Satu-satunya restoran yang menyajikan menu berasaskan kambing, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang kini mendapat sambutan ramai pada musim cuti sekolah ini.
Bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), House of Kambing, berkonsepkan restoran di tepi padang ragut, yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan ala perkampungan.
Antara menu istimewa iaitu kambing bakar perap kicap, menjadi pilihan utama pelanggan.

Menurut pemilik restoran ini, Dr. Mohmad Mustafa, menu pilihan ramai itu diilhamkan daripada sebuah restoran Indonesia yang dikunjunginya sebelum ini, yang menyajikan kambing masak kicap berlada hitam.

Katanya, walaupun restoran Indonesia tersebut hanyalah kedai makan kecil, namun disebabkan hidangan kambing kicap yang istimewa, ia menarik ramai pengunjung.
Daripada pengalaman itu, beliau mengolah resipi baharu, lalu terhasillah kambing bakar perap kicap.
Tambahnya, berbeza dengan restoran yang menggunakan daging kambing sebagai bahan utama dalam hidangan, rata-ratanya masakan ala Barat.
Jadi, untuk kelainan, Mohmad berkata, beliau mengekalkan selera Malaysia, untuk membolehkan setiap menu hidangan diterima mengikut selera orang ramai.
Bagi mengekalkan kualiti hidangan, katanya restoran itu mengamalkan konsep ‘dari ladang hingga ke pinggan’.
Dengan cara itu kambing dari ladang disembelih sebelum dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk dimasak mengikut menu-menu di House of Kambing.
Beliau yang juga pernah menjadi doktor haiwan dan mengkaji berkaitan kambing di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), menggunakan daging anak biri-biri sebagai bahan utama di restoran itu.
“Kebiasaannya kami akan guna daging daripada anak biri-biri yang berumur enam ke lapan tahun. Pemilihan daging kambing yang lebih muda menjadikan setiap hidangan tidak berbau hamis.
“Malah daging lebih lembut dan berjus, terutamanya menu kambing bakar perap ini,” katanya.

Jika sebelum ini, kita sering dengar ayam crispy, udang crispy dan sotong crispy, namun lain pula dengan House of Kambing yang turut menghasilkan hidangan unik iaitu ‘kambing crispy’ atau kambing rangup.
Hidangan ini menggunakan isi kambing yang diperap bersama adunan tepung dengan campuran lain yang membuatkannya sedikit pedas.
Menu kambing crispy dihidangkan bersama kentang goreng, yang sesuai untuk kanak-kanak termasuk bukan penggemar kambing.
Selain itu, bagi pelanggan yang belum pernah merasa susu kambing segar, House of Kambing turut menyediakan minuman tersebut.
Restoran itu juga menyediakan tempahan untuk sambutan hari jadi, aqiqah dan jamuan lain. – UTUSAN










