Rasa sebenar patin tempoyak di Kak Nik Patin House

Rasa sebenar patin tempoyak di Kak Nik Patin House

KAK Nik bersama sebahagian lauk yang boleh dinikmati pengunjung direstoran miliknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU bercakap soal keenakan gulai patin tempoyak, sudah pasti ramai membayangkan Pahang. Namun untuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, tidak perlu ke negeri tersebut semata-mata memenuhi tuntutan selera.

Dengan hanya berkunjung ke restoran Kak Nik Patin House sudah cukup untuk menikmati rasa sebenar gulai patin tempoyak.

Paling penting ikan patin di restoran ini tidak hanyir dan dibawakan khas dari Pahang berjaya menjadi pelengkap untuk mereka yang ‘gilakan’ menu ini termasuk saya.

Apa yang menarik, gulai patin tempoyak memberikan rasa sedap, sempurna dan sekata dengan campuran bahan bawang, cili, kunyit hidup dan daun kesum selain keharuman bunga kantan.

Malah, kuahnya yang pekat dengan campuran tempoyak durian kampung dan Musang King membuatkan sesiapa saja tidak segan untuk menghirupnya.

Apatah lagi dengan hanya RM15 (tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan), pengunjung yang datang ke sini boleh memesan sepotong lagi lauk yang sama.

Sekiranya masih mahu mengekalkan hidangan ikan patin dan mahu mencuba masakan selain tempoyak, pais patin juga terdapat di sini.

Apa yang boleh saya katakan, pais patin berharga RM20 di sini sedap dan berjus dengan bahan rencah yang digunakan meresap hampir di setiap genap isinya.

Di samping itu, pengunjung wajib memesan ikan kerai goreng sebagai gandingan untuk dimakan bersama gulai patin tempoyak ataupun pais.

Walaupun memerlukan sedikit kesabaran mencari tulang halus yang ada pada ikan ini, keranggupan pada ikan ini memberikan kepuasan berganda dan jelas terasa.

Harga untuk menu ini pula antara RM15 sehingga RM50 bergantung kepada saiz.

Bagi pengujung yang mahu mencuba menu selain ikan, udang galah masak lemak cili api yang berharga RM25 ke RM30 seekor turut terdapat di restoran ini.

Udang bersaiz besar ini turut didatangkan khas dari Sungai Pahang bersama-sama ikan patin dan ikan kerai.

Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba gulai lemak siput sedut yang berharga RM10.

Kak Nik Patin House
Lokasi: 102 Lebuhraya Baru Pantai (NPE) Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Kecuali Ahad dari pukul 11 pagi hingga 11 malam
Makanan popular: Gulai patin tempoyak, pais patin, gulai lemak siput sedut dan udang galah masak lemak cili padi

Pada saya, semua menu dinyatakan ini tidak lengkap sekiranya tidak dimakan bersama sambal gesek iaitu iaitu campuran ikan bilis dan cili yang berharga RM5 seberkas.

Dalam pada itu pemilik restoran, Nik Sarimah Mat tahir berkata, dia menggunakan ikan patin buah yang diternak dalam sangkar di Sungai Pahang.

 

“Semua stok ikan akan dibawa setiap dua hari sekali. Gulai ikan patin di sini harganya semua sama tanpa mengira bahagian sama ada ekor, badan atau kepala.

“Bukan itu saja, kami juga menyediakan lauk-pauk lain yang semuanya lebih 30 jenis di restoran ini,” terangnya.

Bercerita mengenai idea pembukaan restoran itu, Nik Sarimah atau lebih mesra dipanggil Kak Nik berkata, segalanya bermula dengan hanya sekadar mencuba.

“Sebelum ini saya menetap lama di Temerloh, Pahang.Selepas itu apabila saya mengikut suami ke Kuala Lumpur, saya cuba untuk berniaga.

“Syukur alhamdulilah, daripada bermula di pasar malam saya berjaya membuka restoran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×