Belaan Haji Dolah mencari tuan baharu

Belaan Haji Dolah mencari tuan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memang benar, sejak rumah Haji Dolah ‘dibersihkan’, Kampung Berembang kembali aman. Tiada lagi kedengaran cerita-cerita tentang jelmaan Haji Dolah, namun ketenangan tersebut hanya mampu bertahan beberapa bulan sahaja kerana selepas itu timbul pula cerita lain.

“Betul beb, aku ingat semua dah okey, dah aman macam biasa, tiba-tiba malam tadi bila aku lalu depan rumah Haji Dolah aku nampak lampu rumahnya terpasang. Aku ingatkan bininya dah balik, bila aku perlahankan motosikal dan tinjau, tiba-tiba aku nampak Haji Dolah tengah berdiri dekat pangkin rumahnya. Terkejut aku beb, terus aku pecut,” kata Seman kepada Talib dan rakan-rakannya.

“Eh, kau biar betul, takkanlah hantu Haji Dolah muncul balik?” Soal Talib inginkan kepastian.
Menyinga Seman apabila Talib tidak percaya dengan ceritanya.

“Beb, aku ini bukan baru sehari dua tinggal di kampung ini, sudah berpuluh tahun! Takkanlah aku tidak kenal rupa Haji Dolah itu macam mana,” sambung Seman lagi.

Mereka semua terdiam. Benar juga apa yang dikatakan oleh Seman itu. Tak mungkin dia tidak mengenali arwah Haji Dolah, sedangkan memang dia membesar di kampung tersebut.

“Pelik juga! Kalau ikutkan apa yang dikatakan oleh Pawang Salim tempoh hari kalau barang-barang itu sudah buang ke tengah laut, mesti jelmaan Haji Dolah itu tak kan muncul lagi, tapi macam mana pula tiba-tiba jadi balik ini?” Soal Isham mengerutkan dahi.

Pelbagai persoalan bermain di minda masing-masing, jika betul barang-barang tersebut dihanyutkan ke laut tidak mungkin pula boleh kembali semula di pantai. Lagipun sekarang ini musim air pasang besar ke pulau berdekatan, tidak mungkin boleh sampai ke kampung mereka.

Ketika itulah tiba-tiba Talib terfikir tentang Pawang Salim. Entah-entah Pawang Salim hanya auta dengan mereka kononnya hendak buang barang-barang tersebut ke laut tapi hakikatnya dia masih lagi simpan, maklumlah barang-barang tu semua ada ‘harganya’.

Seperkara lagi sejak akhir-akhir ini jarang sangat nampak kelibat Pawang Salim berbanding sebelum ini. Jika dahulu boleh dikatakan setiap masa dia ada menempek di warung Pak Samad, tetapi kini tidak lagi. Hendak jumpa bayangnya pun agak susah.

“Aku syak macam ada sesuatu yang tidak kenalah,” kata Talib perlahan.

Rakan-rakannya yang berada di situ memandangnya dengan penuh kehairanan.

“Tak kena macam mana pula? Tanya Hisham menge­rutkan dahi.

Talib menghela nafas perlahan. Dia mengusap -usap janggut sambil memandang sekeliling.

“Aku rasa Pawang Salim ni ‘game’ kita agaknya. Bila jadi macam ini aku tak rasa dia sudah buang semua barang Haji Dolah itu dulu, mungkin dia simpan atau dia buat yang ‘bukan-bukan,” kata Talib perlahan.

Rakan-rakan lain yang berada di situ menganggukkan kepala, seakan bersetuju dengan apa yang dikatakan Talib.

“Tak apa, malam nanti kalau kita jumpa Pawang Salim kita tanya dia. Biasanya lepas Maghrib dia akan datang minum di warung. Kita dengar apa jawapan dia nanti,” sampuk Seman.
Benar telahan mereka. Malam itu sebaik sahaja habis waktu Isyak, Pawang Salim sudah terpacak di warung Pak Samad. Talib dan rakan-rakannya yang baru sahaja sampai terus menyapa sebelum duduk bersama.

“Lama tak nampak Pak Salim sekarang, sibuk sangat ke? Tanya Talib memulakan perbualan.
Pawang Salim hanya tersengih. Terus dia menceritakan perkara sebenar kononnya dia sekarang sibuk menguruskan kebun sawit kepunyaannya di samping merawat pesakit yang ramai datang ke rumahnya.

Hampir setengah jam juga mereka berbual kosong sebelum Talib membuka topik yang menjadi pertanyaannya selama ini.

“Tok, saya hendak tanya ini, barang-barang perubatan yang kita ambil dari rumah Haji Dolah dulu itu, tok sudah buang ke? Tanya Talib perlahan.

Hampir hendak tersembur air minuman dari mulut Pawang salim sebaik mendengar pertanyaan Talib. Dia memandang keliling sambil menarik nafas perlahan.

“Errr.. aku belum buang lagi, aku fikir baik aku simpan dahulu barang-barang itu sebab banyak gunanya,” jawabnya perlahan.

Terkejut Talib dan rakan-rakannya sebaik sahaja mendengar jawapan Pawang Salim.

“Habis itu macam mana? Kalau tok tak buang confirm hantu Haji Dolah itu akan merayau lagi di kampung ini. Kelmarin pun si Seman sudah ‘terjumpa’ hantu itu waktu dia lalu di jalan depan rumah Haji Dolah,” kata Talib menyinga.

Pawang Salim hanya tersenyum kelat.

“Alah, tak payah kecoh-kecoh. Perkara ni biar aku handle. Tahulah aku hendak uruskan macam mana,” katanya sebelum meminta diri untuk beredar.

Talib dan rakan-rakannya terlopong seraya memandang ke arah Pawang Salim yang sedang menghidupkan enjin motosikalnya.

Masing-masing kelu untuk meneruskan kata-kata, namun dalam hati mereka sudah terfikir dan tahu yang jelmaan ini akan terus menghantui penduduk kampung, malah sekali gus Jelmaan Haji Dolah sudah berjaya mendapat tuan barunya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×