Pelajar Seseri ubah sisa minyak masak jadi sabun

Pelajar Seseri ubah sisa minyak masak jadi sabun

KUMPULAN pelajar Sekolah Menengah Sains Seri Puteri (Seseri) yang terlibat dalam projek ScrubCycle bagi mengubah masak masak terpakai menjadi sabun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan pelajar Sekolah Menengah Sains Seri Puteri (Seseri) tampil dengan idea bernas dengan menjadikan sisa minyak masak terpakai sebagai sabun menerusi projek ScrubCycle.

Cetusan idea berkenaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan minyak masak terpakai secara bertanggungjawab yang sebelum ini menjadi bahan buangan setiap isi rumah.

Guru penasihat, Nurulhuda A.Ghani berkata, iniastif berkenaan juga antara lain menggalakkan orang ramai memberikan ‘nyawa kedua’ kepada sisa minyak masak dengan mengubahnya menjadi sabun.

“Projek ScrubCycle turut terpilih sebagai antara 30 pasukan terbaik dalam pertandingan Toyota Eco Youth (TEY) 2026, yang mewajibkan setiap pasukan melaksanakan projek berasaskan komuniti.

“Pelajar terlibat memainkan peranan mengubah amalan masyarakat yang sering membuang minyak masak terpakai ke dalam singki, selain memperkenalkan kaedah praktikal untuk mengurangkan pencemaran,” katanya.

Pasukan ScrubCycle dianggotai Siti Afiqah Ahmad Suzaini, Dhia Keysha Umairah Mohd Kasbi, Aida Syuhada Hisyam, Suri Ardini Asmawi, Hana Zaheen Muhammad Zaki, Safwa Elisha Mohd Shahril, Lily Helena Nadzmin, Adelia Amni Mohd Zaim dan Zara Adreena Mohd Zaki.

Menurut Nurulhuda, sebagai usaha mendekati komuniti, ScrubCycle baru-baru ini bekerjasama dengan Jawatankuasa Penduduk Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai, bagi menganjurkan program pengurusan minyak masak terpakai secara lestari.

Katanya, program yang berlangsung pada 22 Ogos lalu itu merangkumi pelancaran kempen serta bengkel praktikal menghasilkan sabun menggunakan minyak masak terpakai.

“Bengkel tersebut memberi peluang kepada penduduk mempelajari proses asas menukarkan minyak masak terpakai yang sudah ditapis kepada sabun, sekali gus menjadikan mesej pemeliharaan alam sekitar lebih dekat dengan pengalaman sebenar.

“Keistimewaan kami ialah kami buat ‘Scrubcycle Eco Bar Soap Making’ untuk menggalakkan masyarakat membuat sabun dengan lebih mudah. Apa yg kami ketengahkan ialah satu set kit yang terdiri daripada cawan penyukat, spatula, 14 g natrium hidroksida (lye), pewarna, dan pewangi untuk memudahkan dan menggalakkan penduduk membuat sabun sendiri.

“Penduduk atau komuniti terlibat hanya perlu menyediakan minyak masak terpakai sahaja. Selain itu, pelitup muka dan sarung tangan dibekalkan untuk aspek keselamatan,” katanya.

NORZILA ALI MUSA

Sementara itu, Pengetua Seseri, Norzila Ali Musa berkata, usaha menukarkan minyak masak terpakai kepada sesuatu yang bermanfaat bukan sahaja mendidik tentang kelestarian alam sekitar, malah membuktikan bahawa amalan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) boleh dibudayakan dalam kehidupan seharian melalui tindakan kecil yang memberi impak besar kepada masyarakat.

“Tahniah dan syabas kepada guru serta pelajar SM Sains Seri Puteri atas inisiatif ScrubCycle yang sangat bermakna.
Semoga usaha dan kreativiti ini terus berkembang, menjadi inspirasi kepada warga sekolah dan komuniti, serta melahirkan generasi yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan berdaya lestari,” katanya.

Proses penghasilan sabun berkenaan menggunakan minyak masak terpakai, air sejuk dan larutan natrium hidroksida atau lye dengan minyak masak terlebih dahulu ditapis bagi membuang kekotoran sebelum bahan-bahan itu dicampurkan.

Campuran tersebut kemudiannya perlu dibiarkan mengering minimum tujuh hari sehingga sebulan di kawasan yang sejuk, kering dan mempunyai pengudaraan baik, namun sabun yang dihasilkan itu hanya sesuai untuk tujuan mencuci dan tidak digalakkan kegunaan pada tubuh manusia terutamanya yang ada masalah kulit sensitif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×