Pembangkang tidak perlu bimbang pelantikan Pegawai Khas MB

Pembangkang tidak perlu bimbang pelantikan Pegawai Khas MB

Saarani Mohamad semasa menggulung Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 Perak di Ipoh, semalam. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pembangkang tidak perlu bimbang dengan pelantikan 26 Pegawai Khas Menteri Besar (MB) di kawasan mereka kerana ia bertujuan untuk memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan menjadi lebih baik, menjadi lebih licin dan berkesan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana ada masalah rakyat yang belum ditangani dengan tuntas dan masih kedengaran rungutan proses penyelesaian isu-isu setempat yang begitu perlahan.

Saarani malah berkata, lantikan itu juga tidak menjejaskan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kerana elaun yang disediakan adalah di bawah peruntukan Menteri Besar.

“Sehubungan itu, pembangkang tidak perlu bimbang dengan pelantikan 26 Pegawai Khas MB di kawasan mereka kerana ia tidak menjejaskan peruntukan kepada ADUN pembangkang,” katanya semasa menggulungkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Jelasnya, elaun RM10,000 bagi setiap pegawai khas tersebut akan digunakan untuk mereka menjalankan tugas serta memberi bantuan kecil kepada rakyat selain menanggung kos sewaan dan kakitangan.

“Kita nilai setiap hujung tahun. Kalau bagus kita sambung, kalau tak bagus kita gantikan dengan orang lain.

“Tidak perlu bimbang. Yang Berhormat (ADUN Pembangkang) ada RM14,500 elaun dalam tangan dengan tambahan dengan RM10,000 (elaun pengurusan pusat khidmat).

“Tidak perlu takut dengan Pegawai Khas MB yang hanya diberikan RM10,000 untuk semua perkara,” katanya.

Sepanjang persidangan DUN Perak yang berakhir hari ini, pembangkang menyentuh berkenaan pelantikan Pegawai Khas MB itu yang dilantik di kawasan-kawasan pembangkang termasuk dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.

Saarani juga berkata, pelantikan jawatan seperti itu juga dilaksanakan di beberapa negeri lain yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) dengan pelbagai sebutan seperti penyelaras DUN atau penyelia DUN.

Malah beliau berkata sewaktu pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 2018, telah timbul cadangan dan keputusan untuk melantik Penyelaras DUN di kawasan pilihan raya yang tidak dimenangi parti kerajaan pada waktu itu.

Bagi menyokong kenyataan itu, Saarani turut membacakan cadangan dan persetujuan untuk perkara tersebut.

Saarani melihat langkah beliau kini bukan suatu pembaziran kerana akhirnya rakyat juga akan mendapat manfaat.

“Elaun itu tidak diberi untuk bersenang-senang. Elaun itulah yang digunakan untuk menyantuni rakyat yang perlukan pembelaan. Adakah kita nak kata pemberian elaun kepada penyelaras atau penyelia DUN di negeri lain juga suatu pembaziran?,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN