Universiti tidak boleh henti ambil pelajar

Lambakan graduan: Universiti tidak boleh henti ambil pelajar

SEBAHAGIAN pengunjung yang terdiri dari ibu bapa dan calon SPM mendengar penjelasan dari wakil pepamer sebuah pusat pengajian tempatan dalam Program ‘Jom Masuk U’ 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti tidak boleh menghentikan pengambilan pelajar baharu semata-mata mahu mengatasi lambakan graduan pada setiap tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sebaliknya kerajaan perlu memastikan usaha pemulihan dibuat secepat mungkin dan bersifat jangka panjang.

Disebabkan itu, katanya, kerajaan harus memastikan keadaan ekonomi negara sentiasa menunjukkan prestasi positif.

“Kita tidak boleh menghentikan kemasukan pelajar ke universiti selepas mereka menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sudah pasti bukan ini pilihan yang kita mahu. Ini kerana kita mahu melahirkan lebih ramai graduan berkualiti dan berdaya saing.

“Kita juga tidak boleh mengehadkan program-program pengajian di universiti. Apa yang universiti ada sekarang adalah mengikuti kapasiti atau kemampuan universiti itu dalam menawarkan program mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan kecenderungan universiti awam serta swasta yang berlumba-lumba menawarkan pengajian pendidikan untuk melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran Kementerian Pendidikan boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang itu.

Ia berikutan rata-rata institusi pengajian tinggi negara ini membuat pengambilan pelajar ke program berkenaan berdasarkan kemampuan institusi itu sendiri sehingga mewujudkan keadaan penawaran melebihi permintaan.

Seramai 4,390 Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020, namun sebahagiannya dilaporkan masih tidak mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah, manakala sebilangan kecil terpaksa memilih pekerjaan lain tanpa memerlukan kelayakan akademik.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan yang mengunjurkan jumlah graduan sekitar 3,000 setiap tahun meningkat kepada 5,000 hingga 6,000 orang setiap tahun sejak 2016, namun, tiada jaminan kesemua mereka diserap dalam lantikan tetap lebih-lebih lagi isu doktor kontrak yang masih belum selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali dalam kenyataan bertulis di Dewan Rakyat, Khamis lalu berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan tajaan kepada pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan permintaan terhadap tenaga kerja bidang berkenaan sudah mencukupi.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, isu lambakan graduan merupakan fenomena global dan punca masalah tidak wajar untuk diletakkan kepada universiti yang menghasilkan ramai graduan mengikuti bidang tujahan masing-masing.

“Kita (universiti) memang mengeluarkan graduan dalam keadaan bersedia untuk bekerja dalam industri. Kebolehpasaran graduan kita sudah mencapai hampir 90 peratus. Tetapi, persoalannya, ada atau tidak peluang pekerjaan itu di luar sana untuk mereka?

“Sebab itu, kerajaan haruslah menyediakan ekonomi yang lebih berkembang. Pihak universiti sudah mengikuti apa yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan peringkat antarabangsa, tinggal lagi adakah ekonomi kita ini mampu menyerap semua graduan?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN