Ipoh kota `slackers' - Utusan Malaysia

Ipoh kota `slackers’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI temu bual paling awal pernah saya buat. Dua minit selepas azan Subuh berkumandang, mesej daripada Mohd. Jayzuan masuk. Kira-kira sejam selepas itu, dia sampai di hotel tempat saya bermalam lalu kami meneroka pekan Ipoh mencari sarapan pagi.

Jayzuan terus menjadi Jayzuan. Mulutnya sukar berhenti bercakap. Sepanjang perjalanan saya sudah disogok pelbagai cerita. Namun, seperti ada yang tidak beres pada dirinya. Ada yang mengganggu.

“Mungkin kau boleh mula artikel kau macam ini: Jayzuan yang sepatutnya berada di Copenhagen ketika ini…,” cadangnya.

Itu rupanya yang di dalam kepalanya sejak tadi. Jika tidak disebabkan Covid-19, tubuh Jayzuan sepatutnya ada di Copenhagen bagi memenuhi jemputan membuat persembahan di bawah jenama Joni Mustaf, alter-ego eksperimental yang menonjolkan sisi berbeza Jayzuan dalam muzik.

Jayzuan adalah produk Ipoh yang tulen. Ada ciri unik hasil ‘eraman’ kota Ipoh pada produk dan gayanya.

Ya, Ipoh unik. Bagi yang mengikuti perkembangan scene muzik di sana, pasti dapat melihat ada sesuatu berbeza ditawarkan kugiran Ipoh.

Ada yang tidak cermat pada bunyinya. Kacau-bilau, tidak sempurna, rosak tetapi cool. Ini kerana, kata Jayzuan, Ipoh ada ramai slackers.

Perkembangan scene muzik di Ipoh boleh dijejak jauh. Bagi Jayzuan, antara pemula yang mendirikan scene underground di Ipoh adalah Glottis, kugiran thrash yang kemudiannya berpecah dan menghasilkan kugiran legenda lain seperti Necrotic Chaos dan Langsuir.

“Bermula pada akhir 1980-an tetapi banyak melibatkan kugiran metal. Dari situ lahir Ipoh Metal Militant. Pada 1994, Muck muncul. Daripada Muck, scene indie mula berkembang dan menjadi popular di Ipoh,” katanya.

Ipoh dan Muck sangat sinonim dengan label Bodysurf Music. Label ini yang menghasilkan kompilasi Kopi Sechewen. Mereka sudah sebut ‘kopi secawan’ dengan pelat sebelum seorang mat saleh mempopularkannya melalui iklan kopi di televisyen suatu masa dahulu.

Bodysurf Music bertanggungjawab melahirkan banyak kugiran independen dari Ipoh. Free Love, Harmacy dan Bittersweet adalah beberapa nama yang dikenali.

Ketika itu, Ipoh mampu berdiri sebagai pekan muzik yang mandiri tanpa perlu menempel pada bandar besar seperti Kuala Lumpur (KL).

“Kami memang tak fokus sangat pada KL sebab scene Ipoh sendiri sudah besar. Kalau gig di Ipoh, paling teruk pun ada 500 penonton,” kata Jayzuan.

Kemandirian Ipoh yang melahirkan keunikannya. Menurut Jayzuan, selain rujukan muzik yang berbeza, kugiran indie rock Ipoh lebih terinspirasi daripada kugiran Amerika Syarikat dan Sweden – budaya dan persekitaran di pekan itu juga membentuk bunyi yang berbeza.

“Waktu itu kugiran indie rock Malaysia seperti dari Johor Bharu, Pulau Pinang dan Kuching lebih merujuk kugiran British seperti The Stone Roses, The Smiths dan banyak lagi. Scene Bodysurf lebih kepada Sonic Youth, Pavement; lebih kotor, main gitar dengan drumstick, screw driver.

“Kalau kita dengar Muck, Free Love, Harmacy, dia tak akan sama bunyi macam Toko Kilat, The Times. Ipoh dia ada sloppy, ada benda cincai. Ipoh ni slacker-lah,” katanya.

Daripada muzik, Ipoh berkembang menjadi pekan seni yang pelbagai. Jayzuan sendiri bertanggungjawab mendirikan Projek Rabak yang mengumpulkan seniman-seniman daripada pelbagai disiplin.

Ipoh mula melahirkan seniman dalam bidang lain seperti Jack Malik dengan sajaknya, Meor Hailree dengan seni avant-garde dan filemnya serta Syafiq Effendi Faliq (Sefa) dengan mime-nya.

Kepelbagaian seni di Ipoh yang tidak meninggalkan identiti ‘cincai’ akan ditonjolkan dalam projek terbaharu Jayzuan, kompilasi Ipoh City Slackers.

“Artis yang terlibat dalam kompilasi ini ada ciri-ciri ‘karat’ itu. Eksperimental sikit, indie rock sikit. Yang ada karakter tertentu, yang bukan kita boleh dapat dalam radio,” jelasnya.

Lima artis yang akan terlibat dalam kompilasi itu adalah Harmacy, Lovethee, Hem, Jack Malik dan Meor Hailree.

Sesi sembang kami tidak berakhir di situ. Selepas Jayzuan menghabiskan roti nan dan kari dagingnya, kami beralih kepada topik yang lebih berat.

Maka wajiblah untuk anda semua mendapatkan Mingguan Malaysia minggu hadapan bagi mengikuti bahagian kedua temu bual saya bersama Jayzuan yang bosan, jengkel dan menyampah dengan soalan-soalan lain!

– Rondivu, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN