Siapa yang balas pesanan itu? - Utusan Malaysia

Siapa yang balas pesanan itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Assala­mu­alai­kum dan salam sejahtera kepada semua pembaca Mingguan Malaysia. Pada keluaran kali ini, saya ingin berkongsi satu kisah seram yang pernah dilalui ketika dahulu.
Sebelum bercerita dengan panjang lebar, biarlah saya perkenalkan diri sebagai Yun, berusia 29 tahun, menetap di Petaling Jaya, Selangor dan kini bertugas di sebuah syarikat swasta.
Kisah ini berlaku ketika saya belum mendapat pekerjaan tetap. Saya lebih suka bekerja sendiri kerana tidak mahu terikat dengan komitmen lagipun saya bebas hendak ke pergi ke mana-mana.
Pada ketika itu kerja sampingan yang popular adalah menjadi pemandu e-hailing. Saya juga tidak ketinggalan turut serta. Komisennya juga lumayan, maklumlah waktu itu tidak banyak saingan kerana cuma ada beberapa syarikat e-hailing yang berdaftar.
Kebiasaannya, saya akan mulakan tugas dari pukul 6 petang hingga 5 pagi kerana waktu tersebut lebih tenang tanpa kesesakan lalu lintas.
Pengalaman bawa e-hailing ni memang seronok terutamanya apabila berkenalan dengan penumpang daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama, itu tidak termasuk lagi penumpang dari luar negara.
Cerita bermula pada satu malam apabila saya dapat permintaan daripada seorang wanita untuk menghantarnya ke satu lokasi di pusat bandar.Tidak fikir panjang terus saya klik butang accept di telefon bimbit. Alhamdulillah, nampaknya adalah teman saya berborak nanti kerana kebiasaannya jika sesama perempuan ini memang banyak sembangnya.
Saya toleh jam di kenderaan sudah hampir 12.15 malam. Tanpa buang masa saya pecut kenderaan ke destinasi yang diberitahu. Hampir 15 minit memandu saya pun sampai di lokasi berkenaan. Saya perlahankan kenderaan sambil mata melilau mencari penumpang itu.
Setelah beberapa kali berlegar-legar di kawasan itu akhirnya saya berhenti di satu simpang kecil. Saya pasti di situlah tempatnya kerana panduan arah di telefon bimbit menunjukkan saya sudah sampai di lokasi yang diminta. Lantas saya pandang sekeliling, namun tidak nampak sesiapa kecuali suasana malam yang gelap pekat.
Saya turunkan cermin tingkap, nampak jelas beberapa kereta lama yang tersadai di kiri kanan bahu jalan, malah ada di antaranya ditutup dengan kanvas.
Nun jauh di sebelah kanan belukar pula nampak beberapa rumah kampung yang sudah gelap gelita. Di laluan masuknya pula kelihatan beberapa longgok timbunan batu dan pasir seakan ada kerja-kerja pembinaan yang masih berjalan di situ. Saya tidak pasti adakah kawasan tersebut dihuni penduduk tempatan ataupun warga asing.
Beberapa minit menunggu kelibat penumpang tersebut masih belum muncul. Saya hubungi nombor pemanggil namun tiada jawapan. Pelik! Saya cuba lagi, namun masih sama. Yang kedengaran hanyalah nada deringan yang akhirnya terputus sendiri.
Timbul rasa geram. Saya mula berfikir yang bukan-bukan, adakah penumpang itu sengaja ingin mempermainkan saya? Saya undur kereta perlahan ke arah lampu jalan berdekatan dengan harapan untuk memudahkannya melihat kenderaan saya.
Sekali lagi saya dail nombornya namun hampa. Saya fikir jika beberapa minit lagi dia tidak sampai atau menjawab panggilan, saya akan beredar. Buat apa saya nak tunggu di tempat asing seperti ini, baik saya cari penumpang lain yang ramai lagi menunggu.
Sebelum ambil keputusan beredar, saya taip pesanan di aplikasi yang tersedia. Saya maklumkan kepadanya yang saya sudah lama menunggu dan ingin beredar, tiba-tiba tanpa disangka pesanan saya dibalas.
“Boleh cik datang ke belakang sedikit? Saya ada di sini.” Balasnya.
Saya tarik nafas lega. Perlahan-lahan saya undur kenderaan sambil mata melilau memandang sekeliling. Sekali lagi saya hantar pesanan dan memberitahu sudah sampai ke lokasi yang diarahkan.
“Saya ada di sini. Undur belakang sikit. Sikit lagi,” balasnya lagi.
Saya mengomel dalam hati. Undur ke mana pula lagi, bisik hati kecil saya.
“Okey, belakang sikit cik. Saya ada di kawasan kereta-kereta ini,” tulisnya lagi.
“Apa kata kalau cik keluar ke arah jalan ini sebab saya dah ada di sini.
“Rasanya lagi mudah sebab kebiasaannya pemandu tidak kenal penumpang, tetapi penumpang yang akan kenal kereta pemandu,” Balas saya panjang lebar untuk beri dia faham.
Saya tunggu lagi untuk kesekian kalinya, masih tidak nampak kelibat sesiapa. Lantas saya dial semula nombornya namun tiada jawapan.
“Saya dah reverse ni, cik tak nampak saya ke? Kereta saya betul-betul di bawah lampu ini,” Tulis saya. Tidak sampai beberapa ketika pesanan saya dibalasnya.
“Hah, di bawah lampu jalan ni kan ada sebuah kereta. Saya ada di bawah kereta ni. Cik tak nampak saya ke?” Balasnya lagi.
Saya jengah ke luar. Memang ada sebuah kereta buruk yang tersadai di bawah lampu berdekatan, tapi memang tiada sesiapa di situ. Terus saya hantar pesanan lagi kepadanya.
“Cik dah nampak kereta saya kan? Apa kata cik datang sini. Sebab saya tak nampak cik dekat mana.” Tulis saya sambil menahan geram.
Beberapa saat kemudian pesanan saya dibalas. “Awak tak nampak saya? Saya ada di bawah kereta ini,” balasnya.
Saya rasa sedikit menyinga. Terasa seakan dipermainkan. Sudahlah call tidak berjawab, kemudian bila hantar pesanan kita pula yang diperbodohkan. Kalau sudah nampak kereta saya, keluarlah. Buat apa nak suruh saya cari pula.
Saya undur kereta sedikit. Dalam suram cahaya lampu saya dapat melihat dengan jelas kereta usang yang dimaksudkannya. Saya toleh sekeliling. Tidak nampak sesiapa. Di bawah kereta itu juga gelap gelita dan tidak mungkin sesiapa yang waras berada di situ.
“Nampak tak saya ada di bawah kereta ini?” Sekali lagi pesanan darinya saya terima.
Waktu itu pelbagai andaian menerjah ke fikiran. Tiba-tiba bulu roma tegak berdiri. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena, dan apabila saya menolak gear untuk meninggalkan lokasi tersebut, tiba-tiba terdengar cermin kereta di ketuk dari belakang.
“Maaf cik, saya tak perasan cik call tadi sebab tengah sibuk bersiap.” Kata seorang wanita separuh umur dengan nafas sedikit tercungap.
Saya hanya tersengih dan mengangguk perlahan. Setelah dia masuk ke kereta saya terus memecut ke destinasi diminta. Entah kenapa saya tiada mood untuk berbual dengannya mungkin disebabkan sudah bosan menunggu tadii.
Sebulan kemudian saya menempah e-hailing untuk ke ibu kota kerana kereta saya berada di bengkel untuk dibaiki. Kami bersembang rancak setelah dia tahu yang saya juga adalah pemandu e-hailing, terus kami bercerita tentang pengalaman masing-masing.
“Dahulu saya pernah alami pengalaman seram. Saya dapat satu tempahan di Jalan Lama. Sampai di sana saya call penumpang berpuluh kali langsung tak jawab, tapi bila kita message dia reply pula.
“Dia kata, ada di bawah kereta buruk di tepi jalan itu, Saya ingat pelanggan itu main-main, tapi sampai ke sudah itulah pesanan yang dia hantar. Sudahnya apa lagi, terus saya cabut. Tak sanggup nak tunggu dah,” katanya panjang lebar.
Saya terdiam. Terus fikiran merewang jauh teringatkan peristiwa sebulan lalu. Peristiwa itu nampaknya sama dengan apa yang saya alami. Entah kenapa tiba-tiba tubuh saya rasa panas dan menggigil. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya