BULAN Muharam adalah bulan pertama dalam kalendar Islam yang terdapat kelebihannya kepada umat Islam untuk berdoa, berazam melakukan kebaikan dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Berkongsi pandangan, Imam Tua Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh, Ustaz Rosman Harun berkata, setibanya bulan ini adalah disunatkan berdoa untuk berikrar kesetiaan terhadap perintah-Nya dan memohon keampunan untuk meneruskan kehidupan dengan penuh keimanan.
Menurutnya, jangan kerana gagal menguasai bahasa Arab amalan berdoa pada saat tahun baharu Islam diabaikan, sedangkan Allah SWT itu Maha Mengetahui sekali pun doa itu dilafazkan dalam bahasa ibunda.
“Tiada halangan berdoa dengan bahasa pertuturan yang kita fahami (bahasa Melayu) kerana ia lebih afdhal dan khusyuk untuk menyatakan keinsafan dan memohon hidayah serta barokah Allah SWT.
USTAZ ROSMAN HARUN
Usia 48 tahun
Pendidikan:
Maahad Saniah Pasir Puteh, Kelantan
Pusat Pengajian Islam Pondok Moden Kandis, Bachok
Pusat Pengajian Tinggi Islam Bagan Serai, Perak
Universiti al-Azhar, Mesir – jurusan syariah dan perundangan.
Tugas hakiki:
Imam Tua Masjid Jajahan (Ibrahimi) Pasir Puteh
“Doakan agar kita dalam lindungan dan petunjuk-Nya. Tidak ingkar perintah dan jauhi tipu daya syaitan serta nafsu jahat dalam diri sendiri,” katanya dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Rosman, amalan sunnah berpuasa pada 10 Muharam juga perlu untuk meraih ganjaran pahala dan pengampunan dosa yang dijanjikan.
“Rasullullah SAW berpuasa sehari sebelum yakni 9 Muharam sebelum Baginda berpuasa pada 10 Muharam dengan hikmah membezakan amalan Yahudi yang turut berpuasa pada hari Asyura,” terangnya.
Beliau memberitahu, seperti yang dinyatakan dalam satu hadis daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadan adalah puasa dalam bulan Allah iaitu bulan Muharam. Sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat sunat pada waktu malam.” (Sahih Muslim).
Katanya, Imam Nawawi pula menyatakan puasa paling afdhal selepas puasa Ramadan adalah berpuasa pada bulan Muharam.
Menurutnya, dalam mazhab Shafie, ulama menyatakan sunat untuk berpuasa pada 9, 10 atau 10 dan 11 Muharam.
Menurut Rosman, antara fadilat terbesar puasa pada 10 Muharam yang tidak sepatutnya diabaikan adalah diampunkan dosa seorang hamba itu bagi tempoh setahun yang lalu.
“Apapun, dosa besar yang dilakukan sebelumnya perlu disusuli dengan bertaubat. Solat taubat amat baik kalau dilakukan pada awal Muharam ini .
“Kita pohon pengampunan dan meninggalkan segala perbuatan keji dengan keyakinan hakiki Allah itu Maha Pengampun Lagi Penyayang,” katanya.
Tambah Rosman, jadikan awal Muharam ini sebagai titik mula untuk bersama orang soleh dan muktakin dengan memulakan kehidupan yang lebih tenang.
Cara mudah untuk ketenangan, katanya, memulakan kehidupan harian dengan solat Subuh berjemaah, berzikir, membaca al-Quran dan bersedekah.
“Jadikan amalan rutin solat berjemaah lima waktu kiranya berkesempatan, hadir majlis ilmu dan imarahkan masjid. Pastinya, Allah akan lapangkan rohani dan jasmani malah rezeki kita,” katanya.
Tambahnya, biarlah awal tahun ini dimulakan dengan amalan makruf dan hindari kemungkaran sehingga ke akhir tahun.
“Jangan sesekali menambah dosa berganda dengan melakukan kemaksiatan pada bulan Muharam,” katanya. – UTUSAN










