Rawat ‘masalah jiwa’ dengan mendalami ilmu tasawuf

Rawat ‘masalah jiwa’ dengan mendalami ilmu tasawuf

SYUKRI ABDUL MAJID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ILMU tasawuf melalui kitab-kitabnya seperti seperti Hikam Jawi, Hidayatul Salikin dan Durrun Nafis menerangkan tentang penyucian jiwa, memperbaiki akhlak dan membentuk kesejahteraan zahir dan batin untuk mencapai kebahagiaan abadi dunia dan akhirat.

Banyak yang menggeruni ilmu ini dan tidak kurang juga menganggap ia sesat walaupun hakikatnya mendalami ilmu berkaitan mampu membersihkan hati dengan sifat-sifat mulia yang dituntut dalam Islam.

Malah menurut agamawan terkenal di Pendang, Kedah, Syukri Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Syukri Pondok Titi Idris, kebanyakan penyakit berkaitan jiwa mampu dirawat dengan mendalami ilmu tasawuf yang dianggap sangat relevan dengan kecelaruan jiwa manusia ketika ini.

“Belajar kitab ini, kitab jawi termasuk ilmu tasawuf ini ada kemanisan. Ilmu tasawuf merawat jiwa. Yang paling indah kerana pemahaman tentang ilmu ini mampu menjadikan jiwa kita stabil dan tenang. Manusia hari ini terlalu penting duniawi hingga lupa hakikat kita lahir di dunia ini iaitu membuat persediaan untuk alam akhirat yang abadi,” katanya ketika ditemui di Pondok Titi Idris di Pendang, Kedah baru-baru ini.

Kata agamawan berusia 56 tahun ini, perjalanan kehidupan manusia adalah berakar umbi daripada hati masing-masing sekali gus menjadikan ilmu tasawuf perlu dipelajari agar setiap amalan kita lakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT.

SYUKRI ABDUL MAJID
Jawatan: Mudir dan pengasas Madrasah An Nur, Pendang Kedah
Pendidikan:
 Sekolah Menengah Agama an-Nadzhah, Bukit Besar Yan Kedah
 Pondok Alor Janggus, Kubang Siam, Alor Setar Kedah
 Pondok Kampung Telok, Bukit Pinang, Alor Setar Kedah
 Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu Kelantan
 Pondok Kiyai Mufrad, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor

Syukri yang aktif mengajar pelbagai kitab setiap hari di pondok berkenaan turut menyarankan agar penceramah atau ustaz generasi baharu ketika ini mempelajari ilmu tasawuf di samping fiqh dan tauhid.

“Banyak penceramah termasuk yang bebas di media sosial seperti Facebook dan TikTok, mereka ini menjadi ‘guru’ kepada pengikut dan itu juga amanah yang mereka perlu pikul dengan baik.

“Namun saya akui kebelakangan ini kesedaran tentang ilmu tasawuf itu semakin baik kerana banyak anak murid yang datang ke pondok untuk kuliah dalam kalangan profesional seperti doktor, guru dan jurutera selain orang kampung,” katanya yang pernah berguru dengan puluhan ulama terkemuka negara ini.

Syukri turut menafikan ilmu tasawuf bersifat sesat kerana ia bersumberkan al-Quran, hadis dan para ulama yang mempunyai amalan selain darjat yang tinggi di sisi Allah SWT.

Katanya, kitab tasawuf seharusnya didekati terutama dalam kehidupan manusia hari ini yang penuh dengan tekanan akibat tuntutan duniawi.

“Falsafah hidup kita perlu jelas jangan terlalu stres apabila dilanda masalah kerana itu ujian Allah SWT. Apabila jiwa dirawat dengan ilmu agama maka hati akan lebih tenang menghadapi segalanya,” katanya.

Tok guru ini tidak menafikan, kebanyakan kitab yang ditulis dalam tulisan Jawi itu menjadikan kebanyakan daripada kita ‘cuak’ atau gerun untuk mempelajarinya.

“Tulisan Jawi ini sangat mudah dipelajari. Kalau buta Jawi sekali pun dan ingin belajar hanya mengambil masa setahun untuk mahir. Banyak anak murid saya begitu. Mereka datang ke pondok saya dengan tidak mengenal tulisan,” katanya.

Agamawan ini turut menitipkan pesanan di sebalik tuntutan duniawi untuk mengejar kecemerlangan akademik setiap umat Islam perlu meluangkan masa mendalami ilmu agama.

“Beli kitab dan cari tok guru. Belajar dan dalami insya-Allah kita memperoleh syurga ajilah di dunia sementara menanti syurga Firdaus. Kebahagiaan hakiki bukan berkaitan harta benda sahaja, manusia yang sederhana juga boleh bahagia andai fahami tujuan kita lahir di dunia ini.

“Kembali kita pada ilmu tasawuf itu, bukan sahaja mengajar kita tentang moral, nilai, akhlak yang baik tetapi menjadi kaya hati,” nasihatnya yang mengajar puluhan kitab di pondoknya, termasuk berkaitan tasawuf seperti Hikam Jawi, Hidayatul Salikin dan Durrun Nafis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN