Sebenarnya pakcik pun tak selamat… - Utusan Malaysia

Sebenarnya pakcik pun tak selamat…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMIL sudah mendengar pelbagai cerita kononnya laluan di sepanjang Lebuhraya Gerik ke Kuala Kangsar agak ‘keras’. Pelbagai kisah seram diceritakan oleh rakan-rakannya tetapi dia tetap tidak percaya.
“Ahh, zaman moden ini manalah ada hantu. Suka sangat percaya cerita-cerita tahyul dan macam tu. Sebenarnya kamu semua lah yang lebih daripada hantu,” katanya tertawa. Rakan-rakannya yang berada di situ masing-masing mencebikkan bibir tidak berpuas hati.
“Bukan main takbur. Nanti bila dah kena barulah kau tahu tinggi rendahnya langit tu,” sampuk rakannya Ripin sambil ketawa mengekek.
“Aku doa cepatlah kau kena,” sambung Zali pula sambil menadah tangan berdoa.
Rakan-rakan lain tertawa. Memang begitulah rutin harian mereka sebagai pemandu syarikat logistik. Bila ada masa terluang mereka berkumpul sebelum meneruskan tugas menghantar barang ke lokasi yang ditetapkan.
Petang itu Kamil dapat arahan untuk menghantar barang ke Gerik. Disebabkan rakan kelindannya Saiful bercuti terpaksalah dia memandu seorang diri. Terfikir juga dia ingin membawa teman sekampungnya, Jailani menemaninya, tetapi bila difikirkan terpaksa menjemput rakannya pula terus dia batalkan hasrat. Jauh pula jika dia ingin pusing ke Menglembu nanti. Bazir masa pula.
Dia sampai ke Gerik lebih kurang pukul 8 malam. Setelah selesai menurunkan barang-barang, bergegas dia bergerak pulang. Ketika berhenti mengisi minyak sempat lagi membeli minuman dan makanan ringan, maklumlah sekurang-kurangnya ada juga yang boleh dimakan untuk hilangkan rasa mengantuk.
Langit sudah beransur gelap. Kamil memandu tenang. Kenderaan di kiri kanan jalan juga beransur lengang, maklumlah jalan kampung memang tidak sesibuk seperti di pekan dan bandar. Jam di kenderaan sudah menunjukkan hampir pukul 9 malam. Cuaca sudah gelap pekat. Sesekali pancaran kilat menerangi persekitaran. Kamil pandang ke luar tingkap. Tiada sebutir bintang pun di langit seakan hujan sebentar lagi. Firasatnya tepat, tidak sampai beberapa kilometer dia memecut, hujan lebat. Kamil memperlahankan kenderaan dan memandu berhati-hati. Risau kerana jalan licin. Tambah pula kenderaan dipandunya sedang menuruni bukit.
Sedang dia mengamati jalan raya di hadapannya, tiba-tiba terperasan seorang lelaki sedang berdiri berpeluk tubuh menahan kesejukan di perhentian bas di bahu jalan.
Terbit rasa simpati di hatinya, Serta-merta dia memperlahankan lori yang dipandunya.
“Nak ke mana tu pakcik? Jeritnya kuat sambil menurunkan cermin kenderaan. Lelaki itu tersengih sambil meluruskan tangan ke arah hadapan seakan memberitahu untuk pergi ke arah tersebut.
“Mari naik pakcik, saya hantarkan,” kata Kamil lagi.
Lelaki separuh abad itu tersenyum sambil bergegas menuju ke arah kenderaannya.
“Terima kasih tumpangkan pakcik. Kalau tak, tak tahulah pakcik nak naik apa,” katanya.
Kamil tersengih. Bagus juga dia tumpangkan lelaki tersebut sekurang-kurangnya ada juga teman untuk dia berbual.
“Pakcik nak ke mana malam-malam buta ni? Ada lagi ke bas lalu? Tanya Kamil.
“Pakcik nak ke kampung depan tu, memang setiap malam pak cik ke sana. Biasanya ada juga kereta sapu yang lalu, tapi hujan agaknya itu yang tak muncul-muncul langsung,” jawabnya ramah.
Kamil sempat menjeling ke arah lelaki separuh abad itu. Wajahnya berkedut manakala janggut dan misainya nampak berserabut seakan tidak terurus.
Kamil memulakan perbualan dengan bertanyakan pelbagai perkara. Ada ketikanya mereka tertawa kecil kerana ada yang mencuit hati. Hujan sudah lama berhenti, langit yang gelap sedari tadi juga sudah kembali dipenuhi bintang.
“Eh, dah nak sampai dah, cuba perlahan sikit,” katanya. Serta-merta Kamil memperlahankan kenderaan sambil matanya melilau memandang sekeliling. Pelik pula rasanya kerana di kiri kanan kawasan itu hanya dipenuhi hutan dan deretan kelapa sawit. Langsung dia tidak nampak cahaya yang menunjukkan di situ ada kawasan penempatan.
“Betul ke nak berhenti sini? Saya tengok tak ada sebiji rumah pun,” kata Kamil mengerutkan dahi. Lelaki itu tersenyum sambil menganggukkan kepa
“Memang tak ada satu rumah pun di sini, tapi memang sinilah tempat yang pakcik tuju hampir setiap malam. Pakcik tak tahu nak pergi mana lagi,” jawab lelaki tersebut sambil bersedia untuk turun dari kenderaan.
Sekali lagi Kamil kerutkan dahi. Pelik pula dia dengar jawapan tersebut. Dia masih berfikir apakah maksud tersirat yang ingin disampaikan oleh lelaki tersebut kepadanya.
“Err, maksud pakcik? Tak faham pula saya.” Tanya Kamil kembali. Lelaki tersebut tidak menjawab pertanyaannya. Lantas dia menghulurkan tangan bersalaman sebagai tanda ucapan terima kasih. Kamil yang masih terpingga-pingga terus sahaja menyambut salam lelaki tersebut.
“Terima kasih kerana sudi tumpangkan pakcik,” kata lelaki tersebut sebaik sahaja kenderaan yang dipandu Kamil berhenti berdekatan lorong kecil di bahu jalan.
“Sebenarnya, setiap malam saya datang ke sini ziarah kubur isteri pakcik,” katanya tersenyum. Kamil mengangguk. Tiba-tiba hatinya sayu sebaik sahaja mendengar kata-kata yang dari mulut lelaki tersebut.
“Dah lama ke isteri pakcik meninggal dunia?” Tanya Kamil lagi ingin tahu lebih lanjut. Lelaki tersebut diam sambil menundukkan kepala.
“Hampir dua tahun dah, dia meninggal dunia. Waktu itu pakcik yang pandu kereta,” kata lelaki tersebut sedikit sebak.
“Kereta yang pakcik pandu bertembung dengan lori treler, Betul-betul dekat dengan kawasan yang kamu tumpangkan pakcik tadi,” sambungnya. Kamil terdiam. Dia ingin bertanya lanjut tetapi tidak sampai hati. Risau pula kalau pertanyaannya akan mengguris hati lelaki tersebut.
“Alhamdulillah, nasib baik pakcik masih selamat,” kata Kamil cuba meredakan suasana. Sebelum menutup pintu kenderaan lelaki itu tersenyum sambil menoleh ke arah Kamil.
“Pakcik pun tak selamat. Kami sama-sama meninggal dunia di situ,” jawab lelaki tersebut sambil berlalu pergi membelah kegelapan malam.
Kamil terdiam dan kaget. Jantungnya berdegup kencang. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya ketika itu, yang pasti dia sudah terkencing dalam seluar. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya