, PTPTN mengumumkan agihan dividen Simpan SSPN 2023 sebanyak 3.6 peratus membabitkan anggaran peruntukan RM357.65 juta.
Zambry berkata, peningkatan kadar dividen ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang.
Ini berpaksikan amalan berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum dapat diberikan kepada para pelanggan.
“Peningkatan ini disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif.
“Strategi pengurusan risiko yang berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan yang strategik dalam simpanan tetap jangka panjang dan sukuk telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan,” katanya.
Menurut Zambry, pemberian dividen Simpan SSPN 4.05 peratus menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif jika dibandingkan dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan oleh Bank Negara yang kekal pada kadar 3.0 peratus sepanjang 2024.
Katanya, agihan dividen akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah deposit Simpan SSPN pada tahun lalu meningkat sebanyak RM24.37 juta atau 0.77 peratus iaitu sebanyak RM3.17 bilion berbanding RM3.15 bilion (2023).
“Lebih 500,000 akaun baharu juga telah direkodkan pada tahun lalu. Jumlah keseluruhan deposit terkumpul yang diterima sehingga 31 Disember 2024 adalah sebanyak RM20.56 bilion, melibatkan 6.77 juta akaun.
“Ini merupakan pencapaian yang membanggakan dan bukti sokongan pendeposit Simpan SSPN yang terus kekal utuh,” katanya. – UTUSAN