Penanggal ekori kereta di jalan lama - Utusan Malaysia

Penanggal ekori kereta di jalan lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini ramai pengguna jalan raya bercerita kononnya banyak insiden yang menyeramkan ketika melalui laluan Kangkar-Senagar di Pagoh menuju ke Ayer Hitam. Walaupun laluan ini bukanlah ‘terkenal’ seperti Karak dan Gurun, namun kepada sesiapa yang pernah melaluinya pasti mengetahui keadaan di sebalik laluan yang cukup menyeramkan itu. Pengalaman ini turut dikongsikan oleh seorang pengguna jalan raya bernama Zul kepada penulis. Begini ceritanya…
Saya bertolak dari Kuala Lumpur bersama isteri lebih kurang jam 9 malam. Mengikut perkiraan kami, pasti akan sampai ke Johor Bahru lebih kurang pukul 1 pagi. Sengaja saya pilih untuk bertolak malam memandangkan keadaan jalan raya agak lengang ketika itu.
Tujuan saya ke Johor Bahru bukanlah ada urusan penting. Cuma ingin melawat kakak ipar dan suaminya yang baru berpindah ke situ. Kami pergi pun tak lama, dua hari. Jika tiada aral melintang lusa kami balik semula ke Kuala Lumpur.
Selesai mengisi minyak dan membeli makanan ringan di Hentian Rehat dan Rawat Seremban, saya memecut pergi. Jalan raya ketika itu cukup lengang, maklumlah hari Jumaat hari bekerja, kalau esok pasti akan sesak teruk. Cuaca di luar gelap pekat. Tidak nampak sebutir pun bintang di langit. Saya memandu tenang. Dalam waktu singkat sahaja saya sudah melewati susur masuk ke bandar Melaka.
Namun tidak sampai beberapa minit selepas itu, saya lihat jalan raya bertukar sesak. Deretan kenderaan memenuhi lebuh raya. Sudah! Saya Kenapa pula ni, getus saya dalam hati. Isteri yang sedari tadi melelapkan mata akhirnya terjaga. Dia hairan dengan situasi di jalan raya ketika itu. Lantas dia buka aplikasi trafik di telefon bimbit untuk mencari punca sebenar.
“Alamak bang, tengok ni! Rasanya jammed teruk sebab ada accident ni,” kata isteri saya sambil menunjukkan telefon bimbit yang dipegangnya. Saya angguk kepala. Nampaknya saya kena cari alternatif lain untuk elak kesesakan ketika itu.
Hampir satu jam kemudian barulah saya menghampiri laluan keluar ke Pagoh. Setelah berbincang dengan isteri akhirnya saya ambil keputusan untuk keluar melalui tol Pagoh dan melalui jalan lama ke Johor Bahru.
“Tak apa, nanti bila jalan dah clear, sampai di Ayer Hitam kita masuklah semula ke lebuh raya,” kata saya memberitahu isteri. Isteri bersetuju. Terus saya pecut kereta keluar ke Pagoh untuk melalui jalan lama menuju ke Johor Bahru.
Saya mengikut laluan peta di telefon bimbit. Sehinggalah terjumpa jalan Kangkar-Senagar untuk menuju ke Ayer Hitam. Tanpa banyak soal terus saya pecut kereta. Alhamdulillah, nampaknya tidak banyak kereta yang melalui jalan tersebut.
Hampir 20 minit memandu mengikut laluan tersebut saya mula gelisah. Di kiri kanan jalan penuh dengan ladang sawit. Langsung saya tidak nampak walau sebiji rumah.
“Lain macam jalan ni bang! Seram pula saya,” kata isteri kepada saya. Saya cuba menenang­kannya. Kata saya lebih baik berada dalam situasi seperti ini daripada terpaksa menghadap jammed yang tidak tahu bila akan berakhir.
Tetapi tidak dinafikan jalan itu memang cukup menguji keimanan saya, sudahlah bengkang bengkok dan gelap gelita, kiri kanannya pula hanya dipenuhi ladang sawit dan hutan belukar. Risau juga saya kalau tengah sedap memecut tiba-tiba melintas binatang buas.
Jam di papan pemuka kereta sudah melewati 12 tengah malam. Sesekali kelihatan pancaran kilat yang diselangi dentuman guruh. Sedang saya leka memandu tiba-tiba saya terperasan seperti ada sesuatu yang pelik di bahu jalan arah hadapan. Saya perlahankan kenderaan dan buka lampu tinggi untuk lihat dengan lebih jelas.
Namun saya tergamam. Di hadapan saya jelas kelihatan satu makhluk seperti bola api sedang berlegar-legar di udara. Bola matanya tersembul keluar merah menyala. Tubuh saya menggeletar. Saya tahu, itu adalah hantu penanggal yang sering diperkatakan orang sebelum ini.
Saya toleh ke arah isteri, nampak dia lena tidur. Dan sebaik sahaja kereta saya melewati makhluk itu, terus saya tekan minyak untuk memecut namun tidak sampai beberapa saat saya perasan ada sesuatu tidak kena berada di luar kenderaan berhampiran saya.
Sebaik sahaja menoleh ke luar jantung saya berdebar kencang. Makhluk penanggal itu terbang di sebelah seakan mengekori kenderaan saya.
Mulut saya kumat kamit membaca ayat suci al-Quran, namun sesekali melalui ekor mata saya masih mampu melihat makhluk itu di sebelah. Walaupun suasana malam cukup gelap, namun saya mampu melihat dengan jelas keadaannya. Kepalanya ibarat seperti bola api yang sedang terbang bergentayangan, matanya merah menyala dan nampak jelas tali perut dan ususnya yang terjurai panjang.
Tuhan sahaja yang tahu betapa kecutnya perut saya. Saya memecut. Waktu itu saya sudah tidak hiraukan apa yang berada di sepanjang jalan. Niat saya cuma ingin keluar dari kawasan menakutkan itu.
Namun apa yang menakutkan bila makhluk itu seakan mempermainkan saya. Setiap kali memecut laju, saya lihat dia masih berada di sebelah. Seperti mengajak saya berlumba. Saya pecut laju. Nasib baiklah jalan raya lengang ketika itu, jika tidak tak tahulah apa yang jadi. Beberapa kali juga kenderaan saya terbabas masuk ke laluan bertentangana, namun alhamdulillah saya masih mampu kendalikan dengan cermat dan berhati-hati.
Waktu itu hanya tuhan sahaja tahu betapa takutnya saya. Beberapa kali saya curi pandang ke luar, untuk memastikan sama ada makhluk itu masih mengekori saya atau tidak.
Alhamdulillah, saya tarik nafas lega apabila sampai ke pekan Parit Sulong. Saya urut dada dan beristighfar panjang. Dan sebaik sahaja saya lihat ada gerai makan yang masih beroperasi di situ, terus saya berhentikan kenderaan dan kejutkan isteri.
“Nanti di depan kita masuk highway semulalah ye,” kata saya kepada isteri. Isteri setuju. Katanya, dia juga tidak rela melalui jalan gelap gelita untuk sampai ke Johor Bahru.
“Iye lah bang. Tak sanggup saya nak ikut macam jalan tadi tu. Dahlah gelap gelita, tak nampak satu rumah pun. Kalaulah jadi apa-apa, macam mana?” katanya panjang lebar.
Saya tersengih. Dalam hati hanya tuhan sahaja tahu apa yang saya alami tadi. Namun saya tidak bercerita. Biarlah dia mengharungi perjalanan malam ini dengan ceria tanpa gundah gulana di dada. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya