Warong Tiga Lima saji makanan tradisi

Warong Tiga Lima saji makanan tradisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUNIKAN makanan dan suasana santai adalah antara kriteria utama ‘pemburu makanan tegar’ atau food hunter untuk menjamu selera termasuklah antaranya  di Warong Tiga Lima.

Selain makanan yang enak, kedai makan yang berkonsep unik pasti menjadi tumpuan. Contohnya, konsep klasik. Ia bukan sekadar menjamu selera, pengunjung turut mengabadikan momen indah di situ dengan keluarga atau rakan-rakan dan pada masa sama memuat naik gambar-gambar makanan yang menarik di media sosial.

Tahukah anda di tengah-tengah hiruk-pikuk bandar raya Shah Alam, terdapat sebuah kedai makan yang unik? Sekali pandang saja, ia pasti menarik golongan pemburu makanan ini untuk singgah.

Warong Tiga Lima yang terletak di Seksyen 10, Shah Alam ini turut mengamit selera dengan menu-menu makanan tradisi masyarakat Melayu. Dengan tarikan ini, ia pasti akan disenaraikan sebagai kedai makan ‘wajib pergi’ jika singgah di Shah Alam.

Pengusaha Warong Tiga Lima,Raja Mohd.Najmi Raja Sulung Hizahar,33, memberitahu, dia dan isterinya, Natrah Mohd. Nasir, 33, membuka kedai makan tersebut dengan niat ingin berkongsi keenakan makanan tradisi daripada resipi turun-temurun keluarganya.

————————————————————————————

Warong Tiga Lima

Lokasi: Jalan Songkok 10/15, Seksyen 10, 40100 Shah Alam, Selangor
Waktu Operasi:
Isnin hingga Ahad – 8 pagi hingga 12 tengah hari
Jumaat hingga Ahad – 6 petang hingga 12 malam.
Makanan popular:
Nasi lemak, lontong
darat, Mi kari
dan roti titab

“Warong Tiga Lima dan peniaga (vendor) makanan di sini menampilkan konsep klasik menyajikan hidangan tradisi rakyat Malaysia yang ‘simple’.

“Kita sajikan nasi lemak, lontong darat, mi kari, roti titab dan lempeng cicah sambal. Inilah selera rakyat Malaysia yang kita satukan di sini.

“Walaupun menu nampak biasa tetapi kualiti rasanya saya sentiasa pantau setiap hari. Terutamanya sambal nasi lemak resipi ibu saya,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Raja Mohd.Najmi berkata, sejak dibuka lebih dua tahun lalu, sambutan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan.

Adakalanya, katanya, mereka terpaksa melanjutkan sedikit masa operasi kerana permintaan ramai.

Bercakap mengenai menu sampingan beliau berkata, makanan tradisi seperti soto, roti jala, nasi dagang, kacang pol dan roti bakar, cucur bawang dan rojak istimewa juga disediakan.

Selain itu, kedai makan tersebut turut menya­jikan lempeng pisang, roti bakar peanut Nutella, roti bakar cicah sangkaya pandan dan sambal bilis, nasi dagang dan roti telur goyang kampung.

Menyentuh tentang promosi, Warong Tiga Lima menjadi tumpuan orang ramai hasil promos mereka melalui media sosial dan dari mulut ke mulut.

“Kami menerima kehadiran pelanggan daripada pelbagai latar belakang termasuk kakitangan swasta dan golongan pesara dari seluruh Shah Alam dan orang luar.

“Setiap pelanggan yang datang kerana ingin makan sajian negeri asal mereka.

“Ada juga terpesona dengan dekorasi warung ini yang dihiasi barang antik dan pekerja yang memakai songkok dan berbaju tradi­sional,” ujarnya.

Tambahnya, Warong Tiga Lima turut menyajikan kopi istimewa ‘kaw’ Tanjong Karang yang boleh dicicah dengan biskut rangup yang dipesan khas dari pembekal di Kuala Pilah.

Orang ramai yang ingin bersarapan dan merasa masakan hidangan istimewa ini, boleh datang pada Isnin hingga Ahad bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Mereka juga boleh datang pada sebelah petang bermula pukul 6 petang hingga pukul 12 malam pada Jumaat hingga Ahad sahaja.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×