Lima tahun di bawah GRS, pendapatan Sabah meningkat 44% kepada RM6.445 bilion

Lima tahun di bawah GRS, pendapatan Sabah meningkat 44% kepada RM6.445 bilion

PEMERINTAHAN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencecah tempoh lima tahun membolehkan pendapatan negeri Sabah meningkat kepada 44 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Para pengkritik diminta tidak menafikan peranan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memimpin negeri ini kerana dalam tempoh lima tahun pentadbiran mereka, pendapatan negeri Sabah telah meningkat 44 peratus kepada RM6.445 bilion.

Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 2022 menampakkan hasil positif di mana sebelum itu pendapatan negeri hanya RM4.481 bilion sahaja.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, SMJ mencatatkan kejayaan besar apabila nilai perdagangan Sabah turut meningkat kepada RM118.1 bilion, manakala nilai pelaburan mencecah RM33 bilion.

“Pendapatan negeri turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 44 peratus, daripada RM4.481 bilion pada 2021 kepada RM6.445 bilion pada 2023,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau diminta mengulas kritikan pihak tertentu terhadap pentadbiran Hajiji terutama GRS yang didakwa tidak membawa sebarang perubahan kepada Sabah.

Dr. Romzi berkata, Sabah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan meskipun bermula dalam suasana mencabar sewaktu pandemik Covid-19.

“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pelbagai inisiatif pembangunan dilaksanakan, membuktikan komitmen kerajaan terhadap kemajuan negeri dari segi ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan kesejahteraan sosial,” katanya.

Kejayaan pentadbiran Hajiji katanya, dapat dilihat menerusi pelaksanaan SMJ yang menumpukan perhatian kepada sektor penting seperti pertanian, perindustrian, pelancongan serta pembangunan modal insan.

Menurutnya, hala tuju ini menjadi asas kukuh kepada pembangunan jangka panjang negeri Sabah.

“Di samping itu, apa yang lebih penting beliau tidak ketinggalan memberi keutamaan kepada kawasan luar bandar dengan membawa pelaburan ke kawasan seperti Kudat dan Papar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif dengan membangunkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula dari 2026 hingga 2030.

Rancangan ini diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) agar pembangunan di Sabah bersifat inklusif dan lestari, seiring dengan komitmen nasional dan global.

Katanya, kerangka pembangunan RMK13 menjangkau tempoh 2026-2030 dengan mengambil kira dasar, pelan pembangunan dan rangka tindakan semasa.

“Paling penting ia turut diselaraskan dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan pembangunan negeri secara inklusif dan lestari, seiring dengan komitmen di peringkat nasional serta global,” katanya.

Bukan sekadar aspek ekonomi, kerajaan Sabah juga menekankan aspek kesejahteraan rakyat.

“Antaranya, Program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur) yang dilancarkan pada Februari lalu menyediakan bantuan tunai RM300 sebulan kepada penerima layak sehingga hujung 2025.

“Program ini telah memberi manfaat kepada 100,000 orang penerima dengan peruntukan sebanyak RM358.5 juta, melibatkan 70,060 ketua isi rumah miskin dan miskin tegar.

“Hasilnya, jumlah ketua isi rumah miskin tegar berjaya dikurangkan sebanyak hampir 90 peratus dalam masa setahun iaitu daripada 14,553 pada Februari tahun lalu kepada 2024 kepada 1,464 orang tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung menyifatkan kerajaan hari ini sebagai serius dan fokus dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat berterusan.

Katanya, ini termasuk usaha menarik pelaburan asing dalam sektor pembuatan yang berdaya saing dan mampan.

Katanya, kerajaan negeri turut berusaha menarik pelaburan besar dari negara luar selari dengan usaha memastikan sektor pembuatan mampan dan berdaya saing.

Buktinya, kerajaan negeri Sabah memberi peruntukan besar untuk Belanjawan 2025 iaitu RMRM6.421 bilion untuk tahun ini dan antara tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah belanjawan negeri itu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan kira-kira RM720 juta berbanding perbelanjaan RM5.701 bilion dalam belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 24 November tahun lalu.


“Ini antara kejayaan awal dalam memastikan Sabah terus mencapai wawasan satu jangka masa panjang.

“Justeru, pemimpin yang mempunyai hala tuju jelas amat diperlukan agar pembangunan secara inklusif terus terlaksana,” katanya.

Ini sekali gus menafikan dakwaan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa angka pengangguran di Sabah tinggi dan membimbangkan selain mendakwa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah telah bergelut untuk pulih.

Tindakan Shafie menilai prestasi sesebuah kerajaan hanya berdasarkan satu indikator makroekonomi seperti KDNK tanpa mengambil kira pencapaian menyeluruh, adalah tidak tepat dan berisiko menimbulkan persepsi yang pincang dan cuba mengelirukan rakyat.

Sedangkan GRS telah berjaya membentangkan belanjawan negeri terbesar dalam sejarah. Sepanjang lima tahun dari 2021 hingga 2025, pendapatan dan perbelanjaan negeri meningkat secara konsisten.

Lebih memberangsangkan bagi tahun 2025, terdapat lebihan belanjawan walaupun kecil (RM24.08 juta), yang mana ia mencerminkan disiplin fiskal berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN