Durian, bufet bajet tarikan Royale Chulan The Curve

Durian, bufet bajet tarikan Royale Chulan The Curve

PENGUNJUNG mengambil makanan yang dihidangkan secara bufet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENIKMATI hidangan ala bufet terutama masakan Melayu memberi kepuasan berganda kepada kebanyakan daripada kita. Apatah lagi hidangan lauk pauk beraneka jenis dihidangkan pada harga berpatutan dengan rasa yang sedap bagi sesiapa yang berkunjung ke Hotel Royale Chulan The Curve.

Paling wajib dicuba semestinya ikan kembung bakar yang dipanggang di atas kuali dan dihidangkan panas kepada pengunjung. Malah, ikan segar dicelup bersama sambal khas ini memberikan rasa tersendiri yang tidak terlalu pedas.

Walaupun ringkas, boleh dikatakan keenakan menu ini bergantung hampir sepenuhnya pada pes berkenaan di samping ikan yang segar.

Selain itu, menu ini juga boleh digandingkan dengan pelbagai hidangan lain seperti ayam masak kunyit atau ayam masak kicap serta lauk pauk berasaskan daging yang pasti menggoda tekak sesiapa sahaja.

Bagi mereka yang mahukan menu selain nasi boleh mencuba mee kari di sini. Kuah pekat yang cukup berlemak dan beraroma memberikan keseimbangan rasa yang pasti memikat selera sesiapa saja.

Paling penting, mee kari di sini tidak ‘kosong’ dan turut disertakan dengan bebola ikan, telur rebus dan ayam yang diletakkan bersama-sama kuahnya.

Sementara itu, bagi penggemar nasi ayam, anda tidak akan menyesal sekiranya mencuba hidangan bufet di hotel ini.

Kelembutan isi ayam yang berjus dan berkilat dengan kulit ayam tidak pecah menjadikan menu ini antara pilihan terbaik . Malah, rempah digunakan pada ayam juga boleh dirasa sampai ke isi dan tulang.

Semua hidangan bufet yang mempunyai lebih 30 lauk dan pencuci mulut di sini boleh dinikmati pada harga RM25.90 untuk dewasa manakala RM17.90 untuk kanak-kanak.

Sekiranya datang ke sini, pengunjung tidak boleh melepaskan peluang menikmati keenakan pelbagai jenis durian pada harga berpatutan dan dikira pada jumlah biji, bukan mengikut timbangan.

Semua durian yang terdapat di hotel ini didatangkan khas dari Raub, Pahang dan sudah pasti pengunjung tidak perlu ragu-ragu tentang rasa serta kualitinya.

Apatah lagi ketika menikmati durian Musang King yang isinya tebal dengan warna kuning dan mempunyai rasa berkrim, manis serta bercampur sedikit pahit.

Dan seandainya ada yang tidak mahukan durian jenis ini, pengunjung boleh mencuba durian lain seperti D24 yang lebih murah dengan isi yang tebal serta lemak manis.

Begitu juga bagi mereka yang mahukan durian jenis lain seperti XO atau durian kampung dengan kualiti terbaik.

Dalam pada itu, Pengurus F&B, Wan Mohamad Sharul Wan Mat Zin berkata, penjualan durian di hotel berkenaan diadakan setiap hari dari pukul 4 sehingga 10 malam.

 

 

“Promosi durian ini diadakan selagi stok masih ada. Sekiranya ada durian yang tidak elok, pengunjung boleh menukar kepada durian lain.

“Ini bagi memastikan pengunjung berpuas hati dan dapat menikmati raja buah yang didatangkan terus dari kebun di Pahang. Harga bergantung kepada jenis durian,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohamad Sharul berkata, untuk promosi bufet pula ia diadakan setiap Jumaat manakala untuk hari biasa pula lauk pauk dijual dengan mengikut kuantiti yang diambil.
Tambahnya, bufet di hotel tersebut bermula pada pukul 12 tengah hari sehingga pukul 3 petang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN