Pasangan berkahwin kena kuat bersabar, elak perceraian

Pasangan berkahwin kena kuat bersabar, elak perceraian

ABU BAKAR OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWASA ini kita melihat betapa rapuhnya institusi perkahwinan dengan kes-kes perceraian yang sering menjadi paparan di dada akhbar mahupun media sosial.

Perkembangan ini mencetus pelbagai persoalan, di manakah silapnya suami atau isteri dalam melayari bahtera mereka usai taklik akad nikah yang menjadi perkara indah dalam kehidupan setiap manusia?

Perkara itu turut meraih perhatian agamawan Tok Guru Abu Bakar Omar, 64, yang juga pengasas Madrasah Darul Ulum al-Mubarakah di Sik, Kedah.

Menurut agamawan yang terkenal dengan pengajian kitab turath di pondoknya itu, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan masing-masing seperti juga di pihak suami mahupun isteri, namun cara terbaik untuk mengatasi adalah dengan kesabaran dan reda.

“Kesabaran adalah perkara penting dalam perkahwinan dan hidup berumahtangga. Walaupun adakalanya perselisihan faham dan pertengkaran tidak dapat dielakkan tetapi cara terbaik berdepan dengan situasi ini adalah sikap bersabar antara suami isteri. Masing-masing perlu reda dan ikhlas menerima pasangan kita kerana Allah SWT sudah kurniakan jodoh itu.

“Pasangan berkahwin ini kena kuat bersabar bagi elak perceraian. Kalau seorang tengah marah jangan kita pun sama membalas dengan kemarahan kerana di tengah-tengahnya akan muncul orang ketiga iaitu iblis untuk menghasut. Demikian mungkin terjadi perceraian,” katanya ketika ditemui di madrasah miliknya itu baru-baru ini.

TOK GURU ABU BAKAR OMAR
JAWATAN:
 Pengasas, Mudir Madrasah Darul Ulum al-Mubarakah, Sik, Kedah,
 Pengajar Pondok Lanai, Baling.
PENDIDIKAN:
 Pondok Charuk
Senduk, Sik
 Pondok Lanai, Baling
 Pondok Ulu Bakai, Baling
 Pondok Tok Guru Haji Salleh, Sik.

Katanya, perkara itu jelas sekali dinyatakan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri) dengan cara baik. Kemudian jika kamu berasa benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” (Surah an-Nisa ayat 19).

“Amalkan bacaan surah Yusuf setiap hari dalam usaha untuk mengharmonikan rumah tangga masing-masing.

“Baik apa juga perselisihan faham mahupun konflik dalam rumahtangga jangan sampai membuatkan suami atau isteri kamu itu jauh hati. Ubati dengan kasih sayang dan belas kasihan,” katanya yang pernah berguru dengan banyak tok guru tersohor di Kedah sebelum ini.

Menurut tok guru yang pemurah hati kerana sering mengadakan kelas mempelajari tulisan Jawi ini, musibah atau ujian dalam perkahwinan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan untuk mengangkat darjat dan keimanan masing-masing sebagai hamba Allah SWT.

“Soal jodoh ini Allah SWT sudah tentukan jadi kita kena terima, reda dan ikhlas. Layarilah bahtera perkahwinan ini dengan satu matlamat untuk mendapat kerahmatan dan keberkatan Allah SWT,” katanya.

Selain itu beliau turut berpesan, agar umat Islam tidak melupakan tanggungjawab sebagai makhluk Allah SWT di dunia ini di sebalik kesibukan masing-masing mengejar kebahagiaan duniawi.

“Belajarlah ilmu agama walaupun usia masih muda. Ilmu tauhid, fiqh atau tasawuf. Ilmu tasawuf ini misalannya, sangat penting kerana ia berkaitan hati. Kalau zahir rosak hati boleh mengubatinya, kalau hati rosak zahir pun rosak, semuanya akan rosak.

“Hidup kita ini juga kena cari ilmu dan beramal. Jangan cari ilmu tetapi tidak beramal itu tidak berguna juga kerana kebaikan kita bersangkut dengan orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×