Cikgu Norhailmi bertiktok demi pelajar - Utusan Malaysia

Cikgu Norhailmi bertiktok demi pelajar

HAILMI Abdul Mutalib aktif menggunakan TikTok dalam proses PdPR ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sanggup menghabiskan masa selama dua jam membuat video tiktok demi anak murid tersayang.

Itu inisiatif diambil oleh seorang guru, Norhailmi Abdul Mutalib, 40, dalam menarik minat pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau memang banyak buat video di YouTube untuk bahan pengajaran tetapi ramai pelajar mengeluh terlalu panjang, tidak cukup data dan sebagainya.

Rentetan itu beliau terfikir membuat video pembelajaran lebih ringkas menggunakan aplikasi TikTok kerana durasi video singkat, lebih kurang satu minit selain menjimatkan data internet pelajar.

“Saya mula membuka akaun TikTok pada Oktober 2020 dengan memuat naik kandungan video mengenai nota subjek Sains. Selain itu, saya turut merakam eksperimen ringkas bagi memudahkan pelajar memahami topik sedang dibincangkan,” katanya.

Beliau yang juga salah seorang peserta program Cikgu Juara Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sudah menghasilkan 150 video di aplikasi berkenaan.

LEBIH MUDAH

Aplikasi hiburan itu katanya, lebih menyeronokkan dalam menghasilkan bahan pengajaran kerana mudah dan santai kepada para pelajar, sekaligus meningkatkan kualiti proses pembelajaran.

Katanya, selepas menjadi peserta program Cikgu Juara Digital beliau kemudian menyertai bengkel TikTok anjuran MDEC dan mendapati penggunaan aplikasi itu berpotensi membantu proses pembelajaran.

KREATIF BERINOVASI

Guru subjek Sains pelajar tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah itu lagi, kandungan video menarik dan mudah diikuti itu menjadi prinsip beliau dalam pengajaran.

“Pelajar tidak boleh buat ujikaji di makmal, jadi saya tukar bahan uji kaji kepada benda yang ada di persekitaran rumah. Contohnya, untuk eksperimen mikroorganisma saya minta mereka menggunakan roti.

“Lebih menarik apabila ada kawan-kawan saya bagi tahu anak mereka yang bersekolah rendah turut tertarik untuk melakukan eksperimen mudah itu selepas menonton video tiktok saya hasilkan itu,” ujar Norhailmi.

Akaun milik guru berasal dari Simpang Ampat, Perlis itu pernah disenaraikan sebagai 50 Guru Terbaik Dunia anjuran Varkey Foundation dengan mendapat lebih 113,700 tanda suka, setanding selebriti media sosial tempatan.

Antara mendapat tontonan tertinggi ialah video berkaitan eksperimen tekanan dengan lebih 268,000 orang manakala video berkaitan eksperimen Natrium diikuti hampir 80,000 pemilik akaun TikTok. Pernah menerima kecaman, namun Norhailmi optimis menggunakan aplikasi berkenaan dengan cara yang betul dan berfaedah.

MUDAHKAN PELAJAR

Platform media sosial nyata memudahkan pelajar memahami ilmu dalam kaedah maya menjadi pilihan di seluruh dunia dalam mengekang pandemik Covid-19.

Seorang guru, Ahmad Adham Berhaumidin berkata, menerusi pengintegrasian maklumat yang dikongsi MDEC telah membuka ruang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi komunikasi maklumat dalam kalangan guru.

“Saya menyediakan soalan contoh Matematik dan menyediakan slot sembang santai bersama para pelajar untuk memastikan mereka mempunyai ruang untuk bertanya secara dalam talian,” katanya.

Guru subjek Matematik Tambahan tingkatan empat dan lima di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang Selangor itu menerusi akaun YouTube miliknya, dehewaraspak memiliki hampir 1,500 pengikut yang berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyelesaian masalah dalam subjek itu.

 

AHMAD Adham Berhaumidin yang mengajar Matematik Tambahan turut aktif menggunakan media sosial dalam proses PdPR.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN