Banyakkan doa untuk suami yang baik

Banyakkan doa untuk suami yang baik

DOA
RAUDAH HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUH mahfuz sering diungkapkan dalam soal mencari jodoh namun ketentuan itu juga harus diperjuangkan termasuk doa demi menjemput pasangan yang terbaik untuk dunia dan akhirat sehingga ke syurga Al-Firdausi.

“Doa dan berdoalah setinggi langit. Minta pada Tuhan jodoh yang baik untuk kita. Kalau berdoa di hadapan Kaabah adalah yang paling baik.” Demikian pesan Puan Guru Raudah Hassan yang juga isteri kepada ulama terkemuka di Pendang bergelar Tok Guru Abdullah Sungai Tiang.

Raudah dalam kalangan penduduk di Pendang bukan sembarangan kerana agamawan wanita yang sejak zaman remajanya mendiami banyak pondok di Kedah termasuk Pondok Tok Guru Abdul Majid di Guar Chempedak.

Menurut Raudah, beliau bersyukur kerana dikurniakan jodoh dalam kalangan alim ulama dan mempercayai ia usai daripada doa-doa yang sering dititipkannya sepanjang masa ketika solat sehingga di hadapan Kaabah.

“Saya mohon doa diberikan jodoh suami yang alim sepanjang masa terutama di Mekah dan Allah SWT tunaikan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sawa Kecil, Pendang baru-baru ini.

Tentu sahaja benar kata wanita ini kerana tiga suaminya merupakan alim ulama terkemuka di Kedah.

RAUDAH HASSAN
Tempat lahir: Jitra, Kubang Pasu Kedah
Pendidikan:
• Pondok Tok Guru Abdul Majid Guar Chempedak
• Pondok Tok Guru Hussin ‘Burung Hantu’
• Pondok Tok Guru Harun Alor Binjai

Jodoh

Beliau mengahwini Tok Guru Syafie yang meninggal dunia ketika remaja sebelum bertemu jodoh dengan Tok Guru Harun Binjai. Perkahwinan terakhirnya adalah dengan Tok Guru Abdullah Sungai Tiang setelah suami keduanya itu meninggal dunia.

Kini Raudah hidup sendirian di rumah bersebelahan Pondok Raudah yang dibina oleh Allahyarham Tok Guru Abdullah namun di sebalik itu beliau masih giat mengajar agama dan menerima tetamu dari seluruh negara.

Selain itu beliau turut berpesan agar wanita tidak melupakan tanggungjawab sebagai makhluk kepada Allah SWT.

“Sesibuk mana pun kita jangan tinggalkan al-Quran. Khatam sebanyak mungkin. Beramal ibadat sebanyak mungkin. Insya-Allah ganjaran Allah SWT tinggi nikmatnya,” pesannya.

Raudah sendiri yang pernah berguru dengan ulama terkenal di Kedah ini dari zaman remajanya memberitahu wanita merupakan makhluk Allah SWT yang dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan di sebalik kudratnya tidak seberapa.

“Banyak ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada wanita yang besar tanggungjawabnya sebagai anak, isteri dan ibu.

“Kuasailah fardu ain dan kifayah untuk menjaga akidah serta akhlak kita sebagai wanita. Jangan sia-sia. Selain itu kalau seorang isteri taati suami kita dan kalau anak taati ibu bapa kita,” katanya yang mengkhatam tiga hingga empat juzuk al-Quran setiap hari.

Amalan

Beliau sendiri mempunyai amalan yang banyak melalui wirid dan doa-doanya yang diwarisi daripada guru-guru agama sejak masih muda.

Apa yang menakjubkan pada usia 80 tahun itu dia masih cekap menulis dan mengingati doa serta wirid berkenaan.

Katanya, walaupun tidak dianugerahkan zuriat namun rezekinya adalah daripada ganjaran lain termasuk berpeluang menunaikan haji hampir 40 kali sebelum ini.

“Rezeki saya bawa orang pergi haji setiap tahun sejak awal 90-an lagi selepas itu boleh ziarah negeri-negeri Arab,” katanya. –MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN