MENIKMATI kari kepala ikan ketika berbuka puasa sememangnya memberi satu kepuasan setelah sehari suntuk menahan lapar dan dahaga.
Apatah lagi menikmatinya ketika hidangan masih panas sememangnya membuatkan sesiapa sahaja lupa tentang penat selepas seharian menahan lapar dan dahaga.

Malah, hidangan kari kepala ikan ini menjadi lebih bermakna apabila dimakan bersama sup gearbox yang dihasilkan daripada ramuan rempah terbaik.
Apa yang pasti, kedua-dua jenis makanan ini boleh dinikmati di Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur menerusi hidangan berbuka puasa ‘Selera Nostalgia Do Re Mi’
Menurut Chef Mustaqim Samsudin, sebanyak 150 hidangan lain turut ditawarkan di hotel ini antaranya Kambing Bakar Antara Dua Darjat, Nasi Ayam Hainan Ibu Mentuaku dan pelbagai jenis menu lain.
“Semua hidangan di sini menggunakan nama yang diambil daripada judul filem legenda Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sekali gus dapat mengimbau kenangan zaman kegemilangannya.
“Kita juga mahu mengetengahkan semula hidangan asli Melayu yang semakin dilupakan pada masa kini,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Jelas Mustaqim lagi, hidangan lain yang terdapat di hotel ini antaranya termasuklah gulai batang pisang; rendang udang bersama pucuk ubi kayu; roti jala serawa durian dan nasi lemak.
Selain menikmati hidangan, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan secara langsung dendangan lagu-lagu terbaik P.Ramlee.
Dalam pada itu, kata Mustaqim, pelbagai pencuci mulut turut disediakan antaranya aneka kuih Melayu, air batu campur (ABC) dan juga buah-buahan tempatan.
Harga untuk bufet ‘Selera Nostalgia Do Re Mi’ ialah RM168 untuk dewasa manakala kanak-kanak pula ialah RM68. – UTUSAN










