KUALA LUMPUR: Syarikat kandungan dan hiburan, Astro Malaysia Holdings Berhad, memperkenalkan pakej hiburan terbaharu menerusi aplikasi penstriman popular, Astro One, bagi kemudahan isi rumah di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, menerusi Astro One, penonton berpeluang menikmati pengalaman lebih fleksibel kandungan pakej utama iaitu Entertainment Pack, Sports Pack dan Epic Pack yang bermula dengan harga serendah RM49.99.
“Astro One dihasilkan dengan meletakkan fokus kepada pelanggan untuk memenuhi keperluan dan kehendak isi rumah di Malaysia yang sentiasa berubah. Ia memudahkan pengalaman hiburan dengan menggabungkan semua dalam satu perkhidmatan yang lengkap.
“Pakej-pakej ini menawarkan lebih nilai serta membolehkan para pelanggan mengubah suai langganan mereka dengan pilihan tambahan yang lebih jelas dan berbaloi termasuk aplikasi penstriman kegemaran mereka dan jalur lebar berkelajuan tinggi.
“Kesemuanya memberikan pengalaman yang lebih peribadi, mudah diurus dan pada harga yang berpatutan,” katanya.
Euan ditemui Utusan Malaysia dalam majlis sidang media pelancaran Astro One, di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, pakej yang ditawar boleh disesuaikan dengan tambahan mudah seperti lebih 11 aplikasi penstriman popular, pakej kandungan khas dan perkhidmatan tambahan jalur lebar.
“Para pelanggan boleh mengubah langganan mereka melalui aplikasi My Astro, termasuk mengemas kini pakej, menukar pilihan perkhidmatan atau memilih pek yang baharu pada bila-bila masa.
“Dengan Ultra dan Ulti Box, para pelanggan dapat menikmati penstriman tanpa had dan menemui lebih banyak kandungan kegemaran mereka di Astro. Pengalaman pelanggan dipertingkatkan lagi dengan penambahan jalur lebar berkelajuan tinggi Astro Fibre,” jelasnya.
Pelanggan juga boleh menstrim empat peranti serentak di aplikasi Astro GO, bagi memastikan setiap ahli keluarga dapat menonton kandungan yang mereka sukai.
Pakej Astro One boleh dilanggani sekarang dan mereka yang berminat boleh melayari laman web rasmi Astro atau aplikasi My Astro untuk maklumat lanjut. – UTUSAN