Rasa ‘Ter-LioLio’ di Lot 15 - Utusan Malaysia

Rasa ‘Ter-LioLio’ di Lot 15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELANGKAH masuk ke dalam kafe dengan dekorasi yang cantik ini sudah cukup memberi rasa ketenangan. Apatah lagi dekorasi yang dipamerkan itu turut mempunyai kesenian dan artistik tersendiri.
Bukan itu sahaja, hidangan di kafe yang dinamakan Lot 15 ini juga unik dan enak.
Antara paling wajib dicuba semestinya menu Hijo, iaitu spageti yang dicampurkan bersama sos pesto (sos hijau campuran daun basil) serta diletakkan bersama udang, tomato cherry dan keju parmesan. Apa yang menarik, udang tersebut digoreng rangup dan rasanyanya seakan-akan udang celup tepung sebagaimana yang terdapat di restoran lain, cukup sempurna apabila dimakan bersama spageti.
Selain itu, menu ini mempunyai rasa krim tersendiri dan cukup sempurna apabila dimakan bersama udang dan tomato cherry. Harga untuk hidangan ini adalah RM21.90.
Selain spageti yang dimakan bersama sos pesto, pengunjung juga boleh menikmati menu Lio- Lio iaitu spageti yang hampir sama sebagaimana Aglio Olio, namun rasa yang lebih enak dengan ditambah ayam goreng. Malah menu berharga RM22.90 ini juga tidak terlalu pedas.
Bagi yang mahukan nasi pula, restoran ini menyediakan Spicy Butter Katsu iaitu ayam katsu buttermilk , cili merah dan dima­sukkan bersama daun kari. Walaupun dicampur susu mentega, ia tidak memberikan rasa muak kepada yang menikmatinya.
Ini kerana serbuk cili diletakkan bersama bagi mendatangkan rasa pedas, sekaligus ‘mematikan’ rasa muak. Pengunjung tidak perlu bimbang kerana serbuk cili boleh ditambah atau dikurangkan bergantung kepada cita rasa masing-masing. Harga untuk hidangan ini adalah RM15.90.
Selain dua menu utama ini, pencuci mulut di Lot 15 juga tidak mengecewakan sama sekali. Pengunjung boleh mencuba strudel yang diletakkan bersama beberapa jenis buah-buahan. Strudel di kafe ini mempunyai rasa yang sedap dengan whipping cream yang pekat disebabkan tiada campuran air.
Dengan harga RM12.90, pengunjung pasti berpuas hati dengan pencuci mulut yang sedap ini. Malah, menu ini boleh dimakan antara dua hingga tiga orang.
Sekiranya pengunjung hanya mahu menikmati kopi, caramel macchiato menjadi pilihan disebabkan kombinasi rasa sirap karamel dan susu dengan sukatan sepadan.
Menurut pemilik Abdul Rahman Moftar Ahmed, konsep industrial ini dihasilkan sendiri dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan serta pekerjanya.
“Konsep ini tiada lagi di Nilai melainkan di Kuala Lumpur, Jalan Petaling atau Melaka. Orang mungkin tidak berani sebab kos tinggi.
“Bagaimanapun, apa yang kita mahu tekankan tiga perkara apabila pengunjung datang ke Lot 15. Pertama tentang rasa, harga dan bagaimana pengunjung dapat rasakan apabila masuk ke dalam kafe kami,” katanya.
Kafe Lot 15 yang terletak di Jalan Besar Nilai, Pekan Nilai, Negeri Sembilan ini dibuka dari pukul 2 petang sehingga 10 malam setiap Selasa sehingga Khamis, manakala Jumaat sehingga Ahad sehingga pukul 12 tengah malam. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya