Jatuh, bangun komposer Ross Ariffin

Jatuh, bangun komposer Ross Ariffin

ROSS Ariffin ketika ditemui di Rumah Warga Emas Taman Bukit Larang Indah, Telok Mas, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA ketikanya hidup sebagai anak seni diliputi kemewahan, disanjung seperti seorang raja, namun tidak siapa menyangka mereka juga diduga dan diuji dengan kepayahan yang tidak pernah diimpikan.

Tentunya detik paling sukar dalam hidup seorang komposer dan penerbit tersohor, Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin, 62, yang pernah mencipta lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Fauziah Latiff dan Liza Aziz adalah kini hidup menyendiri.

Dugaan dan ujian tidak pernah lekang daripada hidupnya, bermula dengan menjadi gelandangan selama tiga tahun di Kuala Lumpur sewaktu pandemik Covid-19.

Siapapun pasti tidak menyangka Ross yang pernah mencipta 64 buah lagu untuk ramai artis terkenal tanah air hidup merempat.

Tinggal sehelai sepinggang, ruang kaki lima di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur menjadi tempatnya melelapkan mata, mujurlah beliau mendapat makan dan minum disumbangkan Pertiwi Soup Kitchen setiap hari.

“Saya seperti tidak percaya menjadi seorang gelandangan. Tidak pernah termimpi saya terpaksa tinggal di kaki lima Pasar Seni.

“Kadang-kadang langsung tidak makan tapi mujurlah ada pihak memberi makan kepada saya serta orang yang senasib dengan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Lebih menyedihkan apabila Ross bercerai dengan isterinya selepas hidup bersama lebih 10 tahun.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Klebang, Melaka berkata, kehidupannya bagai hilang arah selepas bercerai selain terpaksa keluar dari rumahnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Ini sebenarnya menjadi punca kehidupan saya menjadi tidak menentu hingga saya terpaksa menjadi gelandangan di Kuala Lumpur dan hidup berpindah randah di Melaka,” ujarnya.

Keadaan dirinya tidak terurus malah turut diserang sakit jantung dan strok sebanyak dua kali, lantas menyebabkannya tidak dapat berjalan sempurna dan bercakap dengan lancar.

Akhirnya, Ross mengambil keputusan berpindah ke Melaka dan bernasib baik dapat bekerja sambilan di sebuah hotel bajet di Jonker Walk, Banda Hilir.

Di hotel tersebut, beliau bekerja melipat tuala dan cadar, menyapu lantai serta menjaga kaunter tanpa bayaran, sebaliknya dibenarkan menginap di situ secara percuma.

“Saya ambil keputusan balik ke Melaka cuba cari pekerjaan dan perbaiki kehidupan dalam keadaan kesihatan saya menyebabkan pergerakan saya amat terbatas,” katanya.

Selepas itu, Ross yang pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Kolej Muzik Redbridge, London, United Kingdom (UK) pada usia 12 tahun mendapat perhatian seorang pengusaha restoran di Jalan Hang Tuah, Melaka.

Menurutnya, beliau ditawarkan bermain muzik setiap malam di restoran itu, malah pemiliknya turut menyediakan sebuah bilik untuk didiami tanpa perlu membayar sewa.

Kehidupannya di situ tidak lama apabila dilamar kembali oleh sebuah syarikat rakaman di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Ketika itu, Ross sudah membayangkan untuk kembali mencipta lagu dengan merancang merakam semula lagu ciptaannya berjudul Meniti Senja yang dinyanyikan bekas penyanyi kumpulan Heavy Machine, Ann.

Namun, hajatnya tidak kesampaian memandangkan tidak sampai dua bulan berada di Sri Hartamas, dia ditimpa kemalangan yang berlaku di depan sebuah hotel di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada Oktober 2023 lantas menyebabkan tangannya patah.

Katanya, sewaktu mendapat rawatan di hospital, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mencadangkan agar beliau kembali ke Melaka.

“Pengerusi Karyawan Melaka, Datuk Zainal Abu Bakar membantu saya kembali ke Melaka dan ditempatkan di Rumah Warga Emas Taman Bukit Larang Indah, Telok Mas, Melaka Oktober lalu,” ujarnya.

Ross dikenali sebagai pencipta lagu Dia yang dinyanyikan Fauziah Latiff, Kau dan Aku nyanyian Ning Baizura; Kurniaan Dalam Samaran, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Semalam Ku Tolak Ke Tepi, Liza Aziz.

Antara kejayaan yang pernah diraih Ross adalah melalui lagu Semalam Ku Tolak Ke Tepi nyanyian Liza Aziz yang memenangi Festival Lagu Dunia Golden Kite, Kesatuan Penyiaran Asia (ABU) dan Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk Album Pop Terbaik milik penyanyi, Aishah.

Ross kini tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN