fbpx

UiTM bantu mahasiswa selesai isu rumah sewa 

KEDUDUKAN UiTM meningkat kepada 104 QS Asia University Ranking 2023.

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencari resolusi terbaik bagi membantu mahasiswa mendapatkan rumah sewa dengan membentuk Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa.

Pengarah Kanan Jabatan Komunikasi UiTM, Prof. Madya Datin Dr. Norazida Mohamed berkata, UiTM mewujudkan portal rumah sewa NR (https://nr.uitm.edu.my) bagi membantu memudahkan urusan mahasiswa mendapatkan rumah sewa.

“Platform ini juga boleh digunakan untuk tujuan pengiklanan rumah sewa oleh tuan rumah.P engurusan Non Residen (NR) UiTM turut membuat tinjauan secara berkala berkaitan isu keselamatan, kontrak perjanjian sewa rumah dan kebajikan mahasiswa NR.

“Pada masa yang sama, UiTM menyediakan 107,000 tempat di kolej-kolej kediaman dengan penawaran 34,000 tempat kepada pelajar-pelajar baharu diploma dan ijazah sarjana muda, 52,000 tempat kepada pelajar yang layak secara merit mengikut polisi penempatan UiTM dan 21,000 tempat kepada pelajar yang sedang merayu kolej kediaman. 

“Permohonan rayuan kolej boleh dibuat secara online melalui sistem e-Rayuan Kolej yang dibuka mulai 13 hingga 23 September 2022 dan keputusan permohonan e-Rayuan Kolej dikeluarkan mulai 28 September ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Norazida berkata, tawaran kolej kediaman untuk pelajar yang sedang membuat rayuan adalah tertakluk kepada beberapa kriteria seperti merujuk polisi penempatan UiTM, pelajar semester akhir dan pelajar Sabah serta Sarawak dari keluarga berpendapatan bawah RM2,000 dan pelajar semester akhir dari keluarga kategori B40.

“Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa sedang meneliti dan menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi dengan cara yang terbaik serta berharap kepada semua mahasiswa agar kekal tenang dalam menghadapi situasi sekarang. 

“UiTM terus menyalurkan maklumat terkini dari masa ke semasa dan tidak akan mengambil mudah dengan sebarang perkara terutama yang mendatangkan kesulitan kepada mahasiswa serta warganya,” katanya.  – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN