Lawatan PAT beri semangat baharu MALBATT 850-12

Lawatan PAT beri semangat baharu MALBATT 850-12, perkasa kerjasama

MOHD. Nizam Jaffar menyempurnakan Perasmian Garaj Kenderaan di Wisma Perwira MALBATT 850-12 sekali gus menandakan inisiatif penting dilaksanakan dalam operasi Angkatan Tentera Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang bertugas di bawah Misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) iaitu MALBATT 850-12 mendapat semangat baharu menerusi lawatan kerja rasmi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar di Lubnan.

Lawatan ini bertujuan bagi melihat kesiagaan anggota ATM yang bertugas dengan pasukan MALBATT 850-12, yang sedang bertugas di bawah UNIFIL. Selain itu ia juga memberi ruang kepada anggota untuk mendapatkan perkembangan terkini berkenaan ATM serta mengekalkan interaksi dan penglibatan yang berterusan (Constant Engagement) PAT melalui sesi dialog bersama Pegawai dan Anggota. Usaha berkenaan merupakan salah satu inisiatif kepimpinan ATM terhadap kebajikan dan menaikkan semangat anggota ATM yang bertugas jauh dari tanah air.

Pada hari pertama lawatan, PAT dan delegasi melaksanakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Tuan Yang Terutama Azri Mat Yacob di Pejabat Kedutaan Malaysia di Beirut bagi mengukuhkan hubungan diplomatik serta menghargai sokongan kedutaan terhadap misi ATM, khususnya kontinjen MALBATT di bawah UNIFIL.

Kunjungan tersebut membincangkan isu keselamatan, kebajikan anggota, keperluan operasi, serta kerjasama pertahanan di Lubnan sekali gus mencerminkan hubungan erat antara ATM dan perwakilan diplomatik Malaysia dalam memastikan kepentingan negara serta keselamatan anggota di peringkat antarabangsa.

Sejurus selepas itu, PAT bergerak ke UNP 2-1, Kem Marakah bagi bertemu secara langsung dengan Pegawai-Pegawai MALBATT 850-12 dalam majlis minum petang dan sesi dialog.

Pada hari kedua, PAT menghadiri empat taklimat penting berkaitan operasi dan peranan ATM dalam Misi Pengaman PBB di Lubnan yang memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan operasi ATM serta memperkukuh penglibatan Malaysia dalam misi antarabangsa.

Taklimat kawasan tanggungjawab bagi memberi gambaran menyeluruh mengenai penempatan Kem Marakah serta kawasan di sekitar kem manakala Taklimat Tactical Operation Centre (TOC) berperanan memberi gambaran menyeluruh mengenai pelaksanaan kawalan operasi.

Taklimat ini memberi gambaran menyeluruh mengenai pelaksanaan kawalan dan perintah operasi, selain memastikan penyelarasan pergerakan serta penugasan Trup Tempur MALBATT 850-12 mengikut arahan semasa daripada Komander Sektor Barat.

Taklimat GAQ pula adalah taklimat perkara gerakan, pentadbiran, dan logistik bagi MALBATT 850-12 bertujuan memberikan gambaran menyeluruh mengenai aspek operasi, dengan penekanan kepada keperluan sumber, cabaran yang dihadapi, serta langkah-langkah yang diambil bagi memastikan kelancaran misi.

Taklimat itu merangkumi perancangan dan koordinasi pergerakan Trup Tempur, pengurusan aset dan kelengkapan, serta penyelarasan pentadbiran bagi memastikan kesiapsiagaan operasi berada pada tahap optimum. Selain itu, aspek logistik seperti bekalan, penyelenggaraan peralatan, dan sokongan operasi turut dibincangkan bagi mengatasi sebarang kekangan yang boleh menjejaskan keberkesanan misi mengikut resolusi 1701.

Taklimat MALAWAKIL New York (PBB) bertindak untuk memberikan maklumat terkini mengenai peranan dan penglibatan Malaysia dalam misi pengaman PBB dan perkembangan dasar serta keputusan yang dibuat di peringkat PBB yang berkaitan dengan operasi ketenteraan dan keselamatan antarabangsa.

Ia bertujuan membincangkan cabaran, peluang, serta sumbangan ATM dalam misi pengaman global, sekali gus memastikan hala tuju strategik ATM sejajar dengan kepentingan nasional dan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa.

Seterusnya, PAT mengadakan pertemuan bersama UNIFIL Force Commander, Lieutenant General Aroldo Lázaro Sáenz di UNIFIL Headquarters, Naqoura, bertujuan mengukuhkan kerjasama antara ATM dan pasukan pengaman PBB, serta membincangkan perkembangan terkini misi keamanan di Lubnan.

Selain memperlihat komitmen Malaysia dalam memastikan kestabilan di kawasan konflik, pertemuan itu juga memberi peluang kepada PAT untuk mendapatkan maklumat langsung mengenai cabaran yang dihadapi oleh MALBATT 850-12 dan memastikan operasi pengaman terus berjalan lancar.

Hari ketiga, PAT melawat dua kem penting di bawah tanggungjawab MALBATT 850-12 iaitu UNP 6-40 Kem Harris dan UNP 6-43 Kem Tibnine.

Di Kem Harris, PAT diberi taklimat mengenai penugasan anggota MALBAT 850-12 di sana serta berpeluang meninjau fasiliti logistik dan penyelenggaraan yang menyokong operasi harian pasukan iaitu kawalan di telaga air dan penugasan pengagihan air telaga (water well) kepada pasukan UNIFIL di Lubnan.

Sementara itu, lawatan di Kem Tibnine yang merupakan penempatan kedua MALBATT 850-12 memberi tumpuan kepada tinjauan aspek kesiapsiagaan pasukan dalam menjalankan tugasan pengaman.

Selesai lawatan di dua kem tersebut, PAT melaksanakan Kunjung Hormat kepada rakan sejawatnya iaitu Commander of the Lebanese Armed Forces, General Rodolph Haykal.

Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Lebanese Armed Forces.

Kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama lebih lanjut dalam misi pengaman PBB di Lubnan bagi memastikan kestabilan dan keamanan di wilayah tersebut serta mengekalkan keberkesanan operasi pasukan pengaman antarabangsa di sana.

Lawatan tersebut turut diiringi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin TUDM, Asisten Ketua Staf Operasi Latihan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama Mejar Jeneral Tong Veng Leong.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN