Haji: Gugur gelaran seandainya berdosa?

Haji: Gugur gelaran seandainya berdosa?

MUHAMAD AZHAR ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah untuk memperoleh haji mabrur. Malah tidaklah sukar memperolehnya jika jemaah haji itu meletakkan sepenuh keikhlasan dan jiwa raganya dalam mengerjakan ibadah kerana Allah SWT.

Bagaimanapun perbezaan persekitaraan di Mekah dan ketika tiba di tanah air sedikit sebanyak berkemungkinan besar memberi cabaran bagi jemaah haji yang kini mula pulang secara berperingkat dari mengerjakan Rukun Islam Kelima itu.

Sebagai contoh, istiqamah dalam mengerjakan solat berjemaah lima waktu di masjid bukannya mudah sebagaimana kita menyebut perkataan tersebut.

Bagi Ustaz Muhammad Azhar Zubir, istiqamah dalam mengekalkan disiplin bagi jemaah haji sebagaimana di Mekah boleh dilaksanakan dengan beberapa langkah.

“Pertama, kita perlu sentiasa menambahkan ilmu agama. Jangan pernah berasa cukup dengan ilmu yang ada kerana semakin kita pelajari sesuatu, semakin terasa betapa kerdil dan jahilnya kita akan ilmu Allah SWT yang terlalu luas.

“Firman Allah SWT dalam Surah Al-Zumar ayat sembilan menyebut- Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui.? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Muhamad Azhar Zubir
Asal : Kedah
Jawatan : Pensyarah / Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci
Pendidikan : Sarjana Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Justeri katanya, jemaah haji perlu sentiasa berusaha mencari ilmu sebanyak mungkin termasuk menghadiri kuliah-kuliah agama.

Di samping itu, Muhammad Azhar berkata, jemaah haji perlu bijak dan lebih memilih dalam pergaulan bersama rakan disamping terus berdoa agar dapat kekal istiqamah melaksanakan ibadat sebagaimana ketika berada di Mekah.

“Allah SWT ada berfirman dalam surah Al-Ghafir ayat 60. Dan berdoalah kepadaku, nescaya Aku akan perkenankan. Sebab itu, kita perlu sentiasa terus menerus berdoa untuk kekal istiqamah dalam melakukan ketaatan di mana jua kita berada kerana istiqamah ini sendiri sesuatu yang amat sukar dijaga.

“Sebab itu kita dapat lihat jika di Tanah Suci, jemaah haji begitu semangat melaksanakan solat fardu berjemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Namun bila pulang ke tanah air, semangat itu kadang kala luntur untuk melaksanakan solat berjemaah walaupun sesama rakan sepejabat disebabkan on off istiqamah dalam diri yang akhirnya memberi impak negatif dalam kehidupan seharian kita untuk mencapai konsep HablumminAllah dan Hablumminannas (hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia sejagat),” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Azhar ketika ditanya tentang status haji bagi jemaah yang masih melakukan dosa berkata, ia masih sah dan tidak terbatal.

“Hajinya tetap sah dan tidak terbatal sekiranya dia melaksanakan segala rukun dan syaratnya dengan sempurna.

“Isunya melakukan dosa-dosa besar sekembalinya dari mengerjakan ibadat haji itu adalah perbuatan yang dilakukan selepas haji. Dari Abdullah bin Mas’ud RA, dari Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang yang bertaubat dari dosa adalah seperti orang yang tidak berdosa”. (Ibnu Majah dan Thabrani).

Sementara itu, Muhammad Azhar berkata, antara ciri haji mabrur yang disebut Al-Imam Al-Nawawi RA dalam syarah Muslim adalah tidak bercampur dengan dosa atau unsur kemaksiatan dalam kehidupan seharian.

“Sementara itu, menurut Al-Imam Jalaluddin As-Sayuthi RA, bukti seseorang memperoleh haji mabrur adalah ia menjadi lebih baik daripada sebelumnya sekembalinya dari Mekah. Dia berusaha sebaiknya untuk mengurangi perbuatan maksiat tersebut.

“Sayyidina Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah SWT, sedangkan dia tidak menuturkan perkataan yang tidak senonoh dan tidak melakukan perbuatan keji (dosa) maka dia akan kembali (dalam keadaan suci daripada dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Muttafaq álaih)- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×