ULAMA boleh ditakrifkan dengan pelbagai definisi berlandaskan latar belakang ilmu, kesarjanaan atau disiplin ilmu yang dimiliki mereka.
Perkataan ‘ulama’ itu adalah kata jamak daripada ‘Arab iaitu ‘Alim’. Kemudian lahir pula perkataan ‘Alamah iaitu orang yang benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam hakikat sesuatu bidang.
Meneruskan bicara berkait alim ulama, pendakwah bebas, Ustaz Haji Mokhtar Yaakub berkata, ulama adalah orang yang paling berjasa menjaga, membela dan menyampaikan syariat Islam secara suci murni.
Katanya, oleh demikian umat Islam wajib menghormati alim ulama dan mengakui kepakaran serta keahlian mereka dalam pelbagai bidang menyambung kesinambungan menyebar dakwah dan meningkatkan syiar Islam.
“Pelbagai bidang ini termasuk hal ehwal ilmu fekah, akidah, hadis dan pelbagai. Sumber rujukan ilmu yang mesti dipelajari dalam meniti kehidupan duniawi dan bekalan ukhrawi.
“Jangan sesekali mengkritik dan memperlekehkan ulama. Mengkritik ulama tidak boleh dilakukan oleh semua orang kecuali ulama yang berkelayakan daripada segi ilmu dan adabnya sahaja yang boleh mengkritik menerusi kaedah dan perbahasan ilmiah,” katanya ketika ditemui pada Program Hubbun Nabi SAW anjuran Majlis Daerah Bachok (MDB) di Dataran Pantai Irama, Bachok, Kelantan, baru-baru ini.
USTAZ HAJI MOKHTAR YAAKUB
Usia: 65 tahun
Asal: Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan
Bekas Pegawai Agama dan Ketua Unit Komuniti Felda Wilayah Kelantan.
Pendakwah bebas
Penal pendakwah KelantanFM
Menyampaikan kuliah agama dan motivasi seluruh masjid, institusi pendidikan, jabatan kerajaan dan swasta.
————————————————————————————————————————-
Tambah Mokhtar, hanya orang yang jahil yang tertipu dengan diri sendiri sahaja gemar mengkritik dan memperlekehkan alim ulama.
Menurutnya, lazimnya orang yang rendah akhlaknya sahaja yang sering mengkritik alim ulama dengan berpegang kepada sumber akliah tanpa sokongan nas yang tepat.
“Rasulullah SAW sendiri tidak mengakui orang seperti ini sebagai umatnya bersandarkan sabda baginda yang bermaksud: ‘Bukan daripada kalangan kami orang yang tidak menghormati orang tua kami, mengasihi orang muda kami dan mengetahui hak orang alim kami.
“Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad Hasan manakala Imam Ibn al-Mubarak ada mengatakan; ‘Sesiapa yang mempersendakan ulama, akan hilanglah akhiratnya,” tegasnya.
Menurut Mokhtar, perbuatan mencerca ahli ilmu, terutama tokoh besar ulama adalah termasuk dosa besar apa lagi melakukan penyebaran memburuk-burukkan alim utama tanpa susila dan peradaban.
Tambahnya, Islam mengajar umatnya menghormati orang yang lebih tua termasuk alim ulama, guru, pemimpin, ketua, jiran tetangga dan semua orang yang pastinya menyerlahkan didikan akhlak mulia serta martabat yang terpuji.
“Ini termasuk kecintaan terhadap orang yang sudah meninggal dunia seperti sekalian nabi dan rasul AS, sahabat nabi RA, ulama dan para solihin.
“Inilah adab dan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim yang sewajarnya tidak sanggup menyaksikan golongan yang wajib dihormati ini dicerca, dicaci dan dihinakan,” katanya.
Mokhtar berkata, ulama mempunyai jasa besar kerana mereka adalah perantara dan penyambung perjuangan yang menyampaikan syiar Islam dan agama yang benar.
“Ayuh kita sama-sama mendidik diri kita sendiri dan ahli keluarga kita untuk mantapkan kecintaan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta menghormati alim ulama dan pewarisnya.
“Orang yang memperlekehkan ulama bererti cuba menjatuhkan kredibiliti penjaga syariat Islam yang sekali gus cuba meruntuhkan seluruh ajaran Islam,” katanya.
Menurutnya, fahaman serong seperti ini wajar dibanteras dan diberikan pengajaran dan pendidikan yang secukupnya. – UTUSAN









