Pentingnya jaga adab dalam era ICT

Pentingnya jaga adab dalam era ICT

PROF MADYA AZRI BHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPERKASA adab yang mulia sejajar dengan ajaran Islam adalah aspek penting bagi memastikan generasi muda mampu meneruskan kesinambungan kepemimpinan dan ketamadunan yang berasaskan teknologi komunikasi canggih (ICT) yang dibangunkan hari ini.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof. Madya Azri Bhari, mutakhir ini teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) mewujudkan lompongan besar terhadap hubungan sesama insan sama ada dalam aspek sosioekonomi dan pendidikan.

Terutamanya, kata beliau, terserlahnya kekurangan adab dalam berkomunikasi dan memberikan pandangan di media sosial.

“Saya melihat adab adalah elemen paling penting dalam menuntut ilmu terutama kaedah berkomunikasi dengan guru atau pensyarah serta keluarga,” katanya ketika ditemui di Seksyen 7, Shah Alam baru-baru ini.

Katanya, dulu ketika tiadanya gajet dan media sosial, segala bentuk pengajaran dan rujukan yang baik datangnya daripada ibu bapa, guru-guru termasuk guru agama.Namun dengan perkembangan ICT hari ini, rujukan dan panduan itu termasuk pengaruh baik atau buruk banyak diambil daripada media sosial.

“Pada zaman kegemilangan khalifah Islam, adab diajar selama enam tahun sebelum seseorang pelajar dibenarkan menuntut ilmu yang lebih khusus. Ini bagi memperkasa sahsiah diri pelajar dalam menuntut ilmu keagamaan.

“Adab sepatutnya diajar di rumah, namun hari ini budaya dari luar akibat kemajuan dunia maya banyak mempengaruhi generasi kita hingga mempengaruhi sikap mereka,” katanya.

Prof. Madya Azri Bhari
Profesion: Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Pengalaman:
 Pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di Kementerian Pendidikan dan Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam.
 Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf dan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Panel dan Pakar Bidang Syariah di Majlis Peperiksaan Malaysia,Pakar Rujuk Jawatankuasa Agihan Zakat Sedekah dan Wakaf UiTM dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah di Bahagian Zakat, Sedekah & Wakaf, UiTM.
 Dilantik sebagai Pengerusi sesi 2024-2026 dan Setiausaha sesi 2020-2023 di Surau at-Taqwa Seksyen 7, Shah Alam.
 Dikurniakan tauliah mengajar dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan terlibat aktif dengan aktiviti kuliah dan ceramah.

Justeru beliau berharap, agar pendidikan berhubung adab dan disiplin dijadikan subjek utama satu masa nanti.

Dalam pada itu, sebagai penceramah beliau sering mengingatkan masyarakat tentang bahaya fitnah.

“Lidah adalah organ yang dilihat kecil dalam tubuh manusia, namun mampu memberikan kesan besar kepada kehidupan seseorang, bahkan kepada kehidupan orang lain.

“Setiap ciptaan yang Allah SWT jadikan mempunyai fungsi yang tersendiri, bergantung kepada pengguna memanfaatkan untuk tujuan baik atau buruk, termasuklah fungsi lidah,” katanya.

Menurutnya, Islam telah mengatur semua aspek kehidupan manusia supaya berada di landasan betul, termasuklah ketetapan aturan berkaitan lidah supaya melazimi berkata baik atau diam dari berkata buruk.

“Diam juga bukan bermakna seseorang itu kalah, tetapi diam itu menandakan kematangan untuk mengalah,”ujarnya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari) . –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×