Menikmati cita rasa The Avengers di Doplohtiga - Utusan Malaysia

Menikmati cita rasa The Avengers di Doplohtiga

Gambar M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKAN nasi lemak dengan sambal bilis atau apa sahaja jenis sambal adalah sesuatu yang biasa.
Namun pernahkah anda terfikir untuk menikmati kelainan nasi lemak yang dimakan bersama campuran tiga ‘perisa’ sekaligus iaitu sos buttermilk, sambal biasa dan sambal hijau.
Di Doplohtiga, anda boleh menikmati rasa kelainan ‘pedas-pedas manja’ yang semestinya memberikan pengalaman baharu terutama untuk si penggemar nasi lemak.
Malah, campuran sambal ini sangat sesuai bagi mereka yang tidak makan masakan pedas.
Paling menarik menu yang dinamakan Nasi Lemak BTS (boleh tambah sambal ) ini memberi peluang kepada pengunjung meningkatkan tahap kepedasan hidangan dengan memesan dua jenis sambal iaitu merah (paling pedas) dan hijau.
Selain nasi lemak, Doplohtiga sebenarnya amat dikenali dengan hidangan pelbagai jenis burger lain daripada yang lain.
Mengapa saya katakan begitu? Hidangan burger di sini bukanlah tipikal burger yang biasanya dimakan di restoran makanan segera.
Semua burger di sini tercipta hasil gabungan patty segar yang dimakan bersama pelbagai jenis sos menarik termasuk teriyaki dan wasabi.
Kombinasi kedua-dua sos ini boleh dinikmati pada menu Ronin Burger berharga RM15 yang turut didatangkan bersama roti burger charcoal (roti arang hitam).
Selain itu, sekiranya anda mahu mencuba penangan daging wagyu yang dimakan bersama burger, saya cadangkan menu Fakuoka A5 Wagyu Classic Burger.
Kelembutan wagyu yang dimasak sederhana sudah pasti memberikan rasa jus daging segar yang tidak boleh disangkal lagi.
Apa yang paling penting selain keenakan rasa, harga menu ini amat berpatutan iaitu RM23.
Bagi mereka yang datang santai dan mahu melepak bersama rakan-rakan, anda boleh memesan menu yang tidaklah terlalu berat dan boleh dinikmati beramai-ramai iaitu Loaded Fries Mix yang dinikmati bersama pelbagai jenis kopi.
Dalam pada itu, bagi pemilik bersama, Muhamad Ashraf Zulkifli berkata, nama Doplohtiga yang dibuka sejak hampir tiga tahun lalu mempunyai makna dan nilai sentimental tersendiri pada dia dan juga rakan kongsi, Ahmad Zaidi Masri dan Malek Nadem.
“Nombor ini sebenarnya ada maksud dalam kalangan kami. Kebetulan pula, sebuah rumah yang menjadi tempat kami memproses patty dan menyimpan segala bahan logistik bernombor 23.
“Di samping itu nama-nama burger di kedai kami juga diambil sempena watak superhero dalam filem The Avengers antaranya Thanos Burger, Ironman Burger dan Hulk Burger,” terangnya.
Doplohtiga terletak di Jalan Beserah, Titiwangsa dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 4 petang sehingga 12 tengah malam.
Selain dibuka untuk dine-in atau dibungkus, Doplohtiga turut menyediakan kemudahan bagi mengadakan majlis dan boleh memuatkan sehingga 100 pengunjung dalam satu-satu masa. _ Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya