UMUM mengetahui bahawa meminum arak haram di sisi Islam. Malah hadis turut menyatakan Rasulullah SAW melaknat 10 golongan yang dikaitkan dengan arak iaitu mereka yang memerahnya; yang minta diperahkan untuknya; meminumnya; membawanya; minta dihantar; yang menuangkan;menjualnya; yang makan harganya; membelinya dan yang minta dibelikannya.” (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah ).
Namun, menurut Ustaz Dr. Zaharuddin Abd. Rahman, hukum mengambil tajaan daripada syarikat judi atau arak harus untuk kegunaan golongan fakir dan miskin.
“Walaupun diketahui ia adalah sumber wang yang haram namun sebaiknya tidak memaklumkan kepada penerima akan sumber wang terbabit.
“Ini adalah kerana, wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya. Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjakannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan hissi,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Zaharuddin, wang tersebut juga tidak berpindah daripada seorang kepada yang lain.
“Ia bukan seperti najis yang berpindah apabila disentuh seseorang. Justeru, berubahnya sebab pemilikan wang sumbangan itu membawa kepada harusnya pemilikan oleh penerima.
“Dalam satu kaedah fiqh menyatakan, ertinya: “Perubahan sebab pemilikan akan membawa kepada perubahan hukum barang itu sendiri juga”. (Rujukan al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah 527/1),”jelasnya.
Dalam pada itu, Zaharuddin berkata, keharusan diberikan dan disalurkan kepada fakir miskin serta digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas berdasarkan ijtihad majoriti pelbagai mazhab serta ulama kontemporari.
Katanya, ini termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC); Majlis Fatwa Eropah dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Sheikh Al-Qaradawi; Sheikh Az-Zarqa; Sheikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi.
Dr. Zaharuddin Abd. Rahman
Asal: Muar Johor
Umur: 49 tahun
Pendidikan:
Sarjana Muda Usuluddin Universiti Malaya
Sarjana Fiqh dan Usul
Fiqh, Universiti al- Yarmouk, Jordan,
PhD Kewangan Islam University of Wales
Ijazah Ilmiah Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi.
——————————————————–
“Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedekahkan kepada orang fakir miskin. Ia telah difatwakan harus majoriti mazhab utama Islam.
“Malah ulama Mazhab Hanafi menyebut pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedekahkan. Malah jika pemilik itu seorang fakir, ia boleh mengambil untuk dirinya sendiri dan jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta’lil al-Mukhtar, 3/61),” jelasnya.
Tambah Zaharuddin, ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi turut memetik kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata: “Sekiranya wang haram itu diberikan kepada fakir miskin, ia tidaklah haram (ke atas fakir dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka.”
Bagaimanapun kata Zaharuddin, walaupun diharuskan menerima dan guna wang judi atau hasil arak untuk tujuan kebajikan, seseorang yang beragama Islam tetap perlu berhati-hati.
“Sebagai contoh mengangkat papan cek berlogo syarikat arak atau judi ketika menerima sumbangan. Sekiranya diketahui sejak awal (individu beragama Islam) hukumnya boleh membawa kepada subahat, kerana memaparkan logo sudah dikira iklan dan promosi.
“Justeru hukum mempromosi benda yang terlarang adalah sama dengan hukum arak tersebut dan ditegah melalui ayat al-Quran “ dan janganlah kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan” ( al-Maidah ayat 2),”katanya. – UTUSAN










