Beriman, berilmu tertib dalam perawatan Islam

Beriman, berilmu tertib dalam perawatan Islam

KHAIRUL ASMAD MOHAMAD AL- AZHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMALAN perubatan amat dituntut untuk dipelajari sama ada kaedah perubatan moden mahu pun alternatif, apa lagi yang membabitkan perawatan Islam. Konsep perubatan Islam amat luas dan boleh diguna pakai kepada semua jenis penyakit sama ada bersifat jasmani mahupun rohani.

Berkongsi pandangan berkait perihal perawatan Islam, Ahli Gabungan Perawat Muslim Malaysia, Ustaz Khairul Asmad Mohamad Al-Azhari berkata, al-Quran dan hadis adalah rujukan utama sebagai panduan dalam perubatan Islam.

Menurutnya, Allah SWT menegaskan bahawa ayat al-Quran mengandungi kuasa penyembuhan dengan izin-Nya.
“Dan Kami turunkan daripada al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang beriman.” (al-Isra’: 82).
“Bersandarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Mukmin ayat ke 60 manusia digalakkan berdoa kepada-Nya apabila ditimpa sakit sebagaimana firman-Nya: “Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan doa permohonan kamu,”katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Menurut Khairul Asmad seseorang perawat yang cemerlang bukan hanya menguasai ilmu perubatan malah menguasai gabungan ilmu syariat, akidah dan tasawuf.

Katanya, gabungan ilmu ini sangat penting dalam membentuk jati diri seorang perawat yang berintegriti, berakhlak mulia selari dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, ilmu syariat merujuk kepada kefahaman mendalam tentang hukum-hukum Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

“Ini termasuk aspek fiqh (hukum-hakam) yang merangkumi ibadah, muamalat, perkahwinan dan segala aspek kehidupan,” katanya.

KHAIRUL ASMAD MOHAMAD AL- AZHARI

Usia: 49 tahun
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Sejarah pendidikan:
 Sekolah Kebangsaan Islah Kota Bharu
 Sekolah Menengah (A) Mahaad Muhammadi (Lelaki) Kota Bharu
 Madrasah Ad-Diniah Albakriah
 (Pondok Pengajian Islam Pasir Tumboh)
 Pusat Pengajian Pondok YIK Kandis, Bachok, Kelantan
(Pondok Moden Kandis)
Universiti Al-Azhar, Mesir
Fakulti Syariah dan Undang-undang
Pengkhususan Syariah Islamiah
Tugas hakiki (kerja) :
 Guru Pendidikan Islan Sek. Keb. Taman Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan.
Ahli Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM).

Menurut Khairul Asmad lagi, kefahaman ini akan memastikan rawatan yang dijalankan tidak bertentangan dengan hukum Islam, akur batasan dalam memberikan rawatan, termasuk menjaga aurat pesakit, mengelakkan perkara yang boleh membawa kepada syirik dan mematuhi panduan Islam dalam setiap langkah rawatan yang dijalankan.

Ilmu akidah, tambahnya, merujuk kepada keyakinan asas dan prinsip-prinsip iman dalam Islam termasuk mempercayai keesaan Allah, memahami sifat-sifat-Nya serta mempercayai rukun iman secara keseluruhan.

“Ia adalah tunjang dalam memastikan kepercayaan (iman) seseorang perawat tetap teguh dan tidak mudah dipengaruhi oleh unsur khurafat atau syirik.

“Dalam amalan perubatan, tanpa akidah yang kukuh, perawat mungkin mudah tergelincir ke arah amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti mempercayai kekuatan azimat, bergantung kepada makhluk ghaib, menggunakan mantera yang tidak sahih atau menganggap kuasa ilmunya punca kesembuhan penyakit,” katanya.

“Ilmu tasawuf pula berkaitan dengan penyucian jiwa dan amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan akhlak yang mulia dan ketakwaan yang tinggi.
“Ia mengajar individu untuk membersihkan hati daripada sifat-sifat mazmumah (sifat tercela) seperti riak, takbur dan ujub dengan ilmu yang dimiliki,” katanya.

Menurutnya, perawat yang mempraktikkan tasawuf akan melihat kerjayanya sebagai amanah daripada Allah SWT dan akan sentiasa rendah hati serta ikhlas dalam membantu pesakit.

“Tasawuf juga membantu perawat bersikap sabar, menjaga hubungan baik dengan pesakit dan menyedari bahawa kesembuhan datang daripada Allah SWT, bukan semata-mata daripada usaha dirinya.

Khairul Asmad berkata, gabungan ilmu syariat, akidah dan tasawuf memastikan perawat sentiasa berada di landasan yang benar dan tidak menyimpang dari ajaran Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×