Krisis sektor pembinaan, banyak projek berisiko tergendala

Krisis sektor pembinaan, banyak projek risiko tergendala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Krisis sektor pembinaan mengundang risiko banyak projek tergendala jika kerajaan lambat bertindak untuk menstabilkan semula kenaikan harga bahan binaan, kos upah dan ketiadaan tenaga kerja ketika ini.

Pada masa ini, lebih 140 industri di bawah sektor tersebut terjejas dan tidak mampu menanggung kenaikan bahan-bahan binaan sehingga 40 peratus dan kos upah mahal selain tiada pekerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pembinaan Kuantan, Chua Say Chai berkata, harga bahan-bahan binaan seperti kayu, simen dan besi terus meningkat.

“Paling ketara harga kayu yang naik 100 peratus daripada RM800 satu tan metrik kepada RM1,600 satu tan metrik.

“Kos upah buruh jika dulu RM20 untuk binaan satu kaki persegi, kini RM35. Keperluan tenaga buruh juga begitu mendesak menyebabkan perkembangan projek-projek perumahan perlahan sekali gus lewat siap dari tarikh asal,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, harga rumah dijangka terus meningkat sehingga 2025 dengan kenaikan sehingga 10 peratus setiap tahun sekali gus menyaksikan tiada lagi rumah kos rendah berharga RM200,000 ke bawah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, peningkatan tersebut diramal terus berlaku jika tiada kawalan, tindakan mahupun polisi daripada pihak kerajaan bagi mengekang kenaikan kos binaan.

Say Chai berkata, krisis dalam sektor pembinaan ketika ini turut berpunca daripada kekurangan bahan binaan yang ditempah oleh pemaju atau kontraktor.

“Kekurangan cukup ketara sehingga tempahan yang dibuat mengambil masa sehingga berbulan-bulan,” katanya.

Beliau berkata, ekoran kenaikan harga bahan binaan itu, harga rumah baharu yang bakal dibina selepas ini dijangka meningkat antara 15 ke 20 peratus.

“Kenaikan ini bukan suka-suka tetapi terpaksa dilakukan untuk mengimbangi kesan kenaikan bahan binaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak negara dilanda pandemik Covid-19, pelbagai dugaan menimpa sektor ini sehingga mengakibatkan banyak projek pembinaan berdepan masalah.

“Bermula dengan projek terpaksa dihentikan sementara sehingga wujud kluster di tapak pembinaan dan kini berdepan peningkatan harga binaan.

“Situasi ini menyebabkan pemaju dan kontraktor berada dalam keadaan dilema apabila segala kos meningkat dan secara tidak langsung bakal berdepan kerugian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu tampil dengan langkah penyelesaian bagi memastikan krisis dalam sektor pembinaan tidak berterusan.

“Ini kerana kalau bidang ini (pembinaan) terus terjejas sehingga terpaksa dihentikan, ramai pihak yang akan menerima kesannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN