Guru, murabbi meneruskan legasi ulama

Guru, murabbi meneruskan legasi ulama

WAZIR CHE AWANG Al MAKKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM lembaran sejarah peradaban Islam, guru bukan sekadar penyampai ilmu. Mereka ialah murabbi, pembimbing rohani dan pencetus perubahan masyarakat.

Dalam konteks Malaysia hari ini, sosok guru harus dilihat sebagai pemacu reformasi pendidikan, bukan sekadar pelaksana kurikulum.

Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Penasihat Guru-Guru Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang berkata, menelusuri jejak para ulama terdahulu yang menjadikan pendidikan sebagai wasilah dakwah dan pembentukan tamadun adalah perlu.

Menurutnya, cetusan ini bertepatan dengan catatan Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.” Hadis riwayat Muslim (1893)

“Imam Nawawi menjelaskan dalam hadis berkenaan kelebihan orang yang menunjukkan suatu kebaikan, memberikan perhatian dan membantu orang yang melakukan kebaikan mendapat ganjaran pahala,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengajian Pondok Moden Kandis, Kelantan baru-baru ini.

Syeikh Wazir berkata, Imam al-Ghazali, misalnya, tidak hanya mengajarkan ilmu fikah dan tasawuf, malah menulis karya-karya besar seperti Ihya’ Ulumuddin yang menyatukan akhlak, ibadah dan pemikiran falsafah secara seimbang.

 

GURU SYEIKH WAZIR CHE AWANG Al MAKKI
Usia: 77 tahun
Asal: Kampung Besut, Tumpat, Kelantan.
Pendidikan:
 Bertalaqi dengan ulama-ulama tersohor di Mekah, Arab Saudi pada usia 11 tahun.
 Menyambung pengajian di Universiti Karachi, Pakistan.
 Kembali ke tanah air pada tahun 1980.
Jawatan yang disandang:
 Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan.
 Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan.
 Tenaga Pengajar di Pusat Pengajian Pondok, Yayasan Islam Kelantan (YIK), Telong Bachok, Kelantan.
 Penceramah bertauliah di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK).

“Imam al-Ghazali membetulkan hala tuju pendidikan yang ketika itu terlalu kaku dan kering daripada nilai rohani. Justeru, reformasi pendidikan hari ini perlukan gerakan drastik dalam keseimbangan tuntuan duniawi dan ikhrawi.

“Begitu juga di alam Melayu, contohnya, alim ulama seperti Tok Kenali, Sheikh Ahmad al-Fatani, dan Sheikh Daud al-Fatani bukan hanya mengajar di pondok atau masjid, malah menggerakkan reformasi pemikiran ummah,” katanya.

Syeikh Wazir berkata, ulama terdahulu menulis, mencetak kitab, menterjemah ilmu dari Asia Barat ke dalam bahasa Melayu serta mendidik anak murid yang kemudiannya menjadi pendakwah dan pejuang kemerdekaan yang boleh ditafsirkan berlakunya reformasi dalam mendidik.

“Mereka ini adalah guru dalam erti sebenar — membina manusia dan membentuk bangsa mengikut acuan yang tidak bertentangan dengan kehendak syarie,” katanya.
Dalam dunia serba moden yang sarat dengan cabaran teknologi, materialisme dan ketandusan nilai, katanya, guru dituntut menjadi lebih daripada sekadar pendidik di bilik darjah.

Syeikh Wazir berkata, guru harus menjadi pemacu reformasi dengan menyuntik ‘roh’ dalam sistem pendidikan agar tidak terjerumus dalam kepompong sekularisme yang memisahkan ilmu daripada nilai ketuhanan.

“Pendidikan Islam hari ini bukan sekadar memindahkan pengetahuan agama, tetapi membina insan rabbani yang seimbang jasmani dan rohaninya.

“Di sinilah guru memainkan peranan penting — meneruskan legasi ulama terdahulu dengan menyuntik hikmah, akhlak dan kefahaman maqasid syariah dalam setiap subjek yang diajar,” katanya.

Beliau berpandangan, guru yang memahami falsafah pendidikan Islam akan melihat murid sebagai amanah.

Justeru, katanya, ia menuntut kasih sayang, doa dan keikhlasan sebagaimana ditunjukkan oleh para ulama terdahulu yang sepatutnya sesuai dijadikan idola dalam membangunkan kualiti pendidikan negara.

“Guru perlu diberikan ruang untuk bersuara, menyumbang idea dan menjadi pencetus dasar yang holistik yang berteraskan nilai-nilai Islam.

“Keberanian untuk menyuarakan keperluan perubahan kurikulum, pendekatan pengajaran dan penilaian yang lebih adil adalah sebahagian daripada jihad ilmu yang harus dipikul bersama,” katanya.

Syeikh Wazir berkata, institusi pendidikan pula harus kembali mengambil ‘roh tarbiah’ sebagai teras, bukan semata-mata mengejar pencapaian peperiksaan.

Menurutnya, pendidikan berteraskan nilai tauhid akan menghasilkan generasi yang bukan hanya cemerlang akal, tetapi juga luhur budi dan kuat jati diri.

Sesungguhnya, tegas beliau, setiap zaman memiliki cabarannya, namun sejarah telah menunjukkan apabila ulama dan guru bangkit memainkan peranan sebenar, maka umat seluruhnya akan bangkit bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×