Penutupan sekolah dan institusi pengajian ekoran sebagai usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 membuatkan guru dan pelajar terpaksa menormakan pembelajaran secara atas talian.
Penggunaan aplikasi google meet, google classroom, quizizz, popplet dan sebagainya antara yang selalu digunakan.
Namun antara kaedah baharu yang turut menarik untuk diaplikasi mempelbagaikan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) ialah Edpuzzle.
Berkongsi mengenai manfaat aplikasi itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, Ismail Salleh berkata, Edpuzzle bukan sahaja menyediakan pentaksiran berasaskan video sebaliknya guru lebih mudah memantau tugasan kepada anak murid.
Katanya, guru boleh menyediakan video pengajaran kepada pelajar dan menyediakan soalan secara serentak dalam video itu.
“Proses pembelajaran seperti ini berupaya merangsang pembelajaran secara kendiri dan lebih menyeronokkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PELBAGAI
Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2019 ini berkata, proses PdP secara dalam talian menjadi lebih menarik jika guru berani mencuba pelbagai platform teknologi pendidikan yang sedia ada.
Aplikasi berkenaan, lebih fleksibel kerana pelajar boleh membuka video diberikan guru apabila mereka mempunyai akses internet dan boleh menjawab soalan dalam tempoh beberapa hari tugasan diberikan.
Kata Ismail, hal ini penting kerana bukan semua pelajar mempunyai akses internet dalam waktu dan hari yang sama.
“Secara tidak langsung ia memberi lebih motivasi kepada pelajar. Lebih menarik, guru juga dapat memantau proses pembelajaran pelajar sama ada mereka melakukan latihan atau tidak dalam tempoh masa yang diberikan itu,” katanya.
Ismail memanfaatkan aplikasi berkenaan sejak arahan penutupan sekolah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
“Pada saya ia lebih fleksibel dan menarik. Rata-rata guru dan pelajar sekolah saya gembira kerana tidak terlalu terikat dengan masa kerana video itu boleh ditonton bila-bila masa apabila mereka mempunyai internet,” kongsinya.
Aplikasi Edpuzzle boleh dimuat turun secara percuma di google play store dan appstore.










