Suriyani Muhamad dilantik  Naib Canselor UMT 

Suriyani Muhamad dilantik  Naib Canselor UMT 

SURYANI MUHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Prof. Dr. Suriyani Muhamad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang baharu berkuat kuasa 28 September ini, menggantikan kepemimpinan terdahulu bagi meneruskan agenda pembangunan universiti berfokuskan kelautan dan sumber akuatik.

Suriyani yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT diberi amanah meneruskan kecemerlangan universiti itu khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan dan pembangunan strategik institusi.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang akademik dan pengurusan universiti serta kepakaran dalam bidang ekonomi, dijangka meneruskan usaha memperkukuh kedudukan UMT sebagai universiti berfokuskan kelautan dan sumber akuatik.

Suriyani berkata, UMT akan terus membina kekuatan berdasarkan bidang teras universiti selain memperkasa bidang strategik yang mempunyai potensi untuk berkembang.

“UMT mempunyai kekuatan dan identiti yang jelas dalam bidang kelautan dan sumber akuatik. Kekuatan ini perlu terus diperkasa sambil kita memberikan perhatian kepada sub-niche dan bidang akademik strategik yang mempunyai potensi besar, relevan dengan keperluan negara serta menjadi pilihan pelajar.

“Keutamaan kita adalah memastikan kekuatan akademik UMT terus berkembang secara dinamik dan responsif terhadap perubahan landskap pendidikan tinggi, perkembangan industri serta keperluan masa hadapan negara,” katanya.

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, berkuat kuasa pada tarikh sama.

Beliau yang kini merupakan Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital) UMT mempunyai pengalaman dalam pengurusan akademik, jaringan industri dan masyarakat serta agenda pendigitalan universiti.

Pelantikan itu dijangka meneruskan kesinambungan pengurusan akademik UMT, termasuk pembangunan program pengajian yang relevan dan berdaya saing, pengantarabangsaan serta peluasan jaringan universiti dengan industri dan masyarakat.

Pelantikan kedua-dua tokoh itu berlaku ketika UMT meraikan Jubli Perak 25 Tahun dengan tema “Menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara”. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×